Minggu, 29 Maret 2015

Ayam Masak Kicap Lada Hitam

Assalamualaikum semua.  Selamat Santai di hujung minggu.

Emm.... celik mata saja, dah fikir nak masak apa untuk tengah hari ini.  Blur..... Bila tanya Encik Hasben nak masak apa, standard selalu jawapannya, `Banyak resepi dalam blog SDB tu...'. Ye tahulah kita banyak resepi dalam blog tu, tapi semua dah pernah masak dan selalu sangat dihidangkan. Nanti jemu pula. 

Kalau boleh di hujung minggu ini naklah sesuatu yang istimewa sikit.  Nak tahu juga Cik Abang nak makan apa. Kot-kot ada request tertentu.  Tetapi itulah hasben KaK Noor, tak cerewet orangnnya, dari dulu dan selama-lamanya. Apa sahaja yang dihidangkan, itulah yang dimakannya. Syukur Alhamdulillah.  Tetapi kita sebagai isteri, sesekali bila masa terluang, ingin juga mencuba sesuatu yang istimewa untuk disajikan untuk keluarga di hujung minggu. 




Finally, teringat request daripada Shila, anak bongsu Kak Noor semalam.  `Ibu masak ayam kicap pedas, macam ibu buat hari itu.  Sedaplah ibu guna kicap tu..'  Yes! tak yah payah fikir dua kali dah... senang cerita.  Ringkas saja. Lagipun selepas masak  nanti, rancang nak mulakan projek buat biskut samperit dan chococolate cookies.  Ada rakan FB yang tempah.  Alhamdulillah rezeki daripada Allah.  Pada hujung minggu ini sahajalah masa yang terluang untuk membuatnya. 



Sebenarnya masakan yang anak bongsu Kak Noor maksudkan ialah Ayam Masak Kicap Lada Hitam. Seperti biasa antara sos yang digunakan untuk menu ini ialah sos lada hitam, sos tiram, dan kicap. Sejak menggunakan kicap 3 serangkai jenama Enaq ini, satu famili telah teruja dengan keenakannya. Kak Noor pula teruja nak bereksperimen dengan kicap ini dengan menyediakan menu-menu yang boleh menggunakan kicap ini sebagai perasa. 




Untuk membangkitkan gabungan rasa manis dan masin untuk masakan ini,  Kak Noor hanya menggunakan kicap manis dan kicap masin jenama ENAQ. Memang memenuhi citarasa. Tak perlu lagi letak gula atau garam dan tak perlu risau kita `terlalut' letak terlebih gula atau garam. Dengan kicap ENAQ  kita boleh adjust rasanya.

Sesiapa yang rasa nak masak menu ini untuk makan tengah hari nanti bolehlah pergi beli kicap ENAQ ini di pasar raya Giant/Tesco/Mydin.



Resepi Ayam Masak Kicap Lada Hitam
Oleh: Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahannya:
2 keping dada ayam organik - dipotong kecil
1 biji bawang besar - dicincang
3 ulas bawang putih - dicincang
1 biji bawang besar -dipotong gegelang
1 inci halia - dihiris
1 biji cili merah - dihiris serong
2 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap manis ENAQ
2 sudu besar kicap masin ENAQ
1 sudu kecil serbuk lada hitam kasar.
Minyak secukupnya untuk menumis.

Cara-caranya:
1. Isi ayam digaramkunyitkan dan diperap 15 minit. Ketepikan.
2. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Goreng isi ayam sehingga 3/4 masak.
3. Kemudian masukkan cincangan bawang besar dan bawang putih, dan hirisan halia. Kacau rata sehingga bawang kekuningan.
4. Masukkan sos lada hitam, serbuk lada hitam, sos tiram, kicap manis dan kicap masin. Kaupbalikkan bersama ayam sehingga bergaul rata.
5. Akhir sekali masukkan bawang yang dipotong gegelang dan hirisan cili merah. Kacau rata.
6. Bolehlah diangkat dan dihidangkan. Boleh dihias di atasnya dengan daun sup.

SELAMAT MENCUBA
.

Sabtu, 28 Maret 2015

MEE HAILAM UDANG ENAQ

Assalamualaikum.




Ini cerita semalam. Tak selera nak makan nasi. Just campak campak ikut bahan bahan yang ada saja. So dapatlah menu ini, Mee Hailam Udang Enaq. Guna kombinasi 3 serangkai kicap jenama ENAQ. Walaupun simple, resultnya tidak mendukacitakan. Masih SEDAP dan ENAQ. Makan pula semasa masih panas lagi. Nyum-nyum & slurrp... kuahnya. Satu kepuasan



Resepi ini simple, sesiapapun boleh menyediakannya asalkan ada tiga serangkai kicap ENAQ ini. Tak perlu lagi tambah garam, pedas, dan manis dalam menu ini. Guna ketiga-tiga kicap ENAQ sebagai perasa barulah hidangan menjadi enaq.

RESEPI MEE HAILAM UDANG ENAQ
Oleh: Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:

1 bungkus mi kuning - dibasuh dan ditoskan.
Beberapa ekor udang
1/2 biji bawang besar - diracik/dicincang
2 ulas bawang putih - dititik dan dicincang
Sayur sawi
Lobak merah - dipotong bulat
1 biji cili merah - dihiris serong
5 - 6 biji cili padi diketuk
1/2 biji tomato - dipotong wedges
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
3 sudu besar kicap pedas Enaq
2 sudu besar kicap masin Enaq
4 sudu besar kicap manis Enaq
1 sudu besar tepung jagung - dibancuh dengan sedikit air (untuk memekatkan kuah)
Minyak secukupnya untuk menumis.

Cara-cara memasak:

1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih. Bila bawang kekuningan, masukkan udang dan kacau rata sehingga kulit udang bertukar keperangan.
2. Masukkan sos tiram, sos cili, kicap pedas, kicap masin, kicap manis dan air secukupnya untuk kuah. Kacau rata dan biar kuah mendidih. Rasa kuah sehingga menepati citarasa. Sekiranya tidak cukup masin, manis atau pedas, boleh tambahkan kicap mengikut perasanya.
3. Setelah cukup rasa, masukkan lobak merah, sayur sawi, dan cili padi. Kacau sebentar, kemudian masukkan mi. Kaupbalikkan mi sehingga bergaul mesra dengan kuah.
4. Masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau rata. Tunggu sehingga kuah mendidih sekali lagi, masukkan tomato. Tutup api dan bolehlah dihidangkan.
5. Semasa menghidang, bolehlah dihiaskan dengan daun pudina dan hirisan cili merah.

Sabtu, 21 Maret 2015

Agar-Agar Pandan Santan

Assalamualaikum dan Selamat Santai Bersama Keluarga di Hujung Minggu.



Alhamdulillah, baru habis mengemas di dapur. Hasben dan anak-anak pun telah selesai menjamu selera untuk makan tengah hari. Kak Noor masih kenyang lagi sebab pagi tadi telah bersarapan nasi lemak. Cuma dahaga sahaja, maklumlah cuaca panas sekarang ini. Di luar tu panas sangat. Oghang Utagha kata panas `lit-lit'. So lebih baik kita menjalani aktiviti `indoor' sahaja. 


Sementara menunggu masuk waktu Asar, sempatlah Kak Noor godek komputer ini sekejap. Muatkan resepi yang masih pending. Resepi ini telah dikongsi bersama dalam laman FB Sajian Dapur Bonda. Cuma di laman sana tak dapat nak celoteh panjang-panjang macam di blog ini.



Resepi yang ingin dikongsi bersama ialah Agar-agar Pandan Santan. Dalam keadaan cuaca panas sekarang ini, memang sedap makan agar-agar ni. Sejuk tekak, apalagi lagi sejurus keluar daripada peti sejuk. Memang mudah menyediakan agar-agar pandan santan ini. Tak sampai 30 minit dah siap. 


Inilah santan sawit KHALIS, packaging terkini.

Resepi ini Kak Noor dapat daripada rakan FB juga, tapi dah tak ingat siapa gerangannya. Resepi ini diolah semula mengikut kesesuaian dan citarasa Kak Noor. Kebanyakan bahan disatukan dan diblend sahaja; tak perlu susahkan diri, kita ambil cara yang paling senang. Untuk santannya Kak Noor guna santan Sawit KHALIS, kerana ia lebih pekat dan lemak. Walaupun lemak berkrim, tapi ia tidak memudaratkan kesihatan, Tiada kolestrol. Santan ini boleh didapati di pasar raya Giant atau pasar raya Mydin. Kalau sukar untuk mendapatkan santan ini, boleh digantikan dengan santan kelapa sahaja.



Agar-agar Pandan Santan ini merupakan salah satu daripada faveret Kak Noor selain Agar-agar Gula Merah Santan. Tak sangka anak perempuan Kak Noor yang bongsu pun menggemarinya. Satu bekas selesai dimakannya, katanya sedap sangat. Office mate pun kata sedap. So... meh lah cuba membuatnya. Ingat hari ini nak buat lagi. Santan sawit KHALIS pun ada lagi.

Resepi Agar-agar Pandan Santan.

Bahan-bahannya: 
20 gm agar-agar tali
1 cawan gula pasir
4 cawan air 
75 ml jus daun pandan – (6 helai daun pandan diblend bersama 75ml air suam) 
1 sudu kecil esen perisa pandan 
2 helai daun pandan dikoyak dan disimpul. 

Bahan-bahan disatukan dan diblend:
200 ml santan sawit KHALIS 
50 ml air 
1 biji telur 
Secubit garam halus 

Cara-caranya: 
  • Basuh agar-agar. Masak agar-agar dengan 4 cawan air bersama daun pandan sehingga agar-agar larut. 
  • Bila agar-agar telah larut, masukkan gula pasir dan masak lagi sehingga gula larut. 
  • Masukkan jus daun pandan dan esen perisa pandan. Kacau rata. 
  • Kemudian tuangkan bahan-bahan yang diblend tadi dan kacau terus sehingga mendidih. Gunakan api sederhana dan senantiasa dikacau. 
  • Bila telah mendidih, tutup api. 
  • Tuangkan ke dalam acuan. 
  • Sejukkan di luar terlebih dahulu, kemudian baru dimasukkan ke dalam peti sejuk. 
  • Bila telah keras dan sejuk, bolehlah dipotong.

Jumat, 20 Maret 2015

Chocolate Chip Cookies dan Anakandaku Shila.

Assalamualaikum dan Selamat Malam.


Esok cuti,  Memang ditunggu-tunggu harinya.  Malam ini dapatlah Kak Noor `bersantai' di depan komputer sambil mengarang N3 untuk malam ini. Malam ini hanya edisi ulang tayang biskut yang paling digemari oleh seisi keluarga, iaitu Chocolate Chip Cookies.  Panjang sikit celoteh Kak Noor malam ini sebab ada cerita di sebaliknya; `Chocolate Chip Cookies dan Anakandaku Shila'.  


Chocolate Chip Cookies, memang agak mudah untuk membuatnya asalkan bahan-bahannya sedia ada di dalam stok. Kerap juga Kak Noor buat biskut ini untuk kudapan keluarga dan juga bekalan untuk anak-anak yang pulang ke IPTA.  Sesekali bila balik ke rumah bonda, biskut ini menjadi buah tangan kepada anak-anak saudara di sana.  Mereka gemar sangat chocolate chip cookies ini.  



Ada juga permintaan daripada rakan-rakan pejabat dan juga rakan-rakan FB yang membelinya secara online.  Kak Noor hanya buat bila ada orang yang menempahnya, `Fresh from Oven'. Kalau mahukan rasa yang sempurna macam jenama Famours Amos cookies tu, better guna serbuk coklat dan coklat cip jenama Hershey's.  Walaupun harganya agak mahal, tetapi rasanya memang sedap. 



Kali ini cookies yang dihasilkan agar besar.  Memenuhi permintaan puteri bongsuku, Shila.  'Ibu kawan kita tempah cookies lagi, esok Shila nak bawa pergi sekolah'.  Seronok Shila bila cookiesnya laku macam goreng pisang panas.  Ada antara kawannya  yang frust tak dapat beli.  



Episod jual cookies di sekolah ini hanya suka-suka sahaja. Bukan hari-hari pun Shila jual di sekolah. Ikut tempahan yang diterima oleh Kak Noor.  Sekiranya ada lebihan adunan daripada tempahan, baru Kak Noor akan buat untuk Shila jual kepada rakan-rakan.  Duit hasil jualan menjadi miliknya. Itulah semangat usahawan yang ditunjukkan oleh Shila. 


Pernah suatu hari sepulangnya dari pejabat, masuk sahaja pintu rumah, Shila awal-awal beritahu esok kita nak bawa cookies lagi.  `Ibu kena buat malam ini, kita tolong ibu'. Hai... kalau ikutkan hati memanglah tak terdaya malam-malam begini.  Penat seharian di pejabat, ingat  nak rehat sepulangnya dari kerja. Tapi kasihan pula permintaan si anak bongsu ini. Dah siap dikeluarkan butter tengah hari tadi, sepulangnya dari sekolah. Kalau ikutkan hati memanglah malas nak layan. Tapi bila difikirkan semangat yang ditunjukkan oleh Shila, ibu tunaikan juga.  Pandai Shila market kat kawan kawannya di sekolah. Guru pun berjaya digodanya..


Selepas menyelesaikan kerja rumah, terus mula projek membuat cookies ini.  Kak Noor cuma buat 1/2 adunan sahaja.  Mula pukul 10.00 malam.  Sepulangnya dari tuisyen dengan penuh semangat Shila terus membantu membentuk adunan cookies supaya menjadi bulat elok. Sekerat jalan, akhirnya Shila tertidur keletihan di tengah rumah. Akhirnya ibu yang menghabiskannya sehinggalah ke packing.  Tamat tugas jam 1.00 pagi.  Ha..ha... kerja overtime! 

Ok.. dah jemu baca celoteh Kak Noor di atas, jom kita tengok resepinya.  Resepi ini sebenarnya diambil daripada video Try Masak dan Kak Noor translate ke bentuk catatan.  Memang amat mudah mengikut resepi ini. Resepi ini pernah dimasukkan dalam blog ini.  

Bahan-bahannya:
280 gram tepung gandum
1 sudu kecil serbuk koko
1 sudu besar tepung jagung
150 gram gula kastor
½ sudu besar soda bikarbonat
2 sudu besar susu tepung
½ sudu kecil garam
250 gram mentega
½ sudu kecil esen vanilla
1 biji kuning telur
100 gram cip coklat HERSHEY'S
50 gram almond yang dibakar/panggang terlebih dahulu
Boleh ditambah sedikit nestum sekiranya suka.

Cara-caranya:
Mula-mula pukul mentega dan gula sehingga kembang.
Masukkan kuning telur dan esen vanilla. Pukul sehingga sebati.
Kemudian masukkan tepung gandum, serbuk koko, tepung jagung, soda bikarbonat, susu tepung dan garam. Kacau perlahan sehingga sebati.
Masukkan cip coklat dan almond. Gaul sebati menggunakan spatula.
Seterusnya ambil adunan menggunakan sudu dan letakkan doh di atas dulang pembakar. Besarnya doh adalah mengikut citarasa masing-masing.
Akhir sekali bakar pada suhu 160c selama 20 – 30 minit.
Bikust cip coklat sedia untuk dihidangkan.




Kamis, 19 Maret 2015

Ikan Cencaru Belah Belakang @ Ikan Cencaru Sumbat Sambal

Assalamualaikum.




Ikan Cencaru Sumbat Sambal, menu ini tidak sekerap menu-menu yang selalu dimasak dan dihidang oleh Kak Noor untuk keluarga  walaupun semua menggemarinya termasuklah Kak Noor sendiri. Tetapi bila sesekali memasaknya, Kak Noor akan pastikan setiap orang akan puas menikmatinya.



Ini pun permintaan daripada anak lelaki Kak Noor yang tinggal jauh di perantauan.  Teringin sangat nak makan ikan cencaru sumbat sambal yang dimasak oleh bondanya sendiri. Pesannya kalau datang melawatnya nanti, jangan lupa bawa ikan sambal.



Ikan boleh dibelah di kedua-dua belah belakangnya untuk disumbat sambal. Kak Noor lebih suka cara ini kerana boleh sumbat banyak sambal; dua-dua belah ada sambal. Ada juga yang hanya menyumbatnya sebelah sahaja. 

Kebiasaannya Kak Noor menggunakan method menggoreng sahaja. Tetapi sekiranya menggunakan oven, lebih sedap ikan dibungkus dahulu dengan daun pisang atau daun kunyit. Letakkan sedikit mentega/margerin di atas ikan dan di atas dulang. 

Bahan A:
10 ekor ikan cencaru - dibasuh bersih dan digaramkunyitkan.
½ biji buah tomato – diracik kecil
1 sudu besar pati asam jawa XTRA ADABI
2 sudu besar gula merah
1 sudu besar gula putih
4 biji limau kasturi – diambil jusnya
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis pes sambal dan menggoreng ikan sambal

Bahan B:
5 senduk nasi cili kering yang telah dikisar
5 biji cili merah – buang biji
2 biji bawang besar saiz sederhana
6 ulas bawang putih
½ biji buah tomato
2 inci belacan bakar
Segenggam ikan bilis yang telah dikopek
2 inci halia
2 batang serai
(Satukan semua bahan B dan diblend tanpa menggunakan air – menggunakan chopper blender)

Cara-caranya:
1. Ikan cencaru dibelah di kedua-dua belakangnya atau sebelah sahaja. Ketepikan. 
2. Satukan semua bahan B dan diblend tanpa menggunakan air. Lebih mudah menggunakan chopper blender. 
3. Masukkan minyak secukupnya di dalam kuali. Gunakan api sederhana. Tumis bahan-bahan B sehingga sambal masak sekata/pecah minyak. Kemudian masukkan tomato yang diracik, gula merah, gula putih, pati asam jawa, dan jus limau kasturi. Masak lagi sehingga kering dan sedikit garing. Tutup api.
4. Ambil ikan cencaru. Sumbat sambal yang telah dimasak tadi di kedua-dua belah belakang ikan. 
5. Panaskan minyak. Goreng sehingga masak, kemudian ditoskan. Boleh juga bakar ikan ini di dalam oven. Balut ikan dengan daun pisang atau daun kunyit. Letak sedikit mentega/margerin di atas ikan dan di atas dulang. Guna api bawah suhu 180 selama 35 minit atau sehingga ikan masak. 
6. Hidangkan bersama nasi putih. Sedap dimakan bersama nasi panas.

Kamis, 12 Maret 2015

Kek Pisang Berangan, juadah untuk minum petang

Assalamualaikum.




Ini adalah cubaan pertama membuat kek pisang. Memang selama ini tak pernah pun nak cuba membuat kek pisang. Sesekali kalau teringin nak makan beli aje kat kedai.  Lagipun murah aje, satu buku saiz panjang harganya baru RM6.  Tak tahulah kalau sekarang harga telah naik, sebab telah agak lama Kak Noor tak beli kek pisang. 


Disebabkan pisang yang dibeli di pasar malam dua hari lalu masih berbaki, maka hari ini terfikir nak buat kek pisang. Biasalah kalau perlu resepi, blogwalking di blog rakan-rakan, tengok mana-mana resepi yang berkenaan.  Tak rasmi blogwalking kalau tak singgah di blog Azlita Masam Manis. Kat sana banyak resepi yang sedap-sedap.  So... terpikat dengan resepi Kek Pisang Lembut yang dihidangkan di sana. Melihat kepada gambar kek, ternyata tekstur kek nampak lembap dan lembut.  Mesti sedap ni....  Apa kata kita cuba resepi ini.  Harap-harap tu menjadilah.



Resepi kek pisang Azlita menggunakan pisang emas.  Tetapi Kak Noor guna pisang berangan sebab stok pisang berangan tersedia ada di rumah.  Dua hari lalu beli di pasar malam dan masih berbaki. Kalau tunggu sehari lagi mahu pisang bertukar warna dan tak boleh dimakan lagi. Untuk bahannya pula Kak Noor tambah sedikit susu tepung.  


Bagi memudahkan proses melecek pisang, Kak Noor guna blender chopper.  Masukkan pisang dan blend tanpa menggunakan air.  Mudah dan pantas.


Acuan pula Kak Noor guna jenis springform 10 inci.  Dah banyak kali guna acuan ini untuk adunan kek, mudah sangat. Bila kek dah masak, letakkan di atas bekas yang sesuai, kemudian release clip pada acuan.  Kek tak lekat di dinding acuan dan mudah dikeluarkan. 



Hm... nak tulis apa lagi ye?  Rasanya cukup di sini sahaja coretan Kak Noor.  Jom kita tengok resepi Kak Pisang Berangan ini.   Tak banyak perbezaannya dengan resepi Kek Pisang Lembut di blog Azlita Masam Manis.  

Bahan-bahannya:
8 biji pisang berangan – dilecek @ diblend tanpa air
1 @ 2 biji pisang berangan – dihiris nipis untuk hiasan
4 biji telur gred A
1 cawan gula kastor
2 cawan tepung gandum
2 sudu besar susu tepung - Kak Noor tambah
1 sudu teh baking powder
¾ cawan butter cair
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh esen vanilla - (kalau ada esen pisang lagi wangi)
½ sudu kecil garam halus

Penyediaannya:
1. Pisang dilecek lumat @ diblend tanpa menggunakan air dengan menggunakan chopper blender.
2. Tuangkan pisang lecek dalam bekas lain. Campurkan garam dan juga soda bikarbonat. Gaul rata dan ketepikan.
3. Ayak tepung gandum bersama baking powder dan susu tepung. Ketepikan.
4. Cairkan butter menjadikannya ¾ cawan.5. Sediakan loyang. Saya guna loyang spring foam 10 inci. Alas loyang dengan kertas pembakar dan sapukan dengan sedikit butter.

Cara Membuatnya:
1. Dalam bekas pemutar, masukkan telur bersama gula dan esen vanilla. Putar sehingga kembang.
2. Kemudian masukkan butter cair dan putar lagi.
3. Tuangkan adunan pisang dan putar lagi.
4. Selepas itu masukkkan tepung dan putar lagi menggunakan kelajuan yang rendah, diikuti dengan kelajuan yang sederhana sehingga adunan bercampur sempurna.
5. Tuangkan adunan ke dalam loyang. Hiaskan dengan kepingan pisang.
6. Bakar dalam dalam ketuhar pada suhu 170C selama 45 minit atau sehingga kek telah masak dengan sempurna.
7. Untuk pastikan pastikan kek telah masak atau belum, cucuk tengah kek dengan lidi atau chopstick. Jika keluar kering, maknanya kek telah cukup masak. Jika sebaliknya tambahkan lagi masa membakar.

Kamis, 05 Maret 2015

Agar-agar Coklat Lapis Kopi Hazelnut

Assalamualaikum. 



Hari ini eksperimen buat Agar-agar Coklat Lapis Kopi Hazelnut. Resepi ini diolah berpandukan kepada pelbagai resepi agar-agar berasaskan coklat yang Kak Noor jumpa semasa blog walking. 




Sebenarnya agar-agar coklat lapis kopi hazelnut ini lebih kurang sama saja penyediaannya dengan agar-agar berunsurkan coklat yang lain. Cuba ditokok tambah, dan diubah suai dari segi penggunaan bahan, maka jadilah satu resepi baharu. 



Bahan-bahannya:
20 gram agar-agar tali
1000 ml air
150 gm gula
1 tin (400 gm) susu cair (susu sejat)
1 cawan serbuk koko
1 sachet white coffee hazelnut
Beberapa biskut coklat dihancur kasar menjadikannya 100 gram

Cara-caranya: 
  • Basuh agar-agar, kemudian toskan.
  • Masukkan dalam periuk bersama 1000ml air dan masak sehingga agar-agar larut. 
  • Masukkan gula dan masak lagi sehingga gula larut.
  • Selepas itu masukkan susu cair dan kacau hingga mendidih.
  • Asingkan dua cawan ke dalam periuk lain dan campurkan serbuk koko. Kacau sehingga sebati dan larut sepenuhnya. Untuk adunan yang masih tinggal di dalam periuk, campurkan satu sachet white coffee hazelnut dan kacau rata sehingga larut.
  • Seterusnya tuang adunan campuran white coffee hazel nut dalam acuan dan masukkan ke dalam peti sejuk. Sementara itu panaskan campuran koko dengan api paling kecil supaya adunan tidak membeku.
  • Bila lapisan white coffee hazelnut di dalam peti sejuk tadi agak keras sedikit, tuang semua adunan koko, tabur biskut coklat crush, dan masukkan ke dalam peti sejuk semula sehingga keras.

Selasa, 03 Maret 2015

Sotong Masak Lemak Padang

Assalamualaikum.

Blog walking semata-mata nak cari menu sotong yang membangkitkan selera?  Akhirnya kutemui di blog Azlita Masam Manis. Bila dilihat pada bahan-bahan yang digunakan dan cara penyediaannya, menu ini agak ringkas dan mudah disediakan. 




Kebiasaannya bila lauk sotong Kak Noor selalu masak sambal tumis, masakan lauk kandar, dan sesekali masakan kari.  Kali ini menu sotong yang Kak Noor masak agak lain citarasanya. Ini adalah cubaan pertama Kak Noor memasak menu Sotong Masak Lemak Padang ini. Alhamdulillah.. sekeluarga sukakannya. 



Diperturunkan resepi Sotong Masak Lemak Padang, tetapi Kak Noor menggantikan bawang kecil dengan bawang besar sebab Kak Noor agak kurang menggunakan bawang kecil untuk masakan.

Bahan-bahannya:
1 kg sotong ~ cuci bersih dan potong
3 biji bawang besar ~ belah 4
2 biji tomato ~ belah 4
2 batang serai ~ di titik
3 biji ubi kentang ~ belah 4
3 camca minyak untuk menumis
500 ml santan
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar:
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
2 inci halia
5 tangkai cili merah - dibelah dua dan dibuang biji

Cara-cara Memasak:
1. Panaskan minyak. Tumiskan bahan kisar hingga harum dan terbit minyak.
2. Kemudian masukkan bawang besar, serai, ubi kentang, tomato, sotong, santan, dan air. Kacau biar sebati
3. Kemudian renehkan dan sesekali dikacau supaya santan tidak pecah minyak.
4. Perasakan dengan garam dan gula.
5. Sedia untuk dihidangkan

Minggu, 01 Maret 2015

KEK COKLAT KUKUS, FIRST TRIAL KUKUS DENGAN ELECTRIC FOOD STEAMER

Assalamualaikum.




At last.. finally I got it and I make it! Rasa impress sangat bila dah boleh kukus kek. Tengok hasilnya di atas. Hm... bolehlah kan! Boleh dimakan sudah.. Akhirnya dapat juga Kak Noor miliki Electric Food Steamer yang selama ini memang dicari-cari. Jenama pun nama EMPRESS. Sebutan sama tapi ejaannya dan maknanya berbeza. 


Electric Food Steamer
Berkira-kira juga nak beli food steamer ini sebab periuk kukus manual ada di rumah.  Tetapi periuk kukus lama le.. dah berzaman-zaman, bila kukus kek atau apom selalu nitik air.  Dah rasa trauma nak guna periuk kukus manual ini. Kadang-kadang terasa juga akan pembaziran membelinya. Bukanlah nak guna sangat; sesekali sahaja dan ada waktu-waktu tertentu. Cuma bila tengok orang guna, teringin juga memilikinya.


So nak jadi cerita semasa Kak Noor pergi ke kedai Cosway untuk membeli sabun, shampoo dan sebagainya, terpautlah hati kepada Food Steamer yang dipamerkan di kedai berkenaan. Pucuk dicita, ulam mendatang. Terus minta sales girl buka kotak untuk melihat isi dalamnya.


Hm… okay jugalah. Saiznya tak besar dan tak kecik; sederhana saja. Apa yang pasti loyang bulat besar saiz 8 dan 10 inci memang tak muat sebab containernya berbentuk bujur. Ada tiga tingkat. Kalau banyak adunan kek, bolehlah dibahagikan kepada dua atau tiga bekas, dikukus sekali. Kak Noor beriya-iya benar nak beli food steamer ini sebab ada tawaran pembelian melalui kupon Dah banyak kupon terkumpul, inilah masa terbaik untuk kita menggunakannya. Cuma tambah duit sikit sahaja, dah dapat food steamer yang diidamkan.




Untuk first trial guna food steamer ini, Kak Noor rujuk resepi kek coklat moist kukus daripada Blog Jintan Manis. Memandangkan tidak sempat untuk menyediakan topping untuk kek ini, maka Kak Noor tidak paparkan resepi penyediaan topping berkenaan. Walau bagaimanapun resepi asal kek ini bolehlah dirujuk di blog Jintan Manis.



Kek Coklat Moist Kukus
Sumber Resepi: rosmarlina@jintanmanis.com 

Bahan-bahannya: 
2 cawan tepung gandum
2 sudu kecil baking powder
1/2 sudu kecil soda bikarbornat
3/4 (tiga suku cawan) minyak jagung
1 cawan gula kastor
1 cawan air suam
1/2 cawan susu pekat
1 cawan serbuk koko
3 biji telur Gred A
Beberapa titik esen vanilla

Cara-caranya:
1. Ayak tepung gandum bersama serbuk koko, baking powder, dan soda bikarbonat. Ketepikan. Panaskan Empress food steamer.

2 Dengan menggunakan mixer, pukul telur hingga berbuih dan masukkan gula. Pukul lagi sehingga kembang dan gula hancur.

3. Masukkan pula tepung yang siap diayak tadi, sedikit demi sedikit berselang seli dengan air suam, kacau menggunakan senduk kayu atau spatula, kemudian masukkan pula esen vanilla, susu pekat, dan minyak jagung. Kacau sebati. Jangan over mix, gunakan kaedah kaup balik.

4. Curahkan adunan dalam acuan dan kukus selama 1 jam 30 minit, sejukkan, Selamat Mencuba.