Jumat, 26 September 2014

TERUJA MASAK PULUT KUNING MENGGUNAKAN PERIUK NOXXA, 7 MINIT AJE...

Assalamualaikum.

Bagi N3 Jom Masak Dengan Periuk Noxxa kali ini, Kak Noor ingin berkongsi resepi pulut kuning yang dimasak menggunakan periuk Noxxa.




Sebenarnya pulut kuning ini Kak Noor masak hari Ahad yang lalu. Hari Isnin bawa ke pejabat untuk sarapan pagi bersama kawan-kawan.  Dimakan pula bersama rendang pedas ayam yang telah dipanaskan beberapa kali dalam periuk Noxxa menggunakan fungsi `STIR FRY'.  Mudah dikaupbalikkan sehingga rendang kering dan berwajah serunding. Yang bestnya periuk dalamannya tidak melekat langsung.  





Pulut pula Kak Noor guna pulut susu Siam yang dikirim daripada bapa rakan sepejabat yang tinggal di Padang Besar. Telah agak lama pulut ini disimpan di dapur.  Kalau tak salah Kak Noor beli masa nak raya puasa  hari tu.  Niat di hati nak buat ketupat pulut makan anak beranak di pagi raya sebab pelan asal nak raya di KL aje.  Tapi last minute pulang juga berhari raya ke Bukit Mertajam bersama bonda dan adinda-adinda di sana.   Orang kata pulut susu Siam ini sedap sebab ia 100% pulut, tak dicampur dengan beras. Ia wangi, lembut, dan sedap dimakan.

7 minit masak dengan periuk Noxxa?  Anda tidak percaya?! Mula tu memang tak percaya, tapi bila telah bereksperimen dengannya sendiri baru percaya.   Yang bestnya tidak perlu rendam semalaman pulut seperti mana biasa kita lakukan. Sekarang ini bila teringin aje nak makan mulut kuning, terus ambil pulut basuh dan masak.  7 minit kemudian dah boleh dimakan.  Teramat mudahnye...

Selepas 7 minit berlalu, inilah hasilnya....

Pulut kuning dengan sukatan  6 cawan beras pulut susu ini boleh kater seramai 20 - 25 orang makan. Alhamdulillah semua rakan pejabat dapat merasa seorang sedikit.  Makan pulut ni bukan boleh makan banyak seperti kita makan nasi.  Kak Noor awal-awal dah surrender makan mulut, takut mengantuk di pejabat.   Maklumlah bila dah berusia ni, cepat `lentuk' kalau silap makan.  Nak buka mata depan komputer pun tak boleh.  Asyik nak terpejam aje.

Ini adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat pulut kuning.  Antaranya ialah Santan Sawit KHALIS yang rendah lemak dan bebas kolestrol. Sila klik link yang diberikan untuk mengetahui mengenai santan ini.  Bagi yang ada periuk Noxxa bolehlah ikuti cara-cara penyediaannya.  


Inilah Santan Sawit KHALIS yang dimaksudkan.



Bahan-bahannya:
6 cawan beras pulut susu Siam
4 cawan air
2 cawan santan pekat - Kak Noor gula Santan Sawit KHALIS
7 - 8  biji lada hitam  - (opsyen)
1 biji bawang  besar -  dirancik halus
Sedikit serbuk kunyit
Pewarna Yellow Egg Star Brand
1 sudu kecil gula
Garam secukup rasa

Penyediaannya:
1.   Basuh beras pulut dan toskan.  Tidak perlu rendam.
2.  Masukkan semua bahan di atas tadi di dalam periuk dalaman. Kacau rata.
3.  SET fungsi HIGH PRESSURE 7 minit.  Putar tombol ke arah HP.   Tekan ON.
4.  Selepas 7 minit berlalu, akan bunyi beep.  Putar tombol ke STEAM untuk bebaskan wapnya.
4.  Selepas wap dibebaskan, buka tudung.  Kaup balikkan dan kacau rata.
5.  Dah boleh dimakan bersama rendang/serunding/sambal kerang/sambal ikan bilis dan apa-apa aje yang kena dengan selera kita.

Sabtu, 20 September 2014

Rendang Pedas Ayam, 8 minit dengan Periuk Noxxa

Assalamualaikum.

Hari ini Kak Noor ingin kongsi satu lagi resepi yang dimasak menggunakan Periuk Tekanan Elektrik Berbilang Fungsi Noxxa atau mudah disebut Pressure Cooker Noxxa. Sejak ada periuk ajaib ini, teruja pula nak bereksperimen memasaknya dengannya. Memang mudah dan menjimatkan masa. Apa yang penting kita mesti tahu fungsi butang pada panel kawalan periuk tersebut dan cara settingnya. 

Kalau dulu kita memasak rendang di dalam kuali dan mengambil masa agak lama untuk ayam empuk, tetapi sekarang dengan menggunakan periuk ajaib ini hanya mengambil masa 8 minit untuk ayam empuk.  Tidak sampai 1 jam telah boleh dihidangkan.




Resepi yang ingin Kak Noor ketengahkan ialah Rendang Pedas Ayam.  Resepinya sama sahaja seperti resepi yang pernah Kak Noor kongsikan sebelum ini. Tetapi kali ini ada sesetengah bahan itu diberikan dalam sukatan gram bagi memudahkan rakan-rakan mengikut resepi ini dengan tepat. 

Bahan-bahannya:
1.5 kg. daging ayam
1/2 kilo santan pekat
150 gram kerisik
2 batang serai - diketuk
2 helai daun kunyit - dihiris halus
Beberapa helai daun limau purut
2 keping asam gelugor
2 sudu besar gula perang
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar:
4 senduk nasi cili kering kisar
3 biji buah keras
3 biji bawang besar saiz sederhana
10 gram bawang putih
20 gram lengkuas
50 gram kunyit hidup
20 gram halia muda
4 batang serai - dihiris
10 gram cili padi
Air secukupnya

(Bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender dan dikisar halus)

Penyediaannya:


1.  Masukkan semua bahan yang dikisar di dalam periuk dalaman.


2.  Kemudian masukkan ayam dan serai yang dititik.


3.  Masukkan santan pekat.

4.  Kacau rata dengan menggunakan senduk kayu 
atau senduk plastik.

5.  Tutup periuk dan putar tombol pengawal 
tekanan ke PRESSURE.

6.  Sentuh fungsi HIGH PRESSURE dan 
masukkan 8 minit.  Sentuh butang ON.

7.  Selepas 8 minit berlalu, putar tombol pengawal tekanan ke STEAM.  Tujuannya adalah untuk membebaskan wap dan membolehkan tudung boleh dibuka (sekiranya wap tidak dibebaskan, tudung tidak boleh dibuka).  Sentuh butang OFF. Tanggalkan tudung.

4.  Kacau rata.  Pada masa ini kondisi ayam telah empuk tetapi masih berkuah.  Masukkan daun kunyit, daun limau purut, asam gelugor, kerisik, gula perang dan garam secukup rasa.

5.  Sentuh STIR-FRY, dan tekan ON.  Masak sehingga kuah kering (ikut citarasa masing-masing).

6.  Selepas kuah agak kering, tekan butang OFF.

7.  Rendang pedas ayam ini boleh dialihkan ke periuk lain atau biarkan sahaja 
di dalam periuk Noxxa.  Sekira inginkan rendang berada dalam keadaan panas bolehlah 
guna fungsi WARM-REHEAT.

Minggu, 07 September 2014

KARI TULANG DAGING LEMBU, 30 MINIT AJE DAH MASAK MENGGUNAKAN PERIUK NOXXA

Assalamualaikum.

Hari ini Kak Noor nak share N3 masak kari tulang daging lembu menggunakan periuk Noxxa. Sesiapa yang memiliki periuk Noxxa ini bolehlah mengikut resepi ini dan cara-cara memasak menggunakan periuk ini.  

Kebiasaannya bila kita memasak daging, ia akan mengambil satu tempoh yang agak lama untuk daging menjadi empuk/lembut.  Kadang-kadang mengambil masa hampir 1 jam untuk lembut, tapi itupun masih sedikit liat, bergantung kepada jenis daging. Kalau daging segar mungkin mengambil tempoh yang agak singkat jika dibandingkan dengan daging import.

Tetapi dengan menggunakan periuk Noxxa ini,  apapun  jenis daging yang kita guna, ia akan cepat empuk/lembut. Dalam masa 30 minit sahaja kari tulang lembu dah siap dan boleh dihidangkan. Rasa karinya sama saja macam kita masak di atas dapur.

Selepas 30 minit, terhasillah kari tulang daging lembu ini.   Daging menjadi lembut sekali.  Tulang of course le tak lembut...




Mesti teruja nak mencuba bila tengok gambar di atas kan!   Hanya gambar dalam periuk saja yang ada.   Tak sempat nak snap gambar kari tulang daging dalam mangkuk.  Apa-apapun jom kita tengok bahan-bahan yang perlu disediakan. 


Bahan A:
1 kg. tulang lembu tempatan (pilih tulang lembu yang ada isi)
2 cawan pati santan
4 - 5 biji kentang
2 biji tomato - dibelah 2
2 biji cili hijau
Garam dan gula secukup rasa

Bahan B:  (disatukan di dalam blender dan dikisar, dijadikan pes)
4 sudu besar serbuk daging pedas BABAS
1 sudu besar serbuk cili
1/2 sudu teh serbuk jintan manis
1/2 sudu teh serbuk jintan putih
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
Air secukupnya

Bahan C: Menumis
3 biji bawang merah (bawang kecil) - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 batang serai dititik
2 tangkai daun kari
Minyak secukupnya

Penyediaannya:
1.  Perap tulang daging lembu dengan Bahan B selama 1 jam.  Letakkan 1 sudu teh gula. 


Cara-cara Memasak Menggunakan Periuk Noxxa:

1.  Masukkan minyak secukupnya ke dalam periuk. Tekan fungsi STIR FRY' dan tunggu sehingga minyak panas.

2.  Selepas minyak panas, masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, dan serai.   Selepas naik bau, masukkan bawang merah, bawang putih, halia, dan daun kari.   Tumis sehingga bawang kekuningan.

3.  Kemudian masukkan tulang daging lembu yang diperap dengan rempah tadi dan gaul rata.  Masak sehingga pecah minyak.

4.  Setelah pecah minyak, masukkan santan dan kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula.

5.  Off  fungsi stir fry.   Set fungsi HIGH PRESSURE 30 minit.  Tutup periuk dan set cap ke PRESSURE.  Tekan on.

6.  Selepas 30 minit berlalu,  release steam.  Alihkan cap ke STEAM.  Biarkan wap keluar habis, baru tudung periuk boleh dibuka.  

7.  Buka tudung dan kacau rata.  Kemudian masukkan ubi kentang, Guna fungsi `LOW PRESSURE', Set 2 minit tanpa perlu menutup periuk. 

8.  Selepas dua minit berlalu dan ubi kentang pun telah empuk, masukkan tomato dan cili hijau. Kacau rata dan biarkan seketika di dalam periuk sebelum dipindahkan ke bekas lain.

9.  Sekiranya anda inginkan kari berada di dalam periuk Noxxa dan  senantiasa berada dalam keadaan panas, bolehlah guna fungsi `WARM/REHEAT'.   

Kek Gula Hangus, Kudapan Keluarga di Hujung Minggu

Assalamualaikum dan Salam Santai Hujung Minggu.

Semoga semuanya sihat bersama keluarga beristirehat di hujung minggu. Di hujung minggu begini terfikir pula nak sediakan juadah minum petang untuk keluarga. Tetapi tak naklah sesuatu yang `heavy' dan sukar untuk dibuat. Just nak sediakan juadah yang simple dan dapat dimasak segera.

Semenjak membeli periuk Noxxa ni, teruja sangat nak cuba masak itu dan ini. Teruja bila kawan-kawan yang telah lama memiliki periuk Noxxa mengepos gambar dan juga resepi yang telah mereka cuba. Sifu-sifu inilah yang banyak membantu memberi tunjuk ajar kepada `budak-budak yang baharu belajar' seperti Kak Noor ini. Apa yang penting ialah mudah dan cepat mengukus kek ini bila guna periuk Noxxa. Memang berbaloi menggunakannya.

Hari ini Kak Noor nak cuba sediakan Kek Gula Hangus. Resepi ini Kak Noor perolehi daripada kawan-kawan yang telah pernah membuatnya.  So far, memang tak pernah buat kek gula hangus ini.

Jom kita tengok penyediaannya.  Tengah rajin hujung minggu ini, sempatlah snap beberapa gambar untuk mudah diikuti.


Bahan-bahan Untuk Gula Hangus:
¾ cawan gula pasir
*¼ cawan gula perang
1 cawan air
1 ½ sudu besar mentega
1 sudu esen vanilla

*  Boleh ganti gula pasir, jadikan 1 cawan gula pasir



Cara Membuat Gula Hangus:



1. Masukkan gula pasir dan dan gula perang di dalam periuk. 
 Gunakan api sederhana dan masak hingga gula cair dan betul-betul mendidih.
Gula yang dimasak mestilah pekat, melekit, dan gelap sikit. Kacau selalu.



2. Selepas itu masukkan 1 cawan air sedikit-sedikit dan perlahan. 
 Berhati-hati dengan percikan gula panas. 
Kacau dan biarkan di atas dapur sehingga mendidih.



3. Kemudian masukkan 1 ½ sudu besar mentega dan kacau lagi sehingga mentega mesra dan mendidih sekali lagi.



4. Tutup api dan alihkan ke bekas lain. Biarkan ia betul-betul sejuk.



Bahan-bahan Untuk Kek:
4 biji telur
½ tin susu pekat
*1 cawan tepung gandum – Kak Noor guna superfine MFM dalam kotak
*1 sudu teh soda bikarbonat
* Disatukan dan diayak


Cara Membuat Adunan Kek:


1. Masukkan telur dalam mixer dan pukul hingga kembang.  
Bila telah kembang, masukkan ½ tin susu pekat manis, dan kacau rata.



2.  Selepas itu masukkan tepung yang telah diayak dengan soda bikarbonat
 sedikit-sedikit dan perlahan-lahan dalam mixer. Gunakan kelajuan minimum.

4. Akhir sekali masukkan gula hangus yang telah sejuk tadi dan esen vanilla, dan kacau rata.



5. Bila telah digaul rata, tuang dalam bekas bertutup.
Tutup 2 – 3 jam untuk mendapatkan lubang yang cantik.




Cara Mengukus Menggunakan Periuk NOXXA:

1. Gunting kertas minyak ukuran bulat saiz dasar periuk NOXXA.
Sapukan sedikit mentega di atas kertas.



2.  Masukkan kertas minyak di dalam periuk.  
Tuang bancuhan kek ke atas kertas minyak tadi. 


3.  Tekan fungsi `STEAM’ 20m minit  dan tekan `On’. Tutup periuk dan set cap pada steam.



4,  Selepas 20 minit, inilah hasillnya (masih dalam periuk)




5.  Setelah sejuk, barulah dikeluarkan dan dipotong.


Special Dedication:

Terima kasih kepada Geng Periuk Noxxa yang sudi berkongsi pelbagai resepi dan tips mengenai penggunaan periuk Noxxa ini.  Thrillon of thanks to Sifu Ira, Afzarina, and Nor Hidayah kerana sudi meluangkan masa memberi tunjuk ajar dan tidak pernah jemu menjawab kemusyikilan yang diajukan pada setiap kali ada masalah ketika memasak menggunakan periuk Noxxa ini.  Mungkin suatu hari ini Kak Noor dapat bertemu kalian semua.

Jumat, 05 September 2014

JOM MASAK GUNA PERIUK NOXXA: BIHUN GORENG


Bahan-bahannya:
1 bungkus bihun jenama Faiza 400 gm - basuh dan toskan, tak perlu direndam
Udang/sotong secukupnya
Nuget ayam - digoreng, kemudian dipotong dadu - boleh ditambah
Sayur-sayuran - opsyen
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
2 sudu besar sos tomato
600ml air 
Garam dan gula secukup rasa 

Bahan-bahan Tumis:
3 sudu besar minyak 
1 biji bawang besar - dihiris
4 ulas bawang putih - dihiris
1 senduk nasi cili kering kisar

Cara-cara Membuatnya:
1.  Masukkan minyak ke dalam periuk Noxxa.


 2.  Tekan fungsi `STIR FRY' dan ON (butang warna merah)



3.   Bila minyak telah panas, tumiskan bawang besar, bawang putih, dan nuget ayam.
   Tumis sehingga bawang kekuningan dan naik bau.

 

4.  Kemudian masukkan cili kering kisar.  Kacau dan biarkan cili garing. 
 Kemudian masukkan air 600ml. dan kacau rata.



 5.  Selepas itu masukkan sos tiram, sos tiram, dan kicap manis.  Masukkan udang dan kacau.  Perasakan dengan garam dan gula. Biar kuah mendidih dan pada masa yang sama udang pun masak.

.

 6.   Masukkan bihun dan sayur, dan gaul rata.

7.  OFF kan fungsi `STIR FRY'.

 
8.   Tutup periuk dengan ketat dan pastikan tombol berada di kedudukan `HIGH PRESSURE'.



9.  Tekan fungsi `HIGH PRESSURE' 6x dan tekan `ON'.



10. Selepas tamat masa memasak (masa menunjukkan 0), tolak tombol kepada kedudukan steam untuk keluarkan wap  (perlu diingat sekiranya wap masih ada di dalam periuk, penutup tidak boleh dibuka disebabkan masih mempunyai tekanan).



11.  Kacau dan kaupbalikkan bihun sehingga rata.  Tutup periuk dan tekan fungsi `WARM-REHEAT' supaya bihun senantiasa panas dan sedap dimakan. Sekiranya tidak mahu, bolehlah mengalihkan bihun dari periuk  ke bekas lain.

Rabu, 03 September 2014

Practise Makes Perfect... akhirnya sempurna juga samperitku ini....





Alhamdulillah, akhirnya Kak Noor berjaya juga menghasilkan biskut samperit yang sempurna bentuknya dan sedap rasanya. Setelah try and error dan pelbagai eksperimen dilakukan, terhasillah resepi samperit yang akhirnya menepati citarasa Kak Noor. Sekarang ini rasa seronok pula nak buat biskut samperit. Sebenarnya nak buat biskut samperit ini mudah sahaja, tak perlu pukul mentega, gula, dan telur sehingga kembang. Bancuh pun sekejap sahaja. Tetapi... kalau kita budak baru belajar, kita akan menghadapi kesukaran untuk menekan doh menjadi bentuk bunga. Mesti ada teknik untuk menekan doh menggunakan acuan biskut samperit. Kejadian bunga mestilah cantik. Dan yang paling penting, bila dibakar, bunga tidak jatuh dan kembang.



Kombinasi tepung yang Kak Noor gunakan untuk membuat biskut samperit ialah MFM superfine flour jenama Rose, tepung jagung jenama Brown and Poison @ jenama Kupu-kupu,  dan tepung kastard Bird.  Inilah tiga jenis tepung yang paling popular digunakan sejak zaman bonda Kak Noor lagi apabila membuat biskut. Sekarang ini terdapat pelbagai jenama tepung di pasaran dengan pelbagai harga dan orang ramai boleh membuat pilihan.  Walau bagaimanapun, Kak Noor dapati harga ketiga-tiga tepung tersebut lebih mahal daripada jenama lain.





Bagi penggunaan acuan pula, Kak Noor suka sangat menggunakan acuan samperit bunga 12 saiz kecil.  Biskut yang terhasil pun comel-comel aje.  Sekali ngap saja masuk mulut.  

Alhamdulillah... Pada Hari Raya Aidil Fitiri yang lalu, banyak jugalah tempahan yang diterima untuk biskut samperit ini.  Ada yang menempah untuk dijadikan `corporate gift'.  Ada juga kawan-kawan FB yang teruja dengan gambar biskut samperit yang Kak Noor poskan dalam FB turut menempahnya daripada Kak Noor. Sehingga last minute ada yang masih menempahnya, tetapi Kak Noor terpaksa menolak kerana kesuntukan masa. 

So hari ni just nak `tayang'  biskut samperit yang comel ini kepada kekawan semua.  So... sesiapa yang teruja dan ingin merasa samperit comel Sajian Dapur Bonda ini bolehlah menempahnya daripada Kak Noor. Tempahan senantiasa dibuka.  


Samperit bertahtakan ceri



Ini pula Kak Noor namakan Samperit Butter Scotch



Seiring dan sejalan, samperit butter scotch dan samperit manik, sesuai untuk dibuat hantaran