Minggu, 26 April 2015

Rendang Ayam Minang, penambat selera keluarga di hujung minggu

Assalamualaikum.


Selamat santai di hujung minggu. Esok dah nak kembali kerja. Rutin 5 hari selagi tak bersara. Rasa sekejap sangat cuti dua hari ini. Rehat kerja di pejabat, tetapi di rumah kerja senantiasa `on'. Tiada cuti untuk kaum ibu ye. Malah masih ada kerja yang masih tertunggak walaupun dua hari cuti.  Tak sempat nak siapkannya. Kalau ikutkan kerja rumah ini, memang tak habis sampai bila-bila. Kalau boleh nak perfect A - Z. Baru puas hati. 




Dalam usia Kak Noor yang akan mencecah setengah abad bulan November nanti, terasa cepat letih kebelakangan ini. Tak setangkas dan selincah membuat kerja rumah semasa muda-muda dulu. Hujung minggu selalu rancang nak buat tu, nak buat ini, tetapi dapat fulfil separuh sahaja. Tidak dapat memenuhi piawaian dan mencapai KPI. 




Sekarang ini kalau weekdays Kak Noor dah kurang masak. Sejak anak-anak dah besar ini, mereka tak berapa nak makan. Kebiasaannya Kak Noor masak pagi-pagi tinggalkan kepada anak-anak sebelum pergi kerja, tapi bila pulang kerja, nasi dan lauk tidak disentuh langsung. So hasben advise tak perlu masak. Pandai-pandailah dia orang nak makan, semua dah besar. Just standby roti, nuggets, dan telur di rumah. Balik kerja nanti, kita belilah apa yang patut.


Setibanya hujung minggu,  baru Kak Noor masak. Baru ada semangat nak masak bila ada orang nak makan. Bila dah ramai berkumpul, mungkin baru kembali berselera. Hari ini Kak Noor masak Rendang Pedas Minang. Special sikit untuk menambat selera keluarga. Agak lama tak masak dan makan rendang. Semalam dah siap-siap masak pulut kuning. Pelan nak masak rendang semalam untuk dimakan dengan pulut kuning, tapi tup-tup dah rasa malas pula. So pagi ini barulah menjadi rendangnya.  Hm... bagus juga, ada pilihan untuk keluarga, sama ada nak makan rendang  dengan pulut kuning atau nasi putih. 




Semalam Encik Hasben dah siap-siap beli ayam organik di pasar tani Setiawangsa. Kak Noor suka beli ayam organik ini sebab isinya tidak lembik. Lagipun ayamnya memang bersih, dah telah siap diproses. Balik kita cuma basuh dengan tepung gandum dan cuka untuk membersihkannya. Inilah petua untuk membersih ayam yang diturunkan oleh bonda Kak Noor bagi menghilangkan lendir dan hanyir pada ayam. Ayam organik ini agak mahal sedikit daripada ayam biasa, tapi berbaloi membelinya. Tak rasa was-was. Buat rendang, masak merah, dan rendang goreng rempah memang sedap. Isinya tak hancur.



Resepi Rendang Ayam Minang ini Kak Noor dapat semasa blogwalking mencari resepi rendang yang sedap di dapur-dapur kawan. Maka menyinggahlah di dapur Citarasa MamaAna kerana teruja dengan resepi Rendang Ayam Minang yang sedap ini. Resepi asal adalah daripada Pak Engku (Buku Resepi Kenduri Kahwin) dan diolah kembali menurut citarasa Mama Ana.  Terima kasih Mama Ana kerana berkongsi resepi ini.  Memang marvellous rendang ini. 

Resepi ini kemudian diolah kembali mengikut citarasa Kak Noor. Sesiapa yang nak rujuk resepi Mama Ana pun boleh. Kak Noor telah berikan linknya di atas.

Bahan-bahan A:
1 ekor ayam organik – dipotong ikut suka
4 batang serai – dititik
320ml santan sawit KHALIS + 2 cawan air
150gm kerisik
3 helai daun kunyit – dipotong halus
Beberapa helai daun limau purut – dibuang urat tengahnya
2 – 3 keping asam gelugor
2 sudu besar gula merah
½ kiub pati ayam
Minyak masak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan B (rempah tumis):
2 inci kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
4 kuntum bunga cengkih
3 kuntum bunga lawang

Bahan-bahan C (dikisar):
3 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
5 biji cili merah – dibuang biji tengahnya
6 biji cili padi (hijau + merah)
2 inci halia
1 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup

Bahan-bahan D (dibancuh menjadi pes):
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar serbuk lada hitam
Sedikit air

Cara-cara membuatnya:
1. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Tumis bahan B sehingga naik bau.
2. Kemudian masukkan bahan C dan serai yang dititik, masak sehingga kekuningan.
3. Masukkan bahan D dan kacau rata.
4. Setelah terbit minyak, masukkan santan, ayam & kerisik. Tambahkan dua cawan air.
5. Masukkan kiub ayam, gula merah, gula putih, garam dan asam gelugor. Masukkan juga daun kunyit dan daun limau purut. Kacau rata.
6. Biarkan ayam mereneh di atas dapur. Gunakan api sederhana. Selepas ayam masak dan kuah sedikit pekat, barulah ditutup api.

Sabtu, 25 April 2015

Agar-agar Longan Strawberry

Assalamualaikum


Dah lama teringin nak buat agar-agar longan strawberry ni tapi asyik sibuk aje memanjang. Dah sebulan buah longan dalam tin tersimpan di dalam kabinet dapur, tidak terusik. Hari ini baru berkesempatan membuatnya.


Hai... rasa sejuk bila masuk ke tekak sejurus selepas dikeluarkan daripada peti sejuk. Rasa fresh sangat. Anak-anak pun suka. Katanya sedap sangatlah ibu.

Ada pula komen dalam FB sayang nak makan.  Ada pula komen macam gigi palsu.  Hai macam-macam.  Apapun agar-agar longan strawberry ini memang sedap.  Kalau ada buah strawberry dicampurkan sekali mungkin bertambah sedap jadinya. 



Resepinya mudah sangat.  Bahan-bahan yang digunakan pun tak banyak dan mudah didapati di kedai-kedai runcit. Sesiapapun boleh menyediakannya.

Bahan-bahan: 
20gm agar-agar tali 
5 cawan air
1 tin longan
1 tin susu cair
1 ¼ cawan gula pasir
Perisa strawberry secukupnya

Cara-caranya:
1. Basuh agar-agar. Kemudian masukkan di dalam periuk bersama air, dan masak sehingga agar-agar larut.
2. Selepas agar-agar larut, masukkan gula pasir dan masak sehingga gula larut.
3. Masukkan air longan daripada tin dan kacau rata.
4. Keluarkan sebahagian agar-agar cair dan asingkan ke dalam mangkuk – Bahagian A
5. Sebahagian yang masih di dalam periuk campurkan dengan perisa strawberry dan susu cair – Bahagian B. Kacau rata dan bolehlah ditutup api. Jangan masak sampai mendidih.
4. Sementara itu, susun buah longan ke dasar acuan agar-agar. Tuang bahagian A di dalam acuan setakat menenggelamkan buah-buah longan. Masukkan ke dalam peti sejuk lebih kurang 5 minit (sekadar membekukannya pada permukaan, jangan sampai terlalu keras kerana ini akan mebuatkan ia tidak melekat dengan Bahagian B nanti.)
5. Kemudian tuang Bahagian B ke dalam Bahagian A tadi.
6. Masukkan semula ke dalam peti sejuk. Bila telah keras, barulah boleh dipotong dan dihidangkan.

Senin, 20 April 2015

Samperit Comel Sajian Dapur Bonda

Assalamualaikum.




Inilah biskut kegemaran Kak Noor sejak dari kecil lagi sehinggalah ke hari ini iaitu Samperit @ Biskut Dahlia. Bermula dari zero knowledge membuat  samperit, syukur Alhamdulillah pada hari ini rasa puas hati kerana dapat melahirkan  samperit yang beridentitikan kreativiti sendiri. Inilah Samperit Comel Sajian Dapur Bonda, iaitu salah satu produk homemade cookies Sajian Dapur Bonda. 




Saiznya kecil dan pattern bunganya  lain daripada samperit yang sedia kita lihat.  Kebiasaannya samperit yang dijual di kedai bunganya besar; saiz standard.  Kak Noor telah cuba menggunakan acuan saiz standard,  tetapi rasa tak puas hati, kerana lebih suka melihat samperit yang bersaiz comel gitu!  




Walaupun memicitnya agak rumit kerana menggunakan acuan bunga kecil dan mengambil lebih masa daripada menggunakan acuan bunga besar, tetapi kepuasan hati adalah segala-galanya.




Walaupun kekadang kala terasa penat untuk menghabiskan adunan sehingga ke picitan yang terakhir, tetapi bila melihat setiap kuntum bunga yang dihasilkan di atas dulang, dan `kesempurnaan' pattern bunganya sejurus dikeluarkan daripada oven, kepenatan itu hilang.   Biarlah Kak Noor kekal dengan pattern bunga kecil; inilah identiti Samperit Sajian Dapur Bonda.



Sejak diperkenalkan penjualannya pada hari raya tahun lalu, banyak juga tempahan yang Kak Noor terima.  Ada yang menempah untuk dimakan sendiri,  dan ada juga yang dijadikan corporate gift semasa Hari Raya.  Kak Noor hanya mewar-warkannya melalui FB.  



Walaupun bukan musim perayaan, tempahan dibuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk merasai samperit comel ini.  `Bake to Order - Fresh from Oven',  dan Insya Allah tiada stok lama. Kebiasaannya tempahan diambil pada hari bekerja, dan Kak Noor akan membuatnya pada hujung minggu.  


Bagi customer yang tinggal di sekitar Lembah Klang, collection point ialah di KL Sentral.   Ia untuk memudahkan customer untuk menaiki Komuter dari origin mereka ke KL Sentral. Ada juga customer yang tinggal di sekitar Lembah Klang yang meminta penghantaran melalu pos kerana mereka bekerja dan kesuntukan masa untuk datang ke KL Sentral. Bagi customer yang tinggal luar dari Lembah Klang, penghantaran adalah melalui pos.




So bagi sesiapa yang berminat nak merasa samperit comel Sajian Dapur Bonda ini boleh contact Kak Noor di talian 0162890412 atau Feefa di talian 0135902870.  Boleh juga PM Sajian Dapur Bonda.

Sabtu, 18 April 2015

Kek Marble Pandan Coklat

Assalamualaikum.


Kek Marble lagi... suka tengok gambar-gambar kek marble yang diposkan oleh rakan-rakan dalam FB dan juga blog mereka. Pelbagai kombinasi warna yang menarik dan alunan ombak yang menarik sehingga Kak Noor sendiripun teruja untuk membuat Kek Marble ini lagi




Sebelum ini dah pernah buat, tapi kali ini nak cuba pula kombinasi warna hijau dan coklat. Hm... kalau guna warna hijau ini seelok-eloknya kita kaitkan dengan satu nama resepi yang sepadan dengan warna yang kita gunakan.
 



So inilah olahan Kak Noor, Kek Marble Pandan Coklat. First time guna oven Sonner untuk masak kek ini, dan hasilnya memang sempurna sekali.




Resepi Kek Marble Pandan Coklat

Bahan-bahannya:
250 gm butter
1 ½ cawan gula kastor
5 bji telur ayam Gred A
1 cawan susu cair
*2 ½ cawan tepung gandum
*1 sudu teh baking powder
*2 sudu besar tepung susu
1 sudu teh esen vanilla
3 sudu teh perisa pandan
3 sudu teh perisa coklat (sekiranya ingin warna coklat yang pekat, tambah lagi)
Pewarna hijau pandan atau pewarna hijau epal secukupnya.
Cara-caranya (menggunakan mixer):
1.  Ayak bahan-bahan yang bertanda * dan ketepikan.
2. Dalam mixer, pukul butter dengan gula sehingga kembang dan gebu.
3.  Masukkan esen vanilla.
4.  Masukkan telur satu persatu dan pukul lagi.
5.  Masukkan susu cair.
6. Masukkan tepung gandum sedikit-sedikit, dan gaul sehingga sebati.
7. Bahagikan kepada 2 bahagian. 1 bahagian dicampurkan dengan perisa pandan dan pewarna hijau pandan atau pewarna hijau epal. 1 bahagian lagi dicampurkan dengan perisa coklat. Kacau kedua bahagian sehingga bercampur rata.
8. Gunakan loyang saiz 10 inci bulat untuk adunan ini. (Sekiranya ada loyang springfoam 10 inci lagi bagus, mudah dikeluarkan kek bila masak nanti). Lapik dasar loyang dengan baking paper. Sapukan sedikit mentega di atas baking paper.
9. Masukkan adunan berselang seli di dalam loyang sehingga habis. Hentakkan sedikit loyang. Lorekkan adunan menggunakan chopstick.
10. Bakar dengan menggunakan kepanasan 170C selama 45 - 50 minit. @ ikut oven masing-masing dengan menggunakan api atas bawah.

Kamis, 09 April 2015

Sup Tumis Cendawan

Assalamualaikum.

Selalunya kalau badan rasa tidak sihat dan tak berapa selera nak makan, maka suplah menu pilihan yang paling tepat. Dihirup supnya, dan diratah bahan-bahan di dalam sup. Makannya pula semasa panas. Puh... berpeluh selepas tu.




Hari ini Kak Noor nak masak sup cendawan. Dicampur dengan bahan-bahan lain seperti lobak merah, batang sup, dan buah tomato. Cepat dan mudah disediakan. Tumis dan kemudian masukkan cendawan dan bahan-bahan-bahan berkhasiat yang lain. 



Antara khasiat cendawan yang kita sedia ketahui ialah ia boleh mengurangkan kandungan gula dalam darah, dan menambah insulin dalam darah, membunuh beberapa jenis virus yang membawa penyakit berjangkit, dan turut berperanan sebagai agen mempertahankan badan daripada serangan barah, dan dapat membantu meningkatkan sistem imuniti tubuh. 





Bahan-bahan:

200 gm cendawan tiram kelabu/putih (saiz kecil)
1 batang lobak merah – disagat
1 batang sup – dipotong serong
5 ekor udang
1 biji tomato ~ potong wedges
½ kiub bilis
Garam dan gula secukup rasa
Serbuk lada hitam dan lada sulah
Daun sup 
2 sudu besar minyak untuk menumis 
Air untuk kuah (tak perlu banyak kerana cendawan akan keluarkan airnya sendiri)

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar – dirancik halus
4 ulas bawang putih – dirancik halus
1 inci halia – dirancik halus

Cara Memasak:
1. Cendawan direndam seketika, kemudian dibersihkan dan ditoskan.
2. Panaskan minyak. Tumis udang diikuti dengan bahan-bahan yang dirancik halus sehingga kekuningan dan naik bau.
3. Masukkan air secukupnya, kiub ikan bilis, garam, dan gula. Masak sehingga kuah mendidih.
4. Bila kuah telah mendidih, masukkan cendawan, dan batang sup. Biar mendidih sekali lagi. Perasakan dengan garam, gula, serbuk lada hitam, dan serbuk lada sulah.
5. Sebelum padamkan api masukkan lobak merah dan tomato. Kacau dan bolehlah ditutup api.
6. Semasa menghidang bolehlah ditaburkan daun sup.

Rabu, 08 April 2015

Rendang Ayam Pedas Kerisik

Assalamualaikum.



Ibu-ibu masih terfikir-fikir nak masak apa hari ini? Apa kata kita masak Ayam Rendang Pedas Kerisik. Kalau ada ayam dalam freezer tu keluarkanlah untuk nyahbeku cepat-cepat. Selalunya kalau masak rendang pedas ayam, Kak Noor kisar semua bahan dan rebus naik sahaja bersama santan. 



Tetapi untuk resepi kali ini, Kak Noor guna kaedah menumis pula. Dan ada satu lagi kelainan untuk rendang pedas ayam kali ini, iaitu Kak Noor tak guna cili kering sebab tak ada stok kat rumah, terlupa nak beli. So Kak Noor gantikan dengan cili merah (hidup) digabung dengan cili padi. Sedap juga rendang pedas menggunakan cili merah. 


Tak nak celoteh panjang-panjang, jom kita terus ke resepinya. Nanti tak sempat nak masak pula.

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam organik – dipotong kecil
3 sudu besar kerisik
1 cawan pati santan
1 batang serai dititik
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
Daun pudina (opsyen)

Bahan-bahan dikisar:
7 biji cili merah (hidup) – dibuang biji
5 biji cili padi hijau
1 biji bawang besar
1 ½ inci kunyit hidup
1 inci halia
2 batang serai - dihiris

Cara-caranya:
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan serai dahulu dan tumis sebentar. Kemudian baru dimasukkan bahan-bahan kisar. Masak sehigga mendidih.
2. Masukkan ayam dan 1 cawan air. Kacau rata. Guna api sederhana dan biar ayam mereneh di dalam kuali sehingga ayam ½ masak.
3. Kemudian masukkan pati santan dan kacau. Perasakan dengan garam dan gula.
4. Bila kuah telah mendidih, masukkan pula kerisik. Masak lagi sehingga kuah menjadi pekat.
5. Sebelum ditutup api, masukkan 5 – 6 helai daun pudina dan kacau kaupbalikkan.
6. Sedia untuk dihidangkan.

Emm... Nikmatnya Pisang Goreng Bersama Sambal Kicap Pedas ENAQ.

Assalamualaikum.


Hari ini celoteh Kak Noor mengenai goreng pisang dan sambal kicap pedas. Eh..eh.. silap bahasa pula. Pisang Goreng sebenarnya. Goreng pisang itu kata perbuatan, contohnya kita menggoreng pisang. Pisang Goreng tu kata nahu, nama sejenis makanan. Macam cikgu BM pulaklah ye!


Pisang Goreng merupakan salah satu makanan ringan yang amat popular. Kebiasaannya goreng pisang disajikan pada waktu petang (tea time). Tetapi sekarang ini dah tak kisah, pagi ke... petang ke... malam ke... kalau dah suka bila-bila masa teringin, boleh makan. Lebih sedap jika dihidang panas-panas sejurus keluar daripada kuali. 



Sejak dari kecil sehinggalah sekarang, Kak Noor suka makan pisang goreng cicah gula ataupun kari ikan. Hm... sedap sangat sehingga menjilat jari. Tapi mungkin orang Utara sahaja makan stail macam ni kot! Sebab bila tanya kawan-kawan pejabat, mereka tidak pernah makan pisang goreng cicah gula dan kari. Pisang goreng hanya dimakan begitu sahaja ataupun dicicah kicap.

Pisang goreng cicah sambal kicap? Hm... selepas tinggal di Kuala Lumpur baru Kak Noor tahu makan pisang goreng stail macam ini. Di gerai pun bila beli pisang goreng, mesti pakej dengan pencicahnya iaitu sambal kicap pedas. Kalau tak silap Kak Noor, orang Johor selalu makan stail macam ini. Tetapi tidak dapat dinafikan pisang goreng cicah dengan sambal kicap pedas memang best in the world. Pedas pedas tapi sedap.


Seperti yang kita tahu, antara ramuan sambal kicap pedas ini ialah beberapa ulas bawang putih dan cili padi; ditumbuk halus dan dicampurkan kicap ke dalamnya. Tetapi sekarang kita tidak perlu menyediakannya secara manual. Dengan adanya Sambal Kicap Pedas produk Enaq Sauce di pasaran, bila-bila masa saja kita boleh cicah pisang goreng dengan sambal kicap pedas. Memang enak sangat. Kak Noor dan kawan-kawan pejabat telah menikmatinya. RM20 pisang goreng dihabiskan dalam tempoh tak sampai satu jam. Semuanya disebabkan keenakan sambal kicap pedas Enaq. Nak tahu enak ke tidak, kenalah cuba dulu.



Selain pisang goreng, sambal kicap pedas Enaq ini sesuai juga dihidangkan bersama makanan gorengan lain seperti tempe, keladi, tauhu, cakoi, nuget, dan udang goreng celup tepung. Boleh juga dijadikan kuah kicap untuk nasi ayam dan sambal kicap untuk soto dan makanan bersup lain seperti bihun, mi, dan koayteow sup. Bagi peminat kerang bakar dan kerang rebus, memang sedap kalau dicicah dengan sambal kicap pedas Enaq ini. Rasa-rasanya semangkuk kerang habis pun tak sedar.



Cuba pula cicah buah-buahan seperti mempelam, buah kiwi, dan kundang dengan kicap pedas ini.  Memang enjoy sangat bila berkumpul beramai-ramai menikmatinya. Tak `menang tangan' kawan sebelah memotong buah. Belum sempat penuh pinggan, buah dah licin.    



Sambal Kicap Pedas Enaq ini boleh dibeli di pasaraya Giant, Tesco, dan Aeon. Mungkin masuk ke pasar raya Mydin tidak lama lagi. Kicap Pedas ini adalah produk terbaharu Enaq Sauce di pasaran. Kicap-kicap lain produk Enaq yang telah ada di pasaran ialah Kicap Manis dan Kicap Masin.



Tunggu apa lagi. Jom kita ramai-ramai layan Kicap Pedas Enaq, senantiasa enak. Rasa sekali, mesti nak lagi.

Kamis, 02 April 2015

Sambal Tumis Udang Petai lagi, menu pembuka selera

Hm.... sambal tumis udang petai lagi. Dalam sebulan mesti ada sekali menu ini. Menu pembuka selera. Kalau dah hidang menu ini, kalau tak tambah nasi mesti tak sah. Anak bongsu Kak Noor, Shila suka sangat sambal tumis udang petai ini. Tetapi yang paling disukainya ialah meratah petai. Selalunya diipilihnya petai dan ditinggalkan udang sahaja. Lastly orang lain ketinggalan tak dapat nak makan petai.





Dimakan pula bersama nasi panas. Ingat lagi Kak Noor sewaktu zaman kanak-kanak ketika di bawah jagaan nenda. Dulu bila nenda masak sambal tumis udang petai, udangnya bersaiz kecil sahaja. Itu yang termampu dibeli olehnya.  Kak Noor pun tak tahu nak makan udang-udang besar seperti sekarang ini. Petai pula petai kampung @ petai padi. Petai dulu-dulu rasanya lemak daripada petai yang ada sekarang ini. Mungkin petai kampung. 



Faveret Kak Noor kalau makan nasi dengan sambal tumis udang petai ini ialah mesti ada kicap manis. Nasi panas digaul bersama sambal petai dan kicap. Bila semuanya telah serasi, baru dimakan. Nyum-nyum.... sedap sangat, sampai menjilat jari. Rasa pedas tu lain kira. Sekiranya esok pagi masih berbaki sambal tumis, Kak Noor hanya breakfast nasi sejuk dengan sambal tumis itu sahaja. Pagi-pagi perut dah kenyang. Inilah antara nostalgia Kak Noor bersama arwah nenda tercinta. I missed her so.... much; my nanny cum my mum. Al-Fatihah untuk arwah.


Resepi sambal tumis petai udang ini pernah Kak Noor poskan dalam blog ini. Boleh search di menu Masakan Udang. Kak Noor muatkan resepi ini sekali lagi.

Resepi Sambal Tumis Petai
Oleh: Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
1 kg. udang putih saiz L – dipotong kepala dan ekornya
2 biji bawang besar – dipotong gegelang
Segenggam petai padi yang telah dikopek
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil sos kicap manis
2 sudu besar gula perang + gula putih secukup rasa
2 keping asam gelugor
Garam secukup rasa
½ sudu kecil serbuk perasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan dikisar lumat:
4 senduk nasi cili kering yang telah dikisar lumat
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
½ inci belacan – jika suka
Air secukupnya

Cara-cara Memasaknya:
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Masukkan bahan-bahan kisar dan kacau rata. Tutup periuk dan masak di atas dapur sehingga pecah minyak/terbit minyak.
2. Masukkan ½ cawan air dan kacau rata. Tambahkan sos tiram, sos kicap manis, gula perang, gula putih, serbuk perasa dan garam. Kacau rata dan biarkan mendidih.
3. Kemudian masukkan udang dan asam gelugor. Masak di atas api yang sederhana sehingga udang masak dan kuah mendidih.
4. Akhir sekali masukkan bawang besar yang telah dipotong gegelang. Kacau dan bolehlah ditutup api.
5.  Dah siap untuk dihidangkan.

Nasi Goreng Kicap ENAQ, rasa enaq secukup rasa

Assalamualaikum.



Kekadang waktu sekembalinya kita dari kerja, letak aje punggung atas sofa, rasa malas sangat nak bangun ke dapur. Kalau semasa di pejabat tadi bermacam-macam menu berlegar di dalam kepala, dan  telah rancang nak masak bila sampai di rumah, tiba-tiba mood hilang.  Dalam masa yang sama perut pula dah berlagu keroncong dan perlu diisi segera.  Dalam  erti kata lain `Nak kena masuk minyak dulu baru kereta boleh jalan'.



Alternatif menu yang paling mudah di saat ini ialah nasi goreng. Menu yang paling pantas  disediakan, tidak sampai 10 minit telah siap.   Bahan utama yang perlu ada tentulah nasi.  Rencah-rencah lain ikut ketersediaan di dapur.  Apa yang penting, perut mesti diisi.




Baru-baru ini ada seseorang yang memperkenalkan kepada Kak Noor kicap jenama Enaq.  Kicap produk muslim, `halal toyibban'.  Halalan toyyiban membawa maksud makanan yang dibenarkan atau diberi kebenaran untuk dimakan, bergantung kepada undang-undang Shariah selagi ia selamat dan tidak memudaratkan.  Minta Kak Noor rasa dan beri maklum balas tentang produk ENAQ ini.  Ada kicap manis, kicap masin, dan produk yang terbaharu ialah kicap pedas.



Eloklah juga Kak Noor cuba  tiga serangkai kicap ini untuk membuat nasi goreng.  Lagipun kicap yang sedia ada di rumah  pun dah habis,  Belum inden stok lagi. Dengan kombinasi tiga rasa serangkai kicap ini, makan terhasillah Nasi Goreng Kicap Enaq.  Bagi pendapat Kak Noor, bagusnya menggunakan ketiga-tiga kicap ini ialah sebab ia ada masin, manis, dan pedas.  Tidak perlu lagi kita meletak garam, gula, dan cili dalam nasi goreng ini.  Rasa enaq dan secukup rasa.



Jom kita tengok resepi olahan Kak Noor.  Boleh dicuba dan boleh dicopy.  Tetapi gambarnya hakcipta terpelihara ye...

Nasi Goreng Kicap Enaq
Oleh:  Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
6 cawan nasi
10 biji bebola ikan
1/2 cawan sayur campuran (mixed vegetables)
2 biji telur
Kicap Pedas Enaq
Kicap Manis Enaq
Kicap Manis Enaq
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan untuk membuat pes:
Bawang besar
Segenggam ikan bilis
5 ulas bawang putih
Cili padi - opsyen

Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng bebola ikan sehingga sedikit garing.
2. Kemudian masukkan pes nasi goreng dan kacau sehingga pes bertukar kekuningan dan naik bau.
3. Masukkan sayur campuran dan gaul rata sehingga sayur masak.
4. Kemudian masukkan telur dan kacau rata.
5. Tuang kicap pedas enaq, kicap manis, dan kicap masin sehingga menepati citarasa anda.  Gaul rata. Sekiranya anda mahu lebih pedas, boleh tambahkan lagi kicap pedas enaq.
5. Masukkan nasi putih dan kaupbalikkan sehingga mesra.
6. Setelah semua mesra, bolehkan diangkat nasi goreng ini dan dihidangkan.