Sabtu, 17 Januari 2015

Dessert di Hujung Minggu, Puding Jagung dan Koko

Assalamualaikum dan Selamat Bersantai di Hujung Minggu. Semoga semuanya ceria di samping keluarga tercinta.




Projek semalam, Puding Jagung dan Koko.  Kelainan bagi resepi puding kali ini ialah penggunaan whipping cream menggantikan susu cair yang selalu digunakan untuk membuat puding.  




Ini semua gara-gara untuk menghabiskan whipping cream yang masih berbaki di dalam peti ais. Kalau dah terlalu lama akan rosak dan tak boleh diguna lagi. Hasilnya ternyata marvelous sekali.  Rasanya macam dessert yang kita makan di hotel.  Mungkinkah ini rahsianya? Mereka menggunakan whipping cream.




Resepi Puding Jagung dan Koko
Olahan: Sajian Dapur Bonda



Bahan-bahan A: 
30 gram agar-agar tali
800 ml air
2 ½ cawan gula putih

Bahan-bahan B:
300 ml whipping cream
4 biji telur Gred A
1 sudu besar tepung kastard perisa jagung manis jenama Bistari (boleh juga guna tepung kastard biasa)
1 sudu kecil esen vanilla

Bahan-bahan C:
1 sudu besar butter
1 ½ sudu besar serbuk koko
2 sudu besar perisa coklat – (boleh guna brand STAR)
1 tin jagung berkrim

Penyediaannya:

1. Masukkan agar-agar di dalam periuk dan basuh terlebih dahulu. Toskan. Kemudian tuangkan 800ml air ke dalam agar-agar dan masa sehingga larut.
2. Setelah agar-agar larut, masukkan 2 ½ cawan gula dan masak sehingga larut.
3. Sementara itu, kisar bahan-bahan B menggunakan blender sehingga sebati (lebih kurang 5 minit).
4. Masukkan bahan-bahan B ke dalam larutan agar-agar dan kacau. Gunakan api perlahan supaya adunan tidak melekat di dasar periuk.
5. Selepas adunan mendidih, tutup api. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. 1/2 bahagian di dalam periuk asal dan ½ bahagian lagi tuang ke dalam periuk lain.
6. 1 bahagian dicampurkan jagung dan panaskan di atas dapur kembali dan dikacau rata. Tutup api. 1 bahagian lagi masukkan serbuk koko, perisa coklat dan 1 sudu besar butter, dan panaskan juga di atas dapur dan dikacau rata. Tutup api.
7. Tuang adunan ke dalam acuan berselang seli. Masukkan ke dalam peti ais dan biarkan ia beku. Elok semalaman di dalam peti ais sebelum dikeluarkan daripada acuan.

Save dan muat resepi dalam telefon bimbit

Ayam Kicap Manis Pedas,

Assalamualaikum.




Hari ini baru sempat masukkan N3 ayam kicap manis pedas. Sesiapa yang masih terfikir-fikir apakah yang hendak dimasak untuk tengah hari ini bolehlah jadikan menu ini untuk hidangan tengah hari.




Masakan yang agak ringkas, cuma wajib ada bahan utama iaitu daging ayam, cili padi, dan kicap manis.  Untuk ayam masak kicap ini Kak Noor guna kicap cap Mudim.  Bukan nak promote, tetapi kicap Mudim ni memang sedap; pekat dan manis. Produk Melayu, Kedah mai.. Tapi bukan semua pasar raya menjualnya.  So far pernah beli di Tesco Ampang dan juga Mydin Mall, Subang Jaya.




Seperti biasa untuk resepi, skrol di bawah ye. 

Bahan-bahannya:
10 - 12 ketul ayam potongan kecil - dibuang kulit
2 tangkai daun kari
1 biji tomato muda - dibelah 4
1 biji cili merah } - dibelah dua tidak putus
1 biji cili hijau   }
2 biji bawang besar - dipotong gegelang
1/2 botol kicap manis
2 - 3  cawan air
2 sudu besar tepung jagung - dibancuh dengan sedikit air
3 sudu besar minyak untuk menumis

Bahan-bahan dikisar/ditumbuk kasar:

10 biji cili padi (cili padi merah + cili padi hijau)
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara-cara memasak:

1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis daun kari diikuti dengan bahan-bahan yang dikisar.  Tumis sehingga garing dan naik bau.
2. Kemudian masukkan ayam dan kaupbalikkan dengan bahan-bahan tumisan tadi sehingga rata.  Biarkan ayam mereneh di atas dapur lebih kurang 5 minit.  Gunakan api yang sederhana.  Semasa proses mereneh ini daging ayam akan mengeluarkan air.
3.  Tuang kicap secukupnya dan kacau rata.  Masukkan dua cawan air.  Masak di atas dapur sehingga kuah mendidih dan ayam empuk.  
4. Untuk memekatkan kuah kicap, bancuh 1 sudu tepung jagung dengan sedikit air, kemudian tuang di dalam kuah kicap tadi.  Kacau rata dan biarkan ia mendidih sekali lagi. Sejurus sebelum tutup api, masukkan buah tomato, cili merah dan cili hijau.
5.   Sedia untuk dihidangkan.

Jumat, 09 Januari 2015

Kurma Ayam, salah satu hidangan wajib kenduri kahwin orang-orang Utagha

Assalamualaikum dan Salam Ceria + Salam Santai di Hujung Minggu. Semoga kita semua senantiasa dirahmati dan dilimpahi rezeki oleh Allah yang Maha Esa.  Syukur Alhamdulillah.


Masih terfikir-fikir menu apa yang hendak disajikan untuk hidangan tengah hari ini? Apa kata masak kurma ayam. Kak Noor pun dah lama tak masa kurma ayam ini.



Seingat Kak Noor semasa zaman kanak-kanak dulu, lauk kurma ayam merupakan salah satu lauk yang wajib dihidangkan di kenduri kahwin oghang-oghang Utara selain ayam masak merah. Dimasak pula menggunakan kawah secara gotong royong.  Selalunya lauk kenduri rasanya lebih sedap walaupun kita masih menggunakan resepi yang sama untuk masakan harian.  Dimakan pula bersama nasi minyak.  Kenduri kahwin dulu-dulu selalunya dihidangkan dengan nasi minyak dan nasi putih. Sekarang ini dah ada nasi tomato, nasi hujan panas, nasi mandy, dan pelbagai nasi lagi.  Ada tak orang hidangkan nasi kandaq untuk kenduri kahwin? Hm.... sedap juga kalau pekena nasi kandaq kat kenduri kahwin. 




Kalau masak kurma ayam ini, Kak Noor lebih suka memilih rempah BABAS kerana aroma rempahnya yang berbau lauk nasi kandaq, ala-ala masakan mamak. Ada orang  meletak kerisik dalam kurma ayam ini, tetapi resepi Kak Noor tidak menggunakan kerisik. Santan juga Kak Noor gantikan dengan susu sejat. Kebetulan pula santan dah habis.  Kurma ini agak simple dan mudah disediakan.


Bahan-bahannya:
1/2 ekor ayam - dipotong kecil
1 cawan susu sejat
2 cawan air
3 biji ubi kentang - dibelah 4
1 biji tomato saiz besar - dibelah 4
2 biji cili hijau - dibelah dua tetapi tak putus

Bahan-bahan dikisar sehingga lumat:
5 sudu besar serbuk rempah kurma BABAS
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 biji buah keras - opsyen
Air secukupnya

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar - ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 batang serai - dititik
2 inci halia - dihiris mancis
1 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
1 helai daun pandan - dikoyak dan disimpul
Minyak untuk menumis

Cara-caranya:
1.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Masukkan serai dan daun pandan, dan tumis sehingga naik bau.  Selepas itu masukkan kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih, bunga lawang, hirisan halia, bawang besar dan bawang putih. Tumis sehingga bawang kekuningan dan naik bau.

2.  Masukkan bahan-bahan yang dikisar dan kacau rata.  Tutup periuk dan guna api sederhana.  Masak sehingga rempah garing dan terbit minyak.

3. Selepas itu masukkan ayam dan gaul rata sehingga rempah menyelaputi ayam.  Biarkan mereneh di atas dapur selama 5 minit.

4. Tuangkan susu sejat bersama 2 cawan air dan kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula. Masak sehingga kuah mendidih. Kemudian masukkan ubi kentang. 

5. Selepas ayam dan ubi kentang empuk, bolehlah dimasukkan buah tomato dan cili hijau.  Tutup api dan taburkan bawang goreng dan daun pudina sekiranya suka.  Tutup periuk supaya aromanya tidak keluar.

6.  Kacau rata terlebih dahulu sebelum dihidangkan.

Selamat Mencuba.

Agar-agar Santan Gula Merah, menggunakan Santan Sawit KHALIS. Memang Sedap...

Assalamualaikum dan Salam Jumaat.



Syukur Alhamdulillah, esok cuti. Memang amat dinanti-nantikan. Bolehlah bersengkang mata meluangkan masa untuk muatkan N3 malam ini. Kita tunda kerja rumah malam ini, esokkan masih ada masa untuk membuatnya. Esok dan lusa telah penuh jadual. Esok perlu disiapkan tempahan tart nanas, order daripada kawan lama.  Selepas itu nak siapkan keperluan persekolahan dua  anak Kak Noor yang akan mula bersekolah pada hari Isnin ini; seorang di Tingkatan 5 dan seorang lagi di Tahun 6.



Kalau kerja beres cepat, nak jengok-jengok juga mempelam lemak di pasar sebab ada kawan yang minta tolong buatkan mempelam asam boi untuknya.   Bolehlah juga Kak Noor tumpang sekaki. Hari tu semasa viral mempelam asam boi, Kak Noor tak ketinggalan membuatnya. Agih-agihkan untuk kudapan di rumah, kawan-kawan pejabat dan kawan-kawan yang menempah. 




Biasalah apabila telah sibuk dengan kerja rumah, maka masa untuk mengadap komputer dan memuatkan N3 amatlah terhad.  Perlu tunggu masa yang santai untuk melakukan ini semua.  Apapun malam ini Kak Noor mesti terbitkan juga resepi ini.



Resepi yang nak dikongsi malam ini biasa-biasa sahaja iaitu Agar-agar Santan Gula Merah.  Semua orang pernah membuatnya. Cuma Kak Noor yang jarang-jarang membuatnya, sedangkan ia faveret Kak Noor sejak zaman kanak-kanak lagi.  



Terjumpa resepi ini dalam FB yang diposkan oleh CTHajar; itulah nama yang tercatat pada resepi yang diposkan.  Banyak juga resepi CTHajar yang sedap-sedap belaka dan telah dicuba oleh Kak Noor. 



Agar-agar Santan Gula Merah adalah salah satu resepi yang telah dicuba oleh Kak Noor, dan hasilnya tidak mendukacitakan. Kejadiaanya sempurna sekali.  Encik Hasben dan anak-anak pun menyukainya.  


Adunan ini menghasilkan dua bekas agar-agar dengan menggunakan acuan agar-agar bentuk bulat berukuran 7 inci. Sepulang dari pejabat petang tadi, kedua-dua bekas tu dah tak nampak rupanya.  Dah selesai...

Jom kita tengok resepinya. Ada dua versi.  Satu versi dalam bentuk gambar dan satu lagi dalam bentuk catatan.  




Bahan-bahannya:
1 paket agar-agar tali 30 gm
3 cawan air
I biji telur gred A
¾ cawan gula pasir
1 cawan air gula merah (masak ½ cawan gula merah dengan ½ cawan air dan tapis)
2 cawan santan sawit KHALIS
1 helai daun pandan disimpul
Secubit garam

Cara-caranya:
1.Basuh agar-agar dan masak bersama 3 cawan air sehingga agar-agar hancur.
2.Masukkan gula putih dan daun pandan, dan masak sehingga gula hancur.
3.Sementara itu blend santan, air gula merah, telur, garam hingga sebati.
4.Masukkan bahan yang diblend ke dalam agar-agar tadi. Gunakan api perlahan. Kacau rata dan tunggu hingga mendidih.
5. Tutup api dan masukkan dalam acuan. Sejukkan di luar seketika dan simpan di dalam peti ais.

Kamis, 08 Januari 2015

Marble Strawberry Cheese Cake

Assalamualaikum.

Resepi asal Kak Noor skodeng di dapur Yatie MemoriesAmboi... banyak sungguh resepi kek yang sedap-sedap belaka di dapur Yatie ini. Teruja tengok kek-kek yang dipersembahkan. Simple dan sedap.



Seperti biasa, Kak Noor akan olahkan sedikit resepi ini daripada resepi asal Yatie Memories.  It's not 100% resepi asal ye. Kalau nak resepi asal boleh layari blog Sinar Kehidupan.





Resepi ini digandakan bahan-bahannya dari resepi asal sebab Kak Noor nakkan kek yang lebih besar.  Sebahagian dimakan di rumah dan sebahagian lagi dibawa ke pejabat untuk dimakan bersama dengan rakan-rakan. Ada juga bahan-bahan yang ditambah dan dikurangkan mengikut kesesuaian dan citarasa Kak Noor.


Untuk rakan-rakan pejabat, sama-sama merasa

Kak Noor menggunakan loyang springform bulat ukuran 10 inci. Loyang bulat 10 inci ini hanya muat 3/4 sahaja daripada adunan. 1/4 lagi Kak Noor tuangkan dalam cup cake dan dijadikan muffin. Mudah guna loyang jenis ini.  Selain mudah untuk mengeluarkan kek, kek juga tidak melekat pada loyang.


loyang kek springform

Bahan-bahannya:
340 gm mentega
250 gm krim keju
500 gm gula kastor
6 biji kuning telur (Gred A)
450 gm tepung gandum } disatukan dan
3 sudu teh serbuk penaik } diayak bersama
1 cawan susu perasa strawberry
2 sudu teh vanilla
2 sudu teh vanilla
2 sudu teh strawberry emulco
6 biji putih telur (Gred A)
1 sudu teh garam


Cara membuatnya:
  1. Gunakan mixer, putar mentega dan krim keju hingga kembang dan pucat warnanya.
  2. Masukkan sedikit demi sedikit gula dan pukul lagi. Ulangi hingga habis.
  3. Masukkan sebiji demi sebiji kuning telur, putar sebati.
  4. Kemudian masukkan pula susu perasa strawberry dan putar lagi, 
  5. Selepas itu masukkan tepung.  Pukul perlahan sehingga semua sebati. Ketepikan dulu.
  6. Dalam mangkuk bersih yang lain, pukul putih telur hingga berbuih. Masukkan garam, putar lagi. Bila telah kental, bubuh ½ adunan putih telur ke dalam adunan tepung tadi. Kacau perlahan dan tambah lagi 1/2 bahagian. Ulang hingga habis. Gunakan kaedah kaup balik. 
  7. Bahagikan kepada dua adunan sama banyak. Satu bahagian letak perisa vanilla, dan satu bahagian lagi letak strawberry emulco.
  8. Letakkan adunan vanilla berselang seli dengan adunan strawberry.
  9. Ratakan adunan ke dalam loyang springform 10 inci yang dialas dengan kertas kalis minyak dan disapu mentega.
  10. Bakar pada suhu 170C selama 1 jam atau hingga masak (bergantung kepada oven yang digunakan).
  11. Keluarkan, biar atas redai 10 minit sebelum dikeluarkan daripada loyang.

Sabtu, 03 Januari 2015

Kek Keju Oreo Mudah dan Cepat. Tidak perlu dibakar, cuma disejukkan di dalam peti sejuk.

Assalamualaikum.

Hmm.... sedapnya. Macam makan ais krim lah pula!




Hari ini Kak Noor nak kongsi buat kek keju oreo yang mudah dan cepat. Semuanya bermula bila menonton video membuat kek keju oreo ini yang diposkan dalam FB. 





Kek yang tidak perlu dibakar, hanya disejukkan disejukkan beberapa jam di dalam freezer sebelum dimakan. Anak-anak pun teruja melihat video berkenaan dan meminta Kak Noor cuba membuatnya.





So pagi tadi ke kedai bakeri BAGUS Melawati bersama Encik Hasben membeli bahan-bahan untuk membuat kek oreo ini.  Di BAGUS, semua bahan keperluan kek A sampai Z ada.  Rambang mata dibuatnya.  



Antara bahan-bahan yang digunakan untuk membuat kek keju oreo ini.

Untuk lebih mudah dan cepat membuat dasarnya, Kak Noor beli oreo crushed cookie pieces di kedai bakeri Sekiranya tiada, boleh juga gunakan biskut oreo yang dihancurkan.



Acuan springform cake pan 7 inci 

Seperti yang disarankan dalam video, Kak Noor beli Springform Cake Pan - bulat bukaan tepi.  Ini adalah untuk memudahkan kek dikeluarkan tanpa merosakannya. 

Pastikan Kek Keju Oreo ini sentiasa di dalam freezer bagi mengelakkan ia cair. Seperti ais krim juga.  Kek ini keseluruhannya tanpa tepung dan sesiapa yang gemar akan rasa keaslian keju, tentu akan suka kek ini.  Bagi Kak Noor yang berusia ini, kurang menggemari disebabkan rasanya yang lemak berkrim.  Rasa sikit bolehlah, kalau dah banyak rasa muak pula. 

Ini adalah resepi yang Kak Noor gunakan.


Bahan-bahan A (untuk dibuat dasar):
1¾ cawan oreo crushed cookie pieces 
½ cawan mentega cair



Bahan-bahan B:
500 gram cream cheese – jenama Tatura
1 cawan whipping cream
2 sudu besar susu tepung
1 sudu besar jus lemon
1 sudu teh esen vanilla
¾ oreo crushed cookie pieces

Bahan Hiasan:
Beberapa keping biskut Oreo
Coklat rice

Cara-cara Membuatnya:
1. Masukkan 1 ¾ cawan oreo crushed cookie pieces bersama ½ cawan mentega cair di dalam bekas.  Gaulkan sampai sebati.  Kemudian masukkan dalam acuan `spring form’  7 inci sebagai dasar.  Tekan hingga rata dan mampat. Sejukkan dalam peti ais (bahagian freezer) sekurang-kurangnya 1 jam.
2. Sementera itu satukan semua bahan B kecuali oreo crushed cookie pieces di dalam mixer.  Pukul hingga kembang. Selepas itu masukkan oreo crushed cookie pieces dan digaul rata.
3. Kemudian masukkan/tuangkan adunan (no. 2) ke atas dasar yang telah disejukkan.  Ratakan adunan.  Hiaskan dengan biskut oreo, oreo crushed cookie pieces, dan coklat rice.
4. Masukkan kembali di dalam freezer untuk proses sejuk beku. Biarkan selama setengah hari/sehari untuk kek keju oreo keras sebelum dimakan.