Selasa, 24 Mei 2016

Sambal Tumis Telur Enak Versi Sajian Dapur Bonda

Assalamualaikum.

Sambal Tumis Telur, menu alternatif apabila semua lauk-pauk dah clear di dalam eksbox. Last week tak pergi pasar untuk re-stock. Encik Hasben ada juga bertanya nak beli lauk tak di pasar tani Setiawangsa. Nak beli ayam ke? Tiap-tiap minggu beli ayam, rasa jemu pula. Ingat nak masak apa saja bahan kering yang tersedia di rumah. Biasanya di rumah Kak Noor mesti ada simpan stok kering seperti ikan bilis, ikan kering, sardin tin, dan telur. Lauk-lauk kering inilah alternatif akhir apabila telah kehabisan lauk-lauk basah.




Sambal Tumis Telur ini special sedikit sebab salah satu daripada bahan yang digunakan untuk masakan ini ialah kicap manis. Memang telah menjadi kebiasaan Kak Noor apabila memasak sambal tumis apa sekali pun mesti masukkan sedikit kicap manis sebagai penambah rasa. Selain itu Kak Noor guna gula perang untuk memekatkan kuah.




Kalau nak tahu enak ke tidak menu ini, cubalah resepi sambal tumis telur versi Kak Noor ini.  Jom kita skrol tutorial bergambar di bawah. Selamat mencuba.


RESEPI SAMBAL TUMIS TELUR ENAK
Inspirasi oleh: Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
12 biji telur ayam direbus
Segenggam ikan bilis - digoreng 1/2 masak 

Sehelai daun pandan - disimpul 
2 sudu besar kicap lemak manis Enaq 
2 sudu besar gula perang 
1 sudu besar gula putih 
1 sudu kecil serbuk Maggi Cukup Rasa 
2 sudu KFC garam halus 
1 biji bawang besar - dipotong gegelang 
Minyak secukupnya untuk menumis 

Bahan-bahan kisar: 
4 senduk nasi cili kering kisar 
Segenggam ikan bilis 
2 biji bawang besar saiz sederhana 
4 ulas bawang putih 
Air secukupnya 

Penyediaan dan cara-cara membuatnya: 

Sila rujuk tutorial bergambar di bawah.



2. Gunakan minyak menggoreng ikan bilis tadi. Tumis bahan-bahan yang telah dikisar sehingga garing/terbit minyak (Bahan-bahan dikisar terdiri daripada cili kering, bawang besar, bawang putih, dan ikan bilis).



3. Kemudian masukkan kicap lemak manis Enaq, gula perang, gula putih, garam, dan perencah Maggi Cukup Rasa, dan sedikit susu cair. Kacau rata dan masak sehingga kuah sambal mendidih.



4. Masukkan ikan bilis yang digoreng 1/2 masak tadi



5. Kacau rata ikan bilis sehingga bergaul mesra dengan sambal.


6. Kemudian masukkan telur rebus.



7. Gaul rata sehingga telur  bergaul mesra dengan sambal.



8. Jika suka, masukkan daun pandan untuk mendapatkan aroma wanginya.



9. Akhir sekali, masukkan bawang yang dipotong gegelang bersama kicap lemak manis Enaq. Gaul rata sehinga semua bahan sebati.



10. Tutup api dan boleh dihidangkan



Kamis, 19 Mei 2016

Menu Ala Thai: Sambal Udang Thai

Selamat Malam dan Assalammualaikum Semua Rakan yang Budiman.

Resepi untuk menu ini telah Kak Noor ketengahkan dalam page FB Sajian Dapur Bonda pada 6 Mei 2016. Kira dah basi jugalah menu ini sebab lewat dikongsi dalam blog Sajian Dapur Bonda.





Terliur tak tengok gambar udang dok berenang di dalam kuali tu.  Mesti terasa nak makan nasi pula malam-malam ni kan. Hm... sebenarnya resepi ini Kak Noor pakai campak-campak aje, tiada garis panduan tertentu atau skodeng kat mana-mana FB atau Blog. Dah selalu sangat masak sambal tumis udang orang Melayu. So nak beri kelainan sedikit kepada menu sambal tumis udang ini. Resepi ini adalah inspirasi sendiri berdasarkan pemerhatian dan pengalaman menikmati masakan ala-ala Thai di restoran atau kedai makan yang menyediakan masakan Thai. Kita namakannya Sambal Udang Thai. 




Sambal Udang Thai ini tak nyempat dihidangkan dalam pinggan yang mahal dan unik tu... tak sempat nak cari. Jurufoto pula tak sempat-sempat nak snap foto.  Hentam ajelah Labu... Mahu juri sebulat suara memberi markah '0' dari segi presentation ni kalau bertanding; no creativity in presentation at all.  Tetapi apa salahnya sekali sekala terus snap foto dalam kuali. Inilah gambar masakan yang kreatif dan unik.  Setidak-tidaknya orang tahu kita masak di dalam kuali, dan bukan periuk.  Selepas masak, baru dipindahkan ke dalam periuk. Bontot periuk pun bersih, tak hitam, dan tak yah teruk-teruk nak disental dengan dawai gosok periuk. Lagipun dari pengalaman memasak, lauk yang kita masak di dalam kuali lebih sedap rasanya.  





Ok, tak nak merapu dah malam-malam ni. Dah kul 12.00 tengah malam ni, time to tarik selimut.  Jom kita skodeng resepi kat bawah. Rasa macam ala-ala Thai tak?  Kalau tak sepenuh Thai pun, mungkin gabungan citarasa Melayu dan Thai. 


RESEPI SAMBAL UDANG THAI
Inspirasi Oleh: Kak Noor @sajiandapurbonda

Bahan-bahannya:
1/2 kilo udang putih saiz besar - dipotong kepala dan ekor sahaja
1 biji bawang besar - dihiris gegelang
3 senduk cili kisar (ukuran senduk nasi biasa)
2 sudu besar kicap lemak manis ENAQ
1 sudu besar sos ikan
3 - 4 helai daun limau purut
1/ 4 cawan susu segar
1 sudu kecil perencah cukup rasa Maggi
Garam dan gula secukup rasa.
Minyak untuk menumis.

Bahan-bahan Tumis:
2 biji bawang besar - dicincang kasar
3 ulas bawamg putih -dicincang kasar
1 batang serai - dititik

Cara-caranya:
1. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumis di atas tadi.
2. Selepas bawang layu, masukkan cili kering kisar. Kacau rata dan masak sehingga terbit minyak (cili garing).
3. Kemudian masukkan sedikit air dan kacau rata. Masukkan kicap, sos ikan, garam, gula, perencah maggi cukup rasa, dan asam gelugor. Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih.
4. Masukkan udang dan susu segar. Kacau rata. Masukkan daun limau purut.
5. Bila udang telah masak, masukkan hirisan gegelang bawang. Kacau rata dan bolehlah ditutup api.

Ayam Masak Hitam Madu (Ala Lauk Nasi Kandar), hanya menggunakan kaedah merebus sahaja..

Assalammualaikum Semua.

Malam ini Kak Noor nak kongsi menu special keluarga iaitu Ayam Masak Hitam Madu, ala-ala lauk nasi kandar gitu. Tetapi yang istimewanya menu ini ialah ia tidak mengguna kaedah menumis seperti kebiasaannya. 




Bila cakap sahaja lauk nasi kandar mesti kita telah sedia maklum lauknya berminyak.. Jika dipandang dari sudut kesihatan memang tidak elok untuk kesihatan. Tambah-tambah kepada orang yang mempunyai kolestrol tinggi. Tetapi bagi orang yang dah memang fanatik dengan lauk nasi kandar ini, itu semua tak berapa penting. Hari-hari tak pernah `mis' makan nasi kandar. Nafsu dan selera makan diutamakan, mesti nak pergi cari nasi kandar juga.  Tetapi tidak dinafikan lauk nasi kandar ini memang mengancam selera.  Kalau seorang staf sahaja yang beli bungkus nasi kandar dan bawa balik ke ofis untuk makan, merebak satu ofis dengan aromanya. 




Samalah juga macam Kak Noor, anak jati Pulau Pinang. Nasi dan lauk nasi kandar telah sinonim dengan diri Kak Noor sejak kecil lagi. Hari-hari dibawa oleh Datuk dan Nenek ke kedai mamak pekena nasi kandar. Gian makan nasi kandaq ni... baq hang. 



Tak kiralah berminyak ke... kolestrol tinggi ke... balun tetap balun kalau dah ada depan mata. Cuma bila tinggal lama di Kuala Lumpur ini, kuranglah sedikit fanatiknya kat nasi kandar ini sebab nasi kandar di Kuala Lumpur tidak sama rasanya macam nasi kandar di Pulau Pinang. Lidah orang Penang jangan dok tipu no... depa tau rasa nasi kandaq Penang yang original.  

So bagi sesiapa yang memang gemar lauk nasi kandar dan pada masa yang sama pentingkan kesihatan, bolehlah cuba menu ini ye. Selamat mencuba. 


Ayam Masak Hitam Madu (ala lauk nasi kandar)
Inspirasi Oleh: Kak Noor @ sajiandapurbonda

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam organik – dipotong 12
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 batang serai - dititik
2 biji bawang besar saiz sederhana – sebiji dipotong 4 atau 6
3 sudu besar madu
1 helai daun pandan – disimpul
2 tangkai daun kari
5 sudu besar rempah masak hitam dibancuh dengan sedikit air – Saya guna keluaran Az-Zain
1 sudu besar perencah Cukup Rasa Maggi
Kicap lemak manis Enaq secukup rasa
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar:
2 biji bawang besar saiz sederhana
4 ulas bawang putih
2 inci halia
6 biji cili padi hijau
Air secukupnya

Cara-caranya:
1. Perap ayam dengan bahan-bahan kisar , serbuk jintan putih dan jintan manis, dan perencah Cukup Rasa Maggi selama 30 minit.
2. Panaskan kuali. Masukkan ayam yang diperap tadi bersama air secukupnya, daun kari dan serai. Tudung kuali dan masak sehingga ayam ¾ empuk.
3. Kemudian masukkan rempah masak hitam dan daun pandan. Gaul rata. Sekiranya kuah agak pekat, bolehlah ditambah sedikit air. Masak lagi sehingga ayam masak sepenuhnya.
4. Tuangkan kicap lemak manis ENAQ secukup rasa dan perasakan dengan garam secukup rasa. Gaul rata dan sebati. Biar ayam mereneh dengan api perlahan di atas dapur selama 5 minit.
5. Kemudian masukkan potongan bawang besar dan madu. Gaul sebati, kemudian bolehlah ditutup api.
6. Ayam Masak Hitam Madu sedia untuk dihidangkan.  Sedap dimakan bersama nasi panas. 

Kamis, 05 Mei 2016

FENOMENA FUDGY BROWNIES @ BROWNIES KEDUT

Assalammualaikum.


Fenomena FUDGY BROWNIES atau dalam Bahasa Melayunya BROWNIES KEDUT. Terdapat pelbagai resepi dan versi brownies ini. Cuma pilih sahaja resepi yang berkenan di hati.



Fenomena brownies kedut ini juga menjalar kepada sibongsu di rumah. Request suruh ibu buat, nak makan brownies kedut katanya. Siap bagitahu lagi kalau ibu tak buat Shila order kat kawan di sekolah.



Buat apalah nak beli kalau ibu sendiri pun boleh buat. Semua bahan dah ready di rumah. Cuma nak rajin aje.  Sebenarnya dah banyak kali buat brownies ini. Kadang-kadang tu.. makan pun tak habis. Itulah anak-anak kita ni, kalau tengok kawan makan brownies dia pun teringin nak makan, minta kita buatkan.  Tapi bila dah buat, makan sedikit sahaja.  ,Satu loyang tu banyak sangat, tak habis makan satu famili.  Makan diberilah kepada jiran-jiran dan office mate untuk sama-sama merasa. 




Resepi yang Kak Noor gunakan ini hasilnya memang moist dan sedap sangat. Resepi ini Kak Noor skodeng di FB. Mohon dihalalkan kepada empunya resepi ye.  Resepi asal tiada whipping cream d tetapi Kak Noor tambah untuk menyedapkannya lagi. Kak Noor guna loyang 10" x10". 


Sebelum dibakar, letak chocolate coin putih dan cincangan badam

Ada taburan badam dan chocolate coin lagi. Coklat pula Kak Noor guna coklat compound Beryls. Ada terbaca dalam resepi-resepi brownies yang diposkan, penggunaan jenama coklat turut mengambil kira keenakan brownies yang dihasilkan. Ada juga yang menggunakan chocolate chips jenama Hershey's. 


Untuk tempahan FUDGY BROWNIES, 
Sila hubungi 0162890412. 
Harga:  RM45 (tanpa topping)  RM50 (topping)

CHOCOLATE BROWNIES KEDUT
Dicuba oleh: Sajian Dapur Bonda



Bahan-bahannya:
400 gm chocolate compound Beryls
150 gm unsalted butter
100 gm gula perang
100 gm gula kastor
4 biji telur Gred A - Kak Noor guna telur Omega
1 sudu kecil esen butter vanilla
120 gm tepung naik sendiri jenama Blue Key
2 sudu besar susu tepung Fernleaf
2 sudu besar UHT Whipping Cream
30 gm serbuk koko Hershey's

Untuk Hiasan:
Chocolate coin (putih atau coklat)
Taburan badam

Cara-caranya: 
1. Chocolate compound dipotong kecil. 
2. Satukan chocolate compound dan butter di dalam bekas. Cairkan dengan menggunakan kaedah double boiler hingga coklat dan butter larut sepenuhnya. 
3. Di dalam bekas yang lain pula, satukan gula kastor, gula perang, telur, dan esen butter vanilla. Gaul rata menggunakan whisk sahaja. 
4. Satukan tepung naik sendiri dan serbuk koko, dan kemudian diayak. 
5. Tuangkan adunan coklat ke dalam adunan telur dan gula. Masukkan whipping cream. Kacau rata. 
6. Kemudian masukkan ayakan tepung yang bercampur koko tadi ke dalam adunan sedikit-sedikit. Kemudian gaul rata. 
7. Tuangkan adunan ke dalam loyang 10” x 10” yang telah dilapik baking paper dan dioleskan juga dengan butter. 
8. Sekiranya suka tabur cincangan badam dan hiaskan dengan coklat coin. 
9. Bakar adunan dalam ketuhar yang telah dipanaskan 15 minit awal dengan suhu 160C selama 30 minit mengikut kepanasan suhu ketuhar masing-masing. 
10. Bila telah masak, tutup oven. Biarkan kek di dalam oven dengan pintu oven direnggangkan sedikit dan biarkan selama 15 minit. 
11. Potong semasa brownies masih suam-suam.

Selasa, 03 Mei 2016

Ayam Masak Taucu Manis Berkuah

Assalamualaikum kepada pembaca-pembaca budiman yang selalu singgah dan sekodeng resepi di blog Sajian Dapur Bonda ini.  Hmm... dah lama Kak Noor tidak muatkan resepi baharu dalam blog ini.  Kebiasaannya telah menjadi rutin Kak Noor meluangkan masa mengemaskinikan blog ini pada setiap hujung minggu.  

Memandangkan sejak kebelakangan ini Kak Noor banyak menerima tempahan untuk biskut dan roti, yang perlu disiapkan pada hujung minggu, maka tiadalah berkesempatan Kak Noor untuk mengemaskinikan blog ini. 




Syukur Alhamdulillah semalam sempat Kak Noor masak menu simple ini untuk keluarga iaitu Ayam Masak Taucu Manis Berkuah.  So pagi  ini tidak perlulah kelam kabut bergelut di dapur sebelum ke pejabat. Masak yang simple dan ala kadar aje. Walaupun hanya satu jenis lauk, tetapi yang paling penting air tangan bonda.

Masakan ini memang berkuah sebab anak-anak Kak Noor suka letak kuah banyak kalau makan nasi. Tetapi itu bergantung kepada citarasa masing-masing, kalau nak kuahnya pekat, kurangnya air. 

Tak nak berceloteh panjang, kita terus ke resepinya ye.

Resepi Ayam Masak Taucu Manis Berkuah

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam organik - dipotong kecil
1 biji bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 inci halia - dihiris mancis
2 sudu besar cili kering kisar
1 biji bawang besar - dipotong gegelang
1 biji cili merah - dihiris serong
5 - 6 biji cili padi hijau - dipatahkan saja
4 sudu besar taucu manis
1 sudu besar pati asam jawa
Kicap lemak manis secukupnya - (Saya guna kicap lemak manis Enaq)
1 sudu kecil perencah Maggi Cukup Rasa 
2 sudu besar gula pasir - bergantung kepada banyaknya kuah
Minyak secukupnya untuk menggoreng ayam dan menumis

Cara-caranya:
1. Ayam dipotong kecil dan digaramkunyitkan.
2. Panaskan minyak dan goreng ketulan ayam 3/4 masak. Angkat dan ketepikan.
3. Guna 3 sudu besar minyak gorengan ayam tadi untuk menumis. Tumis hirisan bawang besar, bawang putih, dan halia sehingga bawang sedikit layu.
4. Masukkan cili kering kisar dan masak sehingga terbit minyak.
5. Selepas itu masukkan taucu manis. Kacau dan kemudian masukkan 1 cawan air. Biarkan kuah mendidih.
6. Masukkan ayam goreng tadi. Kaupbalikkan ayam sehingga bergaul mesra. Kemudian baru tambahkan air untuk kuahnya (Kuantiti air bergantung kepada banyaknya kuah yang kita mahu). Masukkan kicap lemak manis Enaq secukupnya, pati asam jawa, perencah Maggi Cukup Rasa dan gula. Masak sehingga kuah mendidih sekali lagi dan ayam masak sepenuhnya.
7. Sebelum tutup api, masukkan cili padi, bawang besar dan hirisan cili merah. Taburkan juga daun sup dan daun bawang sekiranya ada.

Selamat Mencuba
Ikhlas Daripada
Kak Noor Sajian Dapur Bonda/040516