Senin, 27 Juli 2015

Agar-agar Pandan Lumut


Assalamualaikum dan Selamat Pagi.

Semoga pagi Selasa ini membawa keceriaan dan keriangan kepada pengunjung-pengunjung blog Sajian Dapur Bonda.



Pagi ini nak kongsi dengan kekawan semua resepi Agar-agar Pandan Lumut. Sebenarnya agar-agar ini Kak Noor buat dan bawa ke pejabat sebelum puasa lagi, tetapi tak sempat nak update dalam blog. Tetapi dalam FB Sajian Dapur Bonda telah Kak Noor poskan gambar-gambarnya, cuma tidak disertakan resepi sahaja.


So pagi ini baru nak karang resepi. Resepi ini berpandukan kepada resepi asal Agar-agar Lumut oleh rakan FB CT Hajar. Cuma Kak Noor olahkannya mengikut citarasa dan kesesuaiannya.



Resepi ini boleh dapat dua adunan bersamaan dua acuan yang Kak Noor gunakan.




Agar-agar Pandan Lumut
Olahan:  Kak Noor, Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:
Agar-agar tali 50 gm
2 cawan gula pasir
6 cawan air

Bahan-bahan B (disatukan dan diblend): Untuk dijadikan air daun pandan
2 cawan air suam
12 helai daun pandan - dipotong kecil
Esen perisa pandan

Bahan-bahan C (disatukan dan diblend sehingga sebati):
Air daun pandan (Bahan B)
2 cawan santan
1 tin susu sejat (400 ml)
1 biji telur Gred A
2 sudu tepung kastard
Secubit garam
Pewarna hijau pandan secukupnya (sekiranya mahukan warna hijau yang lebih pekat) - opsyen

Cara-caranya:
  1. Basuh agar-agar tali dan toskan. 
  2. Masak agar-agar bersama 6 cawan air sehingga agar-agar larut di dalam periuk. Selepas itu masukkan gula pasir dan masak sehingga gula hancur.
  3. Masukkan bahan-bahan C dan kacau sehingga adunan mendidih dan agak pekat. Gunakan api perlahan dan kacau selalu. Pastikan adunan tidak berkerak di dasar periuk. Tutup api.
  4. Tuangkan ke dalam loyang atau acuan. Sejukkan seketika di luar, kemudian masukkan di dalam peti sejuk.
Selamat Mencuba.

Buah Cempedak ranum, sedap juga dibuat PUDING CEMPEDAK

Assalamulaikum.




Sekarang ini musim buah cempedak dan durian di sebelah Utara. Semasa Kak Noor pulang berhari raya di Seberang Perai, Pulau Pinang dan Baling, Kedah tempoh hari, terdapat banyak buah durian dan cempedak yang dijual di tepi-tepi jalan. Kak Noor memang `antu' cempedak sejak kecil lagi. Biasanya suka makan segar begitu sahaja. Memang berhasrat balik raya ini nak beli buah durian dan buah cempedak bawa balik ke Kuala Lumpur.




Syukur dan beruntung bagi orang-orang yang mempunyai dusun durian dan cempedak.  Dalam perjalanan dari Bukit Mertajam ke Baling, Kedah,  Kak Noor sempat singgah di rumah mak mertua sepupu Kak Noor di Junjung, Kedah. Rumah kampung, dikelilingi dengan pokok rambutan, ada dusun durian dan cempedak. Sesekali masuk ke kampung, terasa tenang dan damai dengan suasana dan persekitarannya. Al maklumlah Kak Noor ni tak ada kampung. 




Bagi orang-orang yang mempunyai dusun buah-buahan, mereka sendiri telah jemu nak menjamah buah-buahan ini. Di persinggahan ini dapatlah Kak Noor sekeluarga merasa makan durian dan cempedak. Selebihnya Kak Noor bawa pulang ke Kuala Lumpur.

Sebagaimana semua orang tahu bentuk buah cempedak mirip buah nangka. Bagi orang macam Kak Noor yang tidak berapa arif tentang buah-buahan, kadang-kadang sukar juga untuk membezakannya. Tetapi one thing yang Kak Noor tahu aroma buah cempedak ini menusuk kuat seperti buah durian.


Gambar hiasan

Selain dimakan segar, biasanya kita menggoreng buah cempedak ini. Memang sedap dan sesuai untuk minum petang bersama keluarga.  Di Kuala Lumpur ini, tiga (3) ulas cempedak goreng saiz kecil dijual dengan harga RM1.00. Kalau ulas yang besar dijual dengan harga 50 sen. Kalau dah teringin mahal pun orang beli juga. Nak makan kan!

Gambar hiasan

Bila tengok ulas buah cempedak ini, terus kita terfikir menu yang selalu dihidangkan iaitu cempedak goreng. Jarang sangat kita mengolahnya untuk menu yang lain.  Puas juga Kak Noor blogwalking untuk mencari resepi untuk membuat puding cempedak ini.  Yang banyak memuatkan resepi puding cempedak ini ialah blog dari negara jiran, Indonesia.



Isi buah cempedak ini kalau disimpan lama akan cepat ranumnya. Kalau telah ranum, tidak sedap digoreng kerana akan diserap minyak. So alternatif yang lain ialah memasaknya sebagai puding. Memang jarang orang membuat puding dengan isi buah cempedak ini. Tetapi sayang kalau dibuang begitu sahaja, sedangkan kita boleh mengolahnya menjadi dessert.


Inilah resepi eksperimen Kak Noor dengan isi buah cempedak yang ranum ini. Memang sedap. Masa bawa ke pejabat hari itu ada seorang kawan ini ingat puding nangka. Emm... rasa nangka dan cempedak seakan-akan sama kot! Iyalah, sukar untuk dibezakan.

Puding Cempedak
Olahan:  Kak Noor, Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:
30 gram agar-agar tali
1500 ml air
2 cawan gula pasir – boleh dikurangkan
Beberapa ulas cempedak dipotong kasar
Pewarna kuning
Pewarna hijau

Bahan-bahan B (disatukan dan diblend lumat):
500 gram isi cempedak ranum
1 tin susu cair
100 gram santan pekat + ½ cawan air – (Saya guna santan sawit KHALIS)
1 biji telur
3 sudu besar tepung kastard
1 sudu kecil esen vanilla

Cara-caranya:
1. Basuh agar-agar dan masukkan ke dalam periuk bersama 1500ml air. Masak sehingga agar-agar larut sempurna.
2. Selepas itu masukkan gula pasir dan masak sehingga gula larut.
3. Kemudian masukkan bahan-bahan B dan kacau senantiasa supaya adunan tidak melekat di dasar periuk (Gunakan api sederhana).
4. Selepas adunan mendidih, masukkan buah cempedak yang dipotong kasar tadi. Kacau rata dan biar adunan mendidih sekali lagi.
5. Tuang di dalam acuan yang sesuai. Biarkan adunan suam seketika di luar, kemudian baru dimasukkan ke dalam peti ais. 

Sekiranya anda gemar melapis dua warna, teruskan ke langkah 6.

6. Selepas langkah 4, asingkan adunan kepada dua bahagian. Satu bahagian dibiarkan di dalam periuk asal dan diletak warna hijau dan satu bahagian lagi diubah ke periuk lain dan diletak warna kuning (yellow egg). Boleh letak warna lain juga, terpulang kepada citarasa masing-masing.
7. Tuang adunan warna kuning dahulu ke dalam acuan. Masukkan ke dalam peti ais lebih kurang 3 – 4 minit (untuk adunan keras di bahagian atas sahaja). Keluarkan dan tuang adunan warna hijau pula, masukkan ke dalam peti ais kembali. Ulangi langkah melapis warna ini sehingga adunan selesai.
8. Sejukkan di dalam peti ais. Lebih elok semalaman di dalam peti ais.

Kamis, 23 Juli 2015

LALA MASAK PEDAS, MASAM & MANIS

Assalamualaikum.

Letih seharian tidak terkira selepas kembali ke teratak KL semalam setelah empat hari berada di Utara beraya bersama bonda dan sanak saudara. Walaupun `pilot' adalah Encik Hasben, tetapi co-pilot pun letih juga kerana bersengkang mata menemani Encik Hasben di sepanjang perjalanan.


Kebiasaannya Kak Noor akan ambil cuti extra 1 hari untuk berehat di rumah sebelum masuk kerja. So dapatlah mendobi pakaian-pakaian yang terhimpun selama 4 hari 3 malam itu.   Selepas membasuh, proses mengutip, melipat, dan menyusun pula. Aduhai letihnya.... masa jalan seronok le...

Letih membereskan kerja rumah, ertinya nak masak untuk makan tengah hari pun dah tak berapa bersemangat. Bila tanya Encik Hasben dan anak-anak, dia orang pun masih kenyang bersarapan dengan nasi lemak pagi tadi. So semua tak nak makan tengah hari ini. Alhamdulillah... so dapatlah berehat sebentar dan masak di sebelah petang.




Sehari sebelum pulang berhari raya di Utara Jumaat lalu, sempat beli lauk pauk di pasar raya Mydin Subang Jaya, dan terus disimpan di dalam peti sejuk, sehingga terlupa lauk apa yang telah dibeli. Bila check balik, adalah siput lala. Teringat hari itu semasa di pasar raya Mydin, anak lelaki Kak Noor minta belikan sebab katanya ibu dah lama tak masak siput lala untuknya. Teringin nak makan.

Anak-anak Kak Noor gemar makan siput lala ini bila masak sweet & sour, dan mesti ada rasa pedas.    Inilah resepi yang Kak Noor gunakan untuk memasak siput lala ini.






Bahan-bahannya:

600 gm siput lala
3 ulas bawang putih  -  diblend / ditumbuk kasar
1 inci halia  - diblend / ditumbuk kasar
1 labu bawang besar - dihiris
1 batang serai - diititik
5 - 7 biji cili padi hijau - dipatahkan
1 biji tomato - dipotong kiub
2 sudu besar cili kering kisar
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos ikan
1 sudu besar kicap pedas
1 sudu besar gula
Garam secukup rasa - sekiranya perlu
Daun bawang/Daun saderi/Batang saderi
Minyak secukupnya untuk menumis.


Cara-caranya:
1.  Siput lala direndam di dalam air seketika. Kemudian basuh sehingga tiada pasir. Toskan.

2.  Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Masukkan serai, diikuti dengan bawang putih dan halia. Tumis sehingga wangi dan naik bau.

3. Kemudian masukkan hirisan bawang besar dan cili padi. Goreng sehingga bawang layu.

4. Masukkan cili kering kisar dan masak sehingga cili menjadi garing/terbit minyak. Kemudian masukkan 1/2 cawan air, diikuti dengan sos cili, sos tiram, sos ikan, kicap pedas, tomato, gula dan sedikit garam. Kacau rata dan tunggu sehingga kuah mendidih.

5. Selepas itu masukkan lala dan kacau rata. Tutup seketika dengan tudung periuk. Bila telah mendidih, kaupbalikkan lala supaya masak serata.

6. Tutup api dan masukkan daun bawang/daun saderi/batang saderi. Gaul rata.

7.  Bolehlah dihidangkan bersama nasi panas.

Selasa, 21 Juli 2015

Puding Nangka

Assalamualaikum dan Selamat Malam.

Telah agak lama tiada N3 terbaharu dalam blog ini.  Memang terasa amat rindu sangat untuk mencatatkan sesuatu dalam blog ini.   Ini adalah kerana ketidaksempatan waktu untuk Kak Noor berceloteh lama-lama di hadapan komputer ini.  So malam ini digagahi juga jari jemari ini untuk mencatatkan sesuatu buat rakan-rakan yang selalu kunjung singgah di blog ini.  Maaf sekiranya pada setiap kali kunjung singgah masih dihidangkan dengan resepi yang sama.  
 


Pun begitu ini bukan bererti Kak Noor terus sunyi sepi daripada menyajikan resepi terbaharu untuk tatapan para pengunjung blog ini. Sejak dua bulan ini banyak daripada resepi diposkan dalam FB Sajian Dapur Bonda.  Ini adalah lebih mudah bagi rakan-rakan untuk mengaksesnya kerana majoriti mempunyai FB.


Malam ini Kak Noor nak kongsi satu resepi puding yang jarang dibuat.  Puas juga Kak Noor blogwalking untuk mencari resepi puding nangka sebagai guideline tetapi ternyata amat sedikit sekali N3 mengenainya.


Walau bagaimanapun, hasil daripada eksperimen berpandukan resepi-resepi puding yang pernah Kak Noor sediakan,  maka terhasillah puding nangka olahan sajian dapur bonda ini.  

Puding Nangka
Olahan:  Kak Noor, Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:
50 gram agar-agar tali
1500 ml air
1 tin nangka (jackfruit in syrup) – boleh dibeli di pasar raya
 
 - Asingkan isi nangka daripada sirap.
   - Isi nangka dipotong memanjang
   - Sirap dimasukkan dalam bahan-bahan B

1 ¾ cawan gula
Pewarna hijau secukupnya

Bahan-bahan B (blend):
1 tin susu cair
100 ml santan pekat
3 sudu besar tepung kastard
1 tin nangka bersama sirap
Cara-caranya:
  1. Basuh agar-agar dan toskan.
  2. Masukkan agar-agar dalam periuk bersama air. Masak sehingga agar-agar larut.
  3. Kemudian masukkan gula dan masak hingga gula larut.
  4. Selepas itu tuangkan bahan-bahan B ke dalam agar-agar yang sedang dimasak dan dikacau sehingga sedikit likat. Gunakan api sederhana. 
  5. Kacau selalu supaya tidak meruap dan tidak berketul. Kemudian bolehlah dipadamkan api.
  6. Ambil ¼ daripada larutan puding tadi dan campurkan dengan pewarna hijau. Ketepikan.
  7. Sediakan acuan. Susun potongan nangka di dasar acuan. Dengan menggunakan senduk, cedok larutan puding (warna asal), perlahan-lahan masukkan ke dalam acuan setakat menenggelamkan potongan buah nangka tadi. Masukkan ke dalam peti ais selama 3 minit (supaya potongan buah nangka tadi kekal di dasar acuan dan tidak beralih tempat). 
  8. Selepas 3 minit keluarkan. Tuangkan larutan warna asal mengikut ketebalan yang sesuai. Masukkan ke dalam peti ais semula selama 3 minit. Keluarkan, dan tuang larutan warna hijau pula. Masukkan ke dalam peti ais semula. Akhir sekali tuang warna asal semula dan masukkan semula ke dalam peti sejuk sehingga puding betul-betul keras. Elok dibiarkan semalaman di dalam peti sejuk.