Senin, 14 Juli 2014

SAMBAL UDANG KERISIK

Hari ini Kak Noor cuba curi masa untuk memuatkan resepi yang ingin sangat dikongsi bersama. N3 ini telah lama pending disebabkan kesuntukan masa. Menu Sambal Udang Kerisik ini telah Kak Noor masakkan untuk keluarga minggu lepas. Sesuai sangat untuk hidangan berbuka puasa. Dimakan pula bersama nasi panas. Kalau rajin, boleh goreng ikan tenggiri jeruk. Pasti menyelerakan.



So tak perlu celoteh panjang-panjang. Apa kata kita terus ke resepi Sambal Udang Berkerisik. Bagi ibu-ibu yang belum confirm apa menu yang hendak dimasak hari ini, bolehlah mencuba resepi ini. Selamat mencuba.




Bahan-bahannya:
½ kg. udang (saiz xl atau xxl) - dipotong kepala dan ekornya
*1 sudu besar serbuk cili
*1 sudu besar sos tiram
*1 susu besar kicap manis
*1 sudu besar gula perang
1 – 2 biji bawang besar – dipotong bulat
2 sudu besar kerisik
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
* Bahan-bahan perapan udang

Bahan-bahan tumis:
1 inci kulit kayu manis
1 biji bawang besar – dihiris
1 batang serai dititik
2 tangkai daun kari - dilurut daunnya

Bahan-bahan dikisar:
3 senduk nasi cili kering yang telah dikisar
1 biji bawang besar saiz besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
Air secukupnya.

Cara-cara Memasak:
1. Gaulkan udang dengan serbuk cili, kicap manis, gula perang, dan sos tiram. Perapkan selama ½ jam. Kemudian digoreng sehingga 1/2 masak.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan bahan-bahan tumis (kulit kayu manis, serai, hirisan bawang besar, dan daun kari). Tumis sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
3. Kemudian masukkan bahan-bahan kisar tadi dan kacau rata. Gunakan api sederhana dan masak sehingga terbit minyak/cili garing.
4. Selepas cili garing, tambahkan 2 cawan air. Perasakan dengan garam dan gula putih. Masak sehingga kuah mendidih.
5. Kemudian bolehlah dimasukkan udang yang telah digoreng tadi dan kacau rata. Masukkan kerisik dan masak lagi di atas dapur sehingga bergaul rata.
6. Akhir sekali masukkan bawang besar yang dipotong bulat. Kacau rata, dan tutup api. Sedia untuk dihidangkan.

Kamis, 03 Juli 2014

Juadah 1 Ramadhan; Rendang Pedas Ayam, Sambal Tumis Sotong Dengan Petai, dan Sayur Kacang Buncis Goreng Kunyit

SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA
DARIPADA SAJIAN DAPUR BONDA


Syukur ke hadrat Allah Taala kerana masih lagi diberi peluang untuk bertemu Ramadhan pada tahun ini.  Semoga pada tahun ini ibadah yang dilakukan lebih baik dan lebih sempurna daripada tahun-tahun sebelumnya.  Amin...

Alhamdulillah kerana Kak Noor masih diberi kudrat untuk menyediakan juadah berbuka untuk keluarga.  Walaupun kekadang waktu terasa letih selepas pulang dari kerja, namun demi tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu, ia perlu dipikul jua. 

Pada hari pertama Ramadhan, pelbagai request untuk lauk daripada suami dan anak-anak.  Nasib baik pada hari pertama Ramadhan jatuh pada hari Ahad, iaitu hari Kak Noor bercuti. Layan ajelah permintaan mereka.  Lagipun hari pertama puasa, mesti terasa nak makan itu dan makan ini. Hasben nak makan rendang pedas ayam, dan anak-anak pula nak makan sambal tumis sotong petai.  Kak Noor pula?  Tak kisah sangat... taklah teringin sangat nak makan itu dan ini. Kadang-kadang tak selera juga makan sebab kita yang memasaknya.

Juadah untuk hari pertama, Kak Noor masak rendang pedas ayam dan sambal tumis sotong kembang petai.  Bagi bab sayur Chef Junior akan memasaknya.  Sayur kacang buncis, sedap dimakan semasa masih panas.  Menu ini memang menjadi kegemaran keluarga Kak Noor. Kalau tak makan bersama nasi, ratah aje pun sedap.  So suruh dia goreng 1/2 jam sebelum berbuka puasa.  Sebelum itu potong sayur siap-siap dan sediakan rencahnya.


Inilah rezeki hari pertama berbuka puasa yang sempat Kak Noor sediakan untuk keluarga.  





Rendang Pedas Ayam
Sambal Tumis Sotong Petai


Kacang Buncis Goreng Kunyit Dengan Udang - by Chef Junior
SELAMAT BERBUKA.....