Rabu, 30 September 2015

Daging Masak Lada Hitam Kicap Manis

Assalamualaikum dan Selamat Tengah Hari.

Menu apa tengah hari ini ye? Apapun menunya, syukur Alhamdulillah ke hadrat Illahi kerana kita masih dapat menikmati masakan kegemaran mengikut pilihan dan citarasa kita.




Ini cerita pagi tadi.  Sempat masak lauk untuk makan tengah hari sebelum berangkat ke tempat kerja. Telah agak lama tidak memasak pada waktu pagi; sejak anak-anak telah dewasa dan masing-masing telah pandai uruskan diri sendiri. Soal makan minum telah boleh diuruskan oleh mereka, yang penting ada bahan tersedia di dalam peti ais. Lagipun masing-masing nak menjaga penampilan, dalam erti kata lain `diet', so selera tak seperti dulu lagi. 



Pagi ini `terajin' pula siibu hendak memasak. Sejak semalam lagi menu ini ada dalam kepala. Menu daging masak lada hitam kicap manis.  Emm... sedap ni bila dimakan bersama-sama nasi panas.



Ini bukan daging korban ye!  Daging korban telah selesai dibuat sup sehari selepas hari raya korban.  Ini daging tempatan segar yang dibeli oleh Encik Hasben sebelum raya.  Kira daging tak segar le... sebab dah masuk peti ais seminggu.




Bila tengok rakan FB Azlina Ina poskan menu daging masak lada hitam yang membangkitkan selera, maka secara tidak langsung mencetuskan semangat untuk memasak menu ini untuk keluarga. Masakan ini tidaklah pedas sangat sebab Kak Noor cuma guna sos lada hitam yang telah siap dalamb botol; bukan lada hitam yang ditumbuk. Lagipun kicap manis juga digunakan untuk masakan ini. Ada rasa pedas- pedas manis. Memang sedap.

Sesiapa yang hendak cuba memasak menu ini, bolehlah rujuk resepi seperti di bawah ye.



Resepi Daging Masak Lada Hitam Kicap Manis
Oleh:  Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:
1 kg. daging segar – dipotong kecil
2 biji bawang besar – dipotong gegelang
1 biji tomato – dibelah 4 – 6
2 biji cili hijau – dihiris serong, saiz lebar
Kicap manis secukup rasa
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu kecil perencah kuah TUMIX
Minyak secukupnya untuk menumis


Bahan-bahan B (ditumis):
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris

Bahan-bahan C (dikisar lumat):
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 inci halia
Air secukupnya.


Bahan-bahan D:
1 sudu besar gula perang
5 sudu besar sos lada hitam – Kak Noor guna jenama LIFE

Cara-caranya:
1. Terlebih dahulu campurkan daging bersama bahan C dan bahan D. Gaul rata. Perapkan lebih kurang 30 minit.
2. Panaskan minyak di dalam kuali/periuk Tumis bahan-bahan B sehingga naik bau, dan warna bawang bertukar kekuningan.
3. Masukkan daging yang telah diperap dan gaul rata. Masukkan air secukupnya dan masak sehingga daging empuk (dalam tempoh ini boleh tambahkan air lagi dan masak sehingga daging empuk). Tutup kuali/periuk.
4. Selepas daging empuk masukkan kicap manis, serbuk lada hitam, dan perencah kuah TUMIX. Gaul rata dan masak sehingga kuah pekat sedikit.
5. Akhir sekali masukkan bawang besar, hirisan cili hijau, dan buah tomato. Kacau dan gaul rata. Selepas dua minit bolehlah ditutup api.

Minggu, 27 September 2015

Biskut Cip Rich Coklat (Rich Chocolate Chip Cookies)

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Hari ini hari Ahad. Emm... esok kerja. Ambil cuti sehari sebelum hari raya lagi untuk menyediakan juadah untuk Hari Raya Aidil Adha. Rancang nak balik beraya dengan bonda dan adik beradik di Utara, tetapi anak-anak pula tak dapat cuti. Cuma cuti yang digazetkan, itu saja. Tak seronok pula balik tanpa anak-anak.  Kasihan tinggalkan mereka di pagi raya. 



Lagipun Hari Aidil Fitri hari itu Kak Noor sekeluarga dah pulang beraya di sana. So raya kali ini, raya di sini pula. Adalah buatlah makan sikit-sikit, ala-ala open house gitu... Ramailah rakan-rakan anak yang bertandang.



Sempatlah juga buat biskut cip coklat ini. Lagipun ada customer yang order. Alang-alang dah buat untuk customer, buat sekali untuk famili. Bolehlah dibuat kudapan keluarga dan dijamu kepada tetamu yang bertandang.




Orang kongsi resepi lauk pauk, tapi untuk tengah hari ini Kak Noor tak masak. So tak lehlah share resepi. Bihun goreng untuk sarapan pagi tadi pun masih ada lagi Lagipun semua tak berselera nak makan nasi. Tengoklah petang-petang nanti baru kita fikirkan apa yang hendak dimasak.



So sebagai ganti, Kak Noor kongsi resepi Biskut Cip Rich Coklat ini. Resepi inilah yang Kak Noor gunakan untuk jualan sejak dari dahulu lagi. Ramai customer yang kata sedap dan rangup, kruk-kruk-kruk. Untuk Biskut Cip Rich Coklat ini, banyak bahan berunsur coklat digunakan. Selain serbuk koko, Kak Noor gunakan juga coklat emulco, chocolate rice dan chocolate cip. Bagi yang hanya suka rasa coklat yang sederahana, bolehlah gantikan coklat emulco dengan esen perasa coklat dan penggunaan serbuk coklat dikurangkan. Penggunaan coklat akan mempengaruhi warna tekstur biskut ini.


BISKUT CIP RICH COKLAT
Oleh: Sajian Dapur Bonda.

Bahan-bahan A:
300 gm mentega (boleh guna Buttercup/Butterlite/Farmcows
200 gm gula perang
100 gram gula kastor
2 biji telur ayam Gred A
2 sudu kecil coklat emulco atau perasa coklat
120 gram cip coklat
30 gram chocolate rice
80 gram badam cincang

Bahan-bahan B (diayak bersama):
400 gram tepung gandum
4 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar susu tepung full cream (contoh susu tepung Everyday)
40 gram serbuk koko
2 sudu teh soda bikarbonat
2 sudu teh emplex

Cara-caranya:
1. Pukul mentega dan gula sehingga kembang menggunakan mixer.
2. Masukkan telur dan pukul lagi. Kemudian masukkan coklat emulco.
3. Masukkan sedikit demi sedikit bahan-bahan B sehingga semuanya bergaul rata.
4. Akhir sekali masukkan badam, cip coklat, dan chocolate rice. Kacau adunan mengggunakan spatula atau senduk kayu sehingga semuanya bergaul rata.
5. Masukkan adunan dalam di dalam peti ais ½ jam sebelum membentuknya. Boleh menggunakan bowl mixer atau plastic zipper.
6. Dengan menggunakan sudu kecil, bentukkan adunan dan susun di atas dulang pembakar. Lapik dulang pembakar dengan baking paper.  Boleh dihiaskan dengan cip coklat sekiranya suka.
7. Sementara itu, panaskan oven selama 10 minit. Bila oven telah panas, masukkan adunan dan bakar dalam ketuhar pada suhu 150C selama 20 – 25 minit atau sehingga masak (bergantung kepada oven masing masing-masing).
8. Selepas dikeluarkan daripada oven, rehatkan sebentar sehingga sejuk, baru dimasukkan di dalam botol atau bekas plastik kedap udara.

#(Bagi cara 1 – 3, lebih mudah menggunakan mixer)

Minggu, 20 September 2015

Cucur Susu Lemak Manis

Assalamualaikum.

Ini cerita petang tadi. Dalam dok busy update blog, si bongsu nak makan cucur manis pula. Dok asyik tanya berkali-kali bila ibu nak buat. Sedangkan kita dok tengah rancak mengarang. Hanya weekend aje yang boleh ngadap komputer lama-lama dan update apa yang patut. Tentulah dah `berakaq' di tempat duduk dan malas sekali nak bangun ke dapur.



Tapi kesian juga, dah lama tak buat cekodok faveretnya sejak sibuk menyemperit tiap-tiap hari. Demimu anakku, ibu tinggalkan Sajian Dapur Bonda sejenak untuk memenuhi permintaanmu. Teringat kembali Kak Noor ada save resepi cucur manis  daripada FB dalam handphone. Resepi ini ada kelainan dari segi penggunaan bahan-bahannya. Itu yang teruja sangat hendak mencubanya.



Sebenarnya sekejap sahaja untuk membuatnya. Tak sampai 10 minit dah siap bancuhan adunannya. Cukuplah satu adunan untuk percubaan kali pertama. Kalau sedap, boleh bancuh lagi.

Memang sedap sangat cucur manis ini. Dalamnya gebuss... anak pun suka, ibu pun suka, semua ahli keluarga pun suka. Bertambah sedap kalau ada sambal tumis atau kari semalam untuk dicicah. Dalam sekelip mata, sepinggan cucur boleh habis. 

So di sini Kak Noor salin kembali resepi yang dikongsi oleh saudari Suriani Osman dalam salah satu group masakan dalam FB. Jutaan terima kasih di atas perkongsian resepi ini. Memang terbaiklah. Dengan adanya resepi ini tak perlulah Kak Noor beli paket cucur manis Adabi lagi. Selalunya sekali angkut sampai 5 hingga 6 paket kalau ada harga promosi.


CUCUR SUSU LEMAK MANIS
Oleh: Suriani Osman (FB)

Bahan-bahannya:
1 1/4 cawan tepung gandum 
1/2 sudu kecil baking powder
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
6 sudu besar susu manis (lebihkan jika suka)
1/2 cawan susu segar/susu cair - (saya guna susu cair)
1 sudu kecil esen rose - (saya tambah)
Garam secukup rasa

Cara-caranya:
1. Ayak tepung gandum, baking powder dan soda bikarbonat ke dalam mangkuk. 
2. Masukkan esen rose, diikuti dengan susu segar/cair sedikit-sedikit sambil dikacau hingga adunan licin dan sebati.
3. Goreng cucur dalam minyak yang panas sambil dibalik-balikkan untuk mendapatkan cucur yang bulat gelembong dan keperangan.
4. Angkat cucur dan hidangkan.

Kek Pisang Berangan Cip Coklat dan Cip Butterscoth

Selamat petang semua.

Bila petang begini, rasa lapar pula. Rasa malas sangat nak keluar dari rumah. Lebih teruk, bila malas nak masuk dapur. He...he... kadang-kadang memang wujud rasa malas tu. Mungkin pada hari-hari lain kita terlebih rajin ke dapur, tapi ada suatu ketika itu terlebih malas pula nak masuk dapur.
   





Tu le... rasa hari ini macam nak lepak aje..., tak nak buat apa-apa.  Namapun hujung minggu.  Masa untuk relax dan santai-santai. Kalau boleh nak ada orang hidangkan makanan di depan mata kita.  Jadi `mem' kejap.  Lebih-lebih lagi kalau telah mengadap komputer untuk mengemas kini blog yang telah berkurun tak up-date. Memang `berakaq' le... kat kerusi tu, berganjak jauh sekali kalau tugas belum selesai.



Semalam selepas selesai menyediakan tempahan tart nanas kerang untuk pelanggan, rasa terajin pula nak buat kek pisang. Lagipun kelmarin, pagi-pagi lagi Encik Hasben telah ke pasar tani untuk membeli pisang. Sebelum semua pisang itu `ghaib' dimakan oleh anak-anak, mahu tak mahu buat jugalah kek pisang itu semalam walaupun mata dah nak terpejam.  Dah banyak  kali kejadian pisang `ghaib' ini berlaku sebelum sempat dibuat kek. Ha...ha...



Teruja dengan resepi kek pisang berangan berhiaskan cip coklat yang diposkan di FB. Dah lupa siapa empunya resepi, cuma resepinya sempat Kak Noor screen shot, dan berdasarkan tulisan di atas gambar kek tersebut tercatat nama rafiziyunos.blogspot.com. Terima kasih kepada empunya resepi asal kek pisang ini. Walau bagaimanapun Kak Noor telah mengolah resepi ini mengikut kesesuaian dan kefahaman Kak Noor semasa penyediaan kek ini. 


Jom kita tengok resepinya.

Kek Berangan Cip Coklat dan Cip Butterscoth
Olahan:  Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:
4 biji telur Gred A
3/4 cawan gula kastor
1 sudu kecil ovallete
2 sudu besar cip coklat
2 sudu besar cip butterscoth
1 sudu kecil esen pisang



Bahan-bahan B: 
8 biji pisang berangan - dipotong kecil
¾ cawan mentega cair
(Bahan-bahan B disatukan dan dilblend menggunakan blender chopper)

Bahan-bahan C:
2 cawan tepung gandum 
1 sudu kecil soda bikarbonat
2 sudu besar susu tepung
1 sudu kecil baking powder
(Bahan-bahan C disatukan dan diayak bersama)

Cara-caranya:
1. Mula-mula putarkan gula dan telur sehingga kembang menggunakan mixer.
2. Kemudian masukkan ovellete dan esen pisang. Putar dalam dua tiga minit lagi, sehingga semua bahan bergaul rata. 
3. Masukkan bahan B. Dengan menggunakan spatula gaulkan sehingga semua sebati. 
4. Kemudian masukkan bahan C dan kacau rata. 
5. Selepas itu masukkan cip coklat dan cip butterscotch (sukatannya bergantung kepada kesukaaan masing-masing). Kacau rata. 
6. Sebelum adunan dimasukkan ke dalam loyang, lapik loyang dengan baking paper. Oleskan baking paper dengan sedikit mentega atau margerin. 
7. Tuangkan adunan ke dalam loyang. Saya guna loyang saiz 8” x 8”. Taburkan lagi cip coklat dan cip butterscotch dan kalau suka boleh susun hirisan pisang juga. 
8. Sebelum adunan dimasukkan ke dalam oven, panaskan oven terlebih dahulu selama 10 minit dengan suhu 170 darjah celcius. 
9. Bakar adunan pada suhu 170 celcius selama 40 minit ke 1 jam menggunakan api atas bawah (bergantung kepada oven masing-masing). Dalam tempoh tersebut, bila permukaan atas kek telah perang, gunakan api sebelah bawah sahaja. Nanti kalau guna api atas bawah, permukaan atas kek akan hangus. 
10. Bila telah masak keluarkan daripada oven, biarkan sejuk dahulu sebelum dipotong.

Sabtu, 19 September 2015

Lala Masak Rasa Tomyam, Selera Thai untuk `lunch' hari ini.

Assalamualaikum.


Selamat bercuti hujung minggu bersama keluarga. Semoga semua sihat-sihat belaka dan ceria di samping keluarga tercinta.


Untuk menu tengah hari hari ini, Kak Noor masak menu selera Thai pula. Pagi tadi pesan kepada Encik Hasben suruh beli lala sebab dah jemu masak menu ayam dan ikan aje. Selalunya lala ini Kak Noor masak lemak cili padi dan sambal sweet sour. Anak-anak lebih gemar masak sambal sweet sour. Tetapi hari ini nak tukar selera pula. Nak cuba masak lala selera Thai.


Emm.... memang sedap sangat. Rasa tom yam menjadi pembuka selera. Ni yang takut nak masak sedap-sedap. Selera pun apa lagi., emm... bertambah-tambah le... Sekali sekala apa salahnya makan bertambah kan! Hari-hari biasa kita diet pulak.

Resepi Lala Masak Rasa Tomyam
Oleh Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahan:
1 kg. siput lala - direndam seketika dengan sedikit garam, kemudian dibasuh dan ditoskan.
2 sudu besar pes tomyam thai
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili thai
1 sudu besar sos ikan/sos sotong
1/2 cawan air
minyak untuk menumis
Gula dan garam secukup rasa

Bahan-bahan ditumis:
1 batang serai - dititik
1 biji bawang besar sederhana - dirancik halus
3 ulas bawang putih - dirancik halus
5 - 6 biji cili padi - diketuk

Cara-caranya:
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis serai, diikuti dengan bawang besar, bawang putih, dan cili padi sehingga wangi dan bawang besar layu sedikit.
2. Masukkan pes tomyam, sos tiram, sos cili thai, sos ikan/sos sotong dan kacau rata.
3. Masukkan air, dan perasakan dengan garam dan gula. Biar kuah telah mendidih,  baru masukkan siput lala dan kaup balikkan. Tutup kuali dan biar kuah mendidih sekali lagi dan kulit lala berubah warna dan terbuka.
4. Boleh taburkan daun sup dan kacau seketika. Tutup api dan bolehlah dihidangkan.

Jumat, 18 September 2015

I'M IN LOVE WITH SAMPERIT.... `Order and Bake, Fresh from Oven'

Assalamualaikum.

Selamat bercuti di hujung minggu. Semoga ceria dan gembira bersama keluarga tercinta.

Hari ini juga diceraikan dengan samperit beraneka warna. Cuba tengok foto-foto samperit yang dimuatkan. Warna-warnamya menceriakan suasana. Sesiapapun yang melihatnya tentu terpikat dan teruja nak merasa samperit ini.


Samperit Susu Samperit ini merupakan antara produk homemade Sajian Dapur Bonda yang paling banyak mendapat tempahan daripada pelanggan. Tempahan samperit ini dibuka sepanjang tahun; bukan sahaja pada musim perayaan. 

`Order, & Bake Fresh From Oven' itulah konsep Sajian Dapur Bonda. `Anda tempah,saya buat'. Samperit Susu Cheese ini mendapat sambutan yang mengalakkan daripada pelanggan. Ada yang telah repeat order; mungkin tak jemu memakannya. Banyak komen yang diterima mengatakan ia sedap dan lemak berkrim. Di samping itu ramai yang teruja dengan bentuk bunga samperit ini dan sering bertanyakan acuan yang digunakan.



Resepi yang Kak Noor gunakan ini bukanlah resepi Kak Noor sendiri. Ia diambil daripada page FB seseorang. Di kesempatan ini Kak Noor ingin mengucapkan `Thrillon of Thanks' kepada empunya resepi yang hanya Kak Noor kenali dalam FB melalui pagenya `Dari Dapur Seorang Amatur'. Telah banyak resepi samperit yang Kak Noor telah cuba, dan inilah yang paling kevoom voom and the best. Cuma resepi asal tidak dimasukkan susu tepung dan cheese sahaja. 

Sebekas RM28 

Jom tengok koleksi gambar-gambar samperit yang sempat dirakamkan.


Samperit rasa coklat dengan cip coklat sebagai hiasan

Samperit warna ungu dengan hiasan manik gold

Samperit warna pink dengan hiasan ceri merah

Purple dan pink, kombinasi menarik

Samperit warna hijau epal dengan hiasan ceri hijau

Samperit klasik dengan hiasan ceri hijau, dan samperit warna turqoise dengan hiasan manik hijau

Samperit boleh juga dibuat hantaran dan cenderahati, cuma memerlukan kreaviti untuk
 menghiasi bekasnya untuk nampak  lebih elegance.   Sebekas RM25.

Samperit warna ungu dalam bekas bentuk love, dihiasi dengan manik beraneka warna

Samperit warna klasik dalam bekas bentuk love, dihiasi dengan cip coklat warna pink

Samperit Velvet, dihiasi dengan Red Velvet White Chocolate 

Samperit warna Turqoise dalam bekas love, dihiasi dengan manik silver.

Cuci-cuci mata ye....

Untuk tempahan sila hubungi Kak Noor @ 0162890412.

Selasa, 01 September 2015

Kuih Cara Manis

Assalamualaikum.





Kuih Cara Manis, salah satu kuih tradisional yang masih dihidangkan untuk sarapan pagi dan minum petang. Semasa kecil, nenda Kak Noor suka buat kuih ini. Maklumlah tinggal di kampung. Bila telah penat bermain dengan kawan-kawan, nenda selalu hidangkan juadah petang seperti jemput-jemput ikan bilis, cekodok pisang, lempeng, pisang goreng, bingka, dan pelbagai lagi kuih-muih tradisional. Sedap dan berselera bila ditemani kawan-kawan makan bersama. Menghirup pula teh o wangi panas-panas. Hmm.... sedih pula bila terkenang saat-saat terindah ini. Semuanya nostalgia yang ditinggalkan melalui catatan di halaman ini. 




Ok... berbalik kepada kuih cara manis tadi. Sebenarnya dah berzaman juga acuan kuih cara disimpan sebagai harta karun di dalam almari. Inilah satu-satunya acuan kuih cara yang Kak Noor ada. Seingat Kak Noor acuan ini dibeli pada tahun 1989 semasa tinggal di Padang Besar. Bila berkahwin Kak Noor berhenti kerja dan mengikut suami tinggal di Padang Besar. Kalau telah bergelar suri rumah tangga sepenuh masa tu... apa lagi banyaklah masa terluang. Memang sejak dahulu lagi hobi Kak Noor ialah mencuba dan memasak pelbagai resepi. Semasa itu tiada internet, hanya rujuk kepada majalah sahaja. Suami pula memang `kaki makan' dan suka makan kuih-muih tradisional ini. 




Bila dah berzaman acuan di dalam almari, ini bererti dah berzaman jugalah Kak Noor tidak membuat kuih cara ini. Tetiba sahaja anak bongsu perempuan minta Kak Noor buatkan kuih hijau untuknya. Tertanya-tanya juga kuih apa yang dia maksudkan. Dia kata, "kuih yang Shila makan semasa Seminar Didik hari itu". Oh... kuih cara manis rupanya. Nasib baik ibunya turut berada di situ semasa para peserta minum petang selepas seminar tamat. So.. mengertilah apa yang dimaksudkannya. 




Hampir setiap hari Shila meminta untuk dimasakkan kuih cara manis ini. Dan... pada setiap kali itulah ibunya `begitu sibuk' dan tidak dapat menunaikan permintaannya pada saat itu. Kasihan Shila. Akhirnya pada hari Sabtu minggu lalu, maka tertunailah hajatnya. Kushyuk sungguh Shila melihat Kak Noor membuat kuih cara manis ini, dari mula sampailah akhir. Dia sendiri yang letak gula. Katanya, `ibu letaklah gula banyak-banyak, baru sedap', kalau letak sikit tak rasa manis. Emm... layan ajelah sikecil ni. Dia yang nak makan sangat-sangat. So ikut aje citarasanya.

Oh ya nak kongsi satu petua untuk mewangikan lagi kuih cara ini dengan aroma pandan.  Dulu semasa nenda menyapu minyak di dalam acuan, beliau gunakan beberapa helai daun pandan yang diikat dan dijadikan sebagai berus. Mungkin disebabkan itu kuih cara orang dulu-dulu ada aromanya yang tersendiri. 




Resepi kuih cara manis ini Kak Noor ikut resepi rakan FB CT Hajar atau nama penuhnya Siti Hajar Hashim. Setakat ini semua resepinya yang Kak Noor cuba memang menjadi sempurna. Terima kasih kepada empunya resepi yang telah mengketengahkan dan mengembalikan nostalgia kuih-kuih lama untuk dikongsi bersama. Kak Noor sendiri pun dah lupa resepi kuih-kuih lama ini kalau tiada rujukan.

Kak Noor salin semula dan kongsikan resepi Kuih Cara Manis oleh CT Hajar ini. 


Bahan-bahannya:
2 cawan tepung gandum
2 cawan air
1/2 cawan air pandan - Kak Noor guna 8 helai daun pandan
1/2 cawan santan pekat
1 biji telur
1 sudu teh pewarna hijau
Secubit garam
Gula pasir untuk inti

Cara-caranya:
1.  Kisar  semua bahan hingga sebati kecuali gula.
2. Panaskan acuan atas dapur gas. Sapu sedikit minyak. 
3. Tuang adunan di dalam acuan, masukkan gula pasir dan tutup guna tudung periuk.
4. Masa selama lebih kurang 5 - 8 minit menggunakan api kecil.
5. Bila telah masak gunakan garpu dan keluarkan kuih daripada acuan.