Jumat, 30 Mei 2014

Sambal Manis Bebola Ayam



Sambal Manis Bebola Ayam, ini adalah antara menu yang digemari oleh anak-anak Kak Noor.  Menu yang paling ringkas.  Apa yang perlu adalah to maka sure stok bebola ayam senantiasa ada di rumah.  Kalau dan jemu makan lauk pauk, menu inilah yang menjadi permintaan anak-anak.



Bagi resepi sambal manis bebola ayam ini, Kak Noor guna jenama Ayamas.  Terdapat dua jenis bebola ayam iaitu yang bersalut dan yang tidak bersalut.  Beli yang tanpa bersalut yang boleh juga digunakan untuk membuat sup bebola ayam.


Bahan-bahannya:

1 kg. bebola Ayamas tanpa salut – digoreng sehingga masak
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
3 sudu besar gula perang
2 cawan air
½ kiub ayam – jenama apa pun boleh
Gula putih dan garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan dikisar:
4 senduk nasi cili kisar
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 biji tomato saiz sederhana yang cukup masak

Cara-caranya:

1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Goreng bebola ayam sehingga masak dan ketepikan.
2.  Panaskan kuali.  Ambil sedikit minyak daripada gorengan bebola ayam tadi untuk menumis.  Tumis bahan-bahan kisar sehingga cili garing/terbit bau.
3.  Masukkan 2 cawan air dan kacau.  Kemudian masukkan pula sos cili, sos tiram, kicap manis, gula merah, gula putih, dan garam. Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih.
4.  Setelah kuah mendidih, masukkan gorengan bebola ayam tadi dan kacau rata.  Biarkan seketika di atas dapur sehingga sambal mendidih sekali lagi.
5.  Tutup api dan bolehlah dihidangkan.

Selasa, 27 Mei 2014

Bestnye... jom layan sambal tumis ikan bilis petai Sajian Dapur Bonda

Hai... tak tahu nak masak apa hari ini. Dah ketandusan idea. Tengok dalam peti ais, bahan-bahan basah telahpun kehabisan. Hanya tinggal stok sardin tin dan ikan bilis untuk waktu kecemasan. Minggu lalu ke NSK Selayang, kurang segar lauk pauknya.  Just beli sayur-sayuran aje dan barang-barang keperluan lain.




Sejak minggu lalu teringin bebenor nak makan sambal tumis ikan bilis campur petai.  Nasib baiklah minggu lalu semasa di NSK Selayang sempat sambar petai 1 bungkus.  Segar bugar petainya. Kecur air liur nak makan sambal tumis ikan bilis ni.  Tapi hujung minggu lalu Kak Noor sibuk buat `pre-order' untuk samperit dari pagi hinggalah ke petang.  Nasib baiklah anak perempuan Kak Noor balik hujung minggu.  Bolehlah dia membantu untuk membakar. Kalau harapkan Kak Noor sorang, memanglah kurang daya upayanya. Semangat itu ada untuk memenuhi permintaan kawan-kawan yang sukakan samperit, tetapi itulah.... kalau sihat tu seronoklah buat, tapi bila dah sakit sana, sakit sini, mulalah semangat tu semakin kurang. 




Pagi semalam, sebelum pergi kerja sempat masak sambal tumis ikan bilis petai. Hai...rasanya kalau Kak Noor tak ambil sedikit untuk dibawa ke tempat kerja, alamatnya bila pulang kerja petang nanti, tak merasalah petai ni!  So ambil sedikit untuk dibawa ke pejabat untuk dimakan bersama nasi goreng. Selalunya petai dulu habis daripada ikan bilis.  Memang betul jangkaan Kak Noor. Bila buka tudung periuk, hanya nampak ikan bilis sahaja, tak wujud langsung `wajah' petai di dalam periuk. Anak-anak Kak Noor memang suka meratah petai, terutamanya anak perempuan bongsu.  Tapi kalau petai fresh dia orang tak gemar pula.  Kak Noor sendiri pun tak suka.  Kak Noor cuma makan petai bila telah dimasak dengan sambal. 




Rasanya resepi sambal tumis petai telah ada dalam blog SDB ini. Cuma kali ini Kak Noor tidak menggunakan belacan.  Ikan bilis pula digoreng sehingga setengah garing. Godek-godeklah cari resepinya nanti ye! Teruja nak pos gambar sambal tumis ikan bilis petai ini untuk dikongsi bersama. Mesti dah kecur air liur...! Nasi panas ada tak? Layan....

Karikurma Ayam; eksperimenku di dapur menghasilkan satu menu untuk sajian keluarga.


Assalamualaikum.




Rasa pelik tak dengan nama menu yang dipaparkan? Bila tengok gambar di atas mostly nampak macam masakan kari ayam kan? Memanglah kari ayam sebab Kak Noor menggunakan bahan utama dalam masakan ini iaitu serbuk rempah kari daging. Pun begitu menu ini mempunyai kelainan dari segi rasanya selepas dimasak. Untuk mempelbagaikan rasa kuah berempah, Kak Noor turut menggunakan serbuk rempah kurma dalam masakan ini. 




Tak salah kalau kita  `bereksperimen' untuk mencuba menghasilkan satu menu yang baharu  dan kelaianan rasanya.  Apapun hasilnya, ia masih sedap dimakan. Karikurma  merupakan gabungan serbuk rempah kari daging dan juga serbuk rempah kurma. Maka jadilah nama masakan ini Karikurma. Ha...ha... sempoikan! Satu nama baharu dalam menu masakan.




Cara memasaknya lebih kurang sama seperti kita memasak kari ayam.  Kali ini Kak Noor menggunakan susu sejat bagi menggantikan santan. Cubalah resepi ini untuk merasa kelainannya. Bila dah cuba masak sendiri, baru tahu hasilnya; sedap ataupun tidak. Insya Allah sedap.

Jom kita ke resepi Karikurma Ayam ini.

Bahan-bahannya:

1 kg. ayam – dipotong 12 atau 16
5 biji ubi kentang – dipotong 2
1 batang serai – dititik
2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
1 inci halia + 4 ulas bawang putih – dikisar
2 biji bawang besar - dikisar
2 batang daun kari
4 sudu besar rempah kari daging
2 sudu besar rempah kurma
1 sudu besar serbuk cili
1 tin susu sejat
2 tin air (menggunakan sukatan tin susu sejat)
1 kiub ayam
1 biji tomato saiz sederhana - dipotong kiub/kecil
Garam dan gula secukup rasa.
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara-caranya:


1. Satukan serbuk rempah kari daging, serbuk rempah kurma dan serbuk cili. Bancuh dengan air untuk menjadikannya pes.


2. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan serai, diikuti dengan kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga. Kacau, kemudian masukkan kisaran halia dan bawang putih, diikuti dengan kisaran bawang besar dan daun kari. Tumis sehingga naik bau dan bahan-bahan tumisan kekuningan.

3. Kemudian masukkan pes rempah. Kacau rata dan perlahan api. Biarkan rempah mereneh di atas dapur sehingga rempah garing/terbit minyak.

4. Selepas rempah garing masukkan ayam. Kaupbalikkan ayam dengan rempah. Tutup periuk dan biarkan ia mereneh di atas dapur lebih kurang 10 minit.

5. Kemudian masukkan susu sejat dan air. Kacau rata. Masukkan kiub ayam Knorr dan buah tomato.  Masak di atas dapur sehingga kuah mendidih.

6. Selepas itu masukkan potongan ubi kentang.  Perisakan dengan garam dan gula.  Masak di atas dapur sehingga ayam masak dan ubi empuk. 

7. Akhir sekali masukkan cili padi hijau dan cili hidup. Kacau dan tutup api.

Kamis, 22 Mei 2014

NOSTALGIA SAMPERIT.... Samperit bonda IS THE BEST IN MY WORLD....

Assalamualaikum dan Selamat Tengah Hari.  





Bila tengok paparan gambar di atas, siang-siang mesti dah tahu apa yang akan dibicarakan oleh Sajian Dapur Bonda hari ini kan? Cukup teruja bila tengok samperit yang comel-comel dan sempurna kejadiannya seperti gambar di atas.  Entah kenapa tetiba sahaja nak cerita pasal semperit.  Mungkin disebabkan dalam bulan ini asyik mencuba pelbagai resepi samperit tapi resultnya tak menepati KPI (Key Performance Indicators) yang ditetapkan. Jangan ingat pekerja pejabat sahaja ada KPI?  Memasak pun ada KPInya juga ye.  Kucuba dan terus mencuba dari satu resepi ke satu resepi untuk mendapatkan kesempurnaannya.  Walaupun apa yang tercatat dalam resepi diikuti satu persatu tanpa gagal,  tetapi it's still not perfect to me.  Pelbagai tips dan petua juga telah diikuti; antaranya gula dan mentega tak boleh pukul sampai kembang,  jenis tepung yang digunakan, cara membakar, dan sebagainya.  


Fresh from oven

So tengah hari ni dah tak sabar-sabar nak pos N3 pasal samperit.  Tengah banyak idea ni...so panjang berjelalah coretan Kak Noor kali ini.  Dah lama tak tulis karangan panjang seperti ini. Harap tak bosan ye! Masa lunch time, Kak Noor tak keluar untuk lunch. Hanya bersantai di pejabat sahaja kerana pagi tadi telah ambil heavy breakfast iaitu nasi lemak dan kuih.  Masa rehat selama sejam ini sempatlah Kak Noor godek laptop sekejap untuk poskan perihal samperit ini. 








Cuti hujung minggu lalu sibuk membuat sample samperit untuk `tasting'  oleh kekawan bagi tempahan hari raya.   Nanti dah masuk bulan Ramadhan, tak dapat mereka merasanya pulak. Biasalah kalau nak jual ni, mesti dia orang nak rasa dulu.  Sedap ke tidak?  Baru boleh buat keputusan sama ada nak membelinya ataupun tidak.  Biasalah tu... semua orang akan membuat pilihan terbaik untuk membeli; begitu juga dengan diri Kak Noor.  So terpulanglah kepada citarasa masing-masing untuk membuat penilaian.  Sekiranya menepati citarasa, bolehlah order.  Kitapun tak dapat menepati citarasa semua orang.  Macam biskut samperit ni, ada orang yang suka gebu dan melting in mouth, dan ada juga yang suka rasa sikit-sikit crunchy. 
  

Tiap-tiap tahun Kak Noor cuba membuat samperit tetapi masih tidak mendapat kepuasan yang diinginkan.  Resepi bonda telahpun diikut dari A to Z, tetapi masih tidak menepati piawaian.  At last bila dah fade-up,  modify jadi resepi biskut lain.  Walaupun kita nampak penyediaannya mudah dan bahan-bahan utama yang digunakan adalah mentega, tepung, gula, dan telur,  tetapi bagi Kak Noor amatlah sukar untuk mendapatkan hasil yang terbaik.  Tetapi, tak tahulah kekawan lain yang boleh menghasilkan samperit yang terbaik.  Mungkin Kak Noor belum sampai ke tahap `champion' lagi membuat biskut samperit ini. 

Samperit oleh Che Mat Gebu, memang teruja dengan kesempurnaan kejadiannya
 (Rujukan daripada blog Mat Gebu, dah ada stamp atas gambar tu....)

Apa yang patut ada pada samperit yang sempurna kejadiannya?  Gebu, melt in mouth and yang paling utama bila dibakar ia tidak kembang dan bunganya tidak jatuh.  Bentuknya pula comel aje... besar syiling lama 20 sen.  Sekali ngap sahaja masuk mulut.   50 biji boleh dihabiskan dalam masa sehari.


Biskut samperit ini merupakan biskut raya yang paling FAVOURITE.  Walaupun bukan hari raya, bila sesekali kurasa teringin, Kak Noor akan mencarinya di pasar raya atau di stesen-stesen minyak.  Ada yang menepati citarasa (99% perfect, nothing is 100% perfect),  dan ada juga yang nampak bunganya cantik, tetapi bila masuk ke mulut, rasanya tidaklah secantik bunganya. Tetapi makan jugalah sampai habis.  Rezeki tak baik dibuang tau!  Bukan tak sedap, sedap.... tapi cuma tak perfect, itu saja. 


Inilah samperit bunga pecah lima, trademark samperit bondaku.
(Rujukan gambar:  http://www.ahmadhasif.info/)

Samperit ini banyak meninggalkan nostalgia kepada Kak Noor semasa zaman remaja; ketika bergelar student di UiTM.  Pada setiap kali kunjungan ayahanda dan bonda di UiTM, biskut samperitlah yang dibawa oleh mereka.  Satu tupperware besar!  Tapi bukanlah makan sorang-sorang.  Kak Noor ni jenis tak kedekut orangnya. Walaupun sayang takut habis, tetapi tetap dikongsi bersama kekawan semua.  Memang terbaik and best in my world.  Samperit daripada air tangan bondaku.  Bondaku memang CHAMPION buat samperit!!   Bonda selalu menggunakan acuan bunga pecah lima untuk samperit  dan tidak menggunakan acuan bunga dahlia. Itulah trade mark samperit bondaku.   Walaupun pada hari ini Kak Noor telah dapat membuatnya sendiri, tetapi rasanya tetap tak sama seperti bonda Kak Noor buat.  Mungkin inilah yang dinamakan air tangan bonda. 

Pada setiap tahun hari raya Kak Noor selalu juga request daripada bonda supaya jangan lupa buat samperit.  Tetapi bonda tidak lagi segagah dulu.  Dalam usianya yang telah melewati 6oan, bonda sering sakit-sakit dan letih.   Kadang-kadang digagahi juga dirinya untuk memasak, tetapi ala kadar sahaja.  Walaupun bondaku seorang yang CHAMPION dalam bidang masakan, tetapi kudratnya tak sechampion seperti dulu lagi.  Kak Noor sering merindui masakan bonda.  Maklumlah Kak Noor seorang sahaja yang merantau.  Sesekali bila pulang menjengok bonda, masakan bondalah yang dingidamkan.  Adik-adik lain tinggal berhampiran dengan bonda dan pada setiap waktu mereka dapat merasai air tangan bonda.  



Berbalik kepada samperit yang telah Kak Noor hasilkan.  So... inilah hasilnya.  Tengoklah gambar-gambar di bawah. Masih tidak perfect dan perlu dibuat eksperimen demi eksperimen. Ada dua jenis; satu yang jenis sikit crunchy dan satu lagi gebu, dan melt in mouth.  Pilihlah yang mana satu?  I am not the best in making the samperit, but I am still trying to make it better.   Apapun sedapnya masih terasa (puji diri sendirilah pulak ni!).






Samperit ini rasanya ada cruncy sikit.  Guna gula kastor




Yang ini teksturnya gebu dan melt in mouth

Sekarang ini tengah `kalut' mencari  acuan samperit tembaga.  Di rumah ada dua tiga acuan samperit berbagai bunga tetapi daripada jenis plastik.  Amat sukar untuk mencari acuan samperit tembaga.  Dulu dulu mana ada acuan plastik, semua acuan tembaga.   Last year boleh dikatakan semua kedai yang jual acuan di Chow Kit telah Kak Noopr redah, tapi tak jumpa.  Ada seorang tauke Cina tu beritahu kena `import' dari Ipoh (Ipoh mali maa....). Esok atau lusa nak pergi cari jugak.   Kalau guna acuan tembaga, biskut akan nampak lebih cantik dan bunganya lebih sharp.   Tapi kalau dah tak ade, nak buat macam mana?  Guna acuan plastik jugalah...




Inilah acuan samperit tembaga yang dicari-cari  selama 
ini yang menghasilkan Samperit Bunga Dahlia 
(Gambar diambil dari blog Haidarifqi)

Acuan samperit jenis plastik

Minggu, 18 Mei 2014

Nasi Lemak Pandan




Nasi lemak pandan, menu sarapan pagi untuk keluarga di hujung minggu. Cara penyediaannya lebih kurang sama sahaja macam kita memasak nasi lemak.  Cuma bagi kejadian warna hijaunya, kita gunakan air daun pandan dan dicampur dengan sedikit pewarna hijau.  



Untuk lauknya pula Kak Noor masak menu kari ayam yang diolah rasanya dengan menggabungkan dua rempah iaitu rempah kari daging dan rempah kurma.  Ternyata rasanya tidak menghampakan.  Lebih sedap daripada kari ayam yang selalu Kak Noor masak.  Kak Noor namakan menu kari ayam ini dengan nama yang berlainan iaitu Karikurma Ayam. Resepinya akan Kak Noor poskan dalam N3 akan datang.


Karikurma Ayam dimakan bersama Nasi Lemak Pandan

Jom kita tengok resepi nasi lemak pandan ini.

Bahan-bahannya:
5 cawan beras biasa – dibasuhkan dan ditoskan
1 ½ cawan pati santan – Kak Noor gunakan santan sawit KHALIS
1 sudu kecil pewarna hijau
10 helai daun pandan – diblend dengan air
2 helai daun pandan – disiat dan disimpul
2 inci kayu manis
1 kuntum bunga cengkih
Sedikit biji lada hitam
1 biji bawang besar – dihiris
2 inci halia – diketuk
1 batang serai – diketuk
½ kiub Ayam Knorr
Garam dan gula secukup rasa

Penyediaannya:
1. Beras dibasuh bersih dan ditoskan.
2. Daun pandan dibersihkan dan dipotong kecil. Masukkan dalam blender bersama 6 cawan air dan diblend halus (gunakan sukatan cawan yang sama semasa menyukat beras). Kemudian ditapis dan diambil airnya. Ketepikan.
3. Campurkan 1 ½ cawan pati santan bersama air pandan dan pewarna hijau.

Cara-cara Memasak:
1. Panaskan (on) rice cooker. Masukkan campuran pati santan dan air pandan, halia, serai, kulit kayu manis, bunga lawang, hirisan bawang besar, biji lada hitam, kiub pati ayam Knorr, garam, dan gula. Kacau rata dan masak sehingga santan mendidih.
2. Selepas santan mendidih, masukkan beras. Masukkan daun pandan dan kacau rata. Masak seperti biasa sehingga nasi masak. Gemburkan.
3. Biarkan rice cooker senantiasa `on’. Sedap dimakan ketika nasi panas.

Jumat, 16 Mei 2014

Sotong Kicap Pedas





Sejak kebelakangan ini, harga sotong semakin murah.  Kalau di Kuala Lumpur, harga paling murah yang pernah dibeli ialah sekitar RM12 - RM16 sekilo.  Kalau dulu sampai RM22 sekilo.  Tapi di luar Kuala Lumpur harga sotong dapat dibeli dengan harga yang lebih murah; sekitar RM5.00 hingga RM10.00 sekilo. Tetapi harga udang masih tak turun-turun harga lagi. Masih RM30 ke atas bagi udang yang bersaiz XL. Hai.... angkut sotong ajelah hari-hari.  





Bagi keluarga Kak Noor kalau makan sotong hari-hari pun no hal.  Semua suka sotong. Menu yang paling digemari ialah sambal tumis sotong.  Rasanya kalau masak 2kg sehari pun habis. Kadang-kadang tu bukan dimakan bersama nasi, tapi meratah lauk yang banyak.  Dalam blog dan FB pun banyak diposkan masakan sotong.  




Tapi hari ini, Kak Noor bukan nak masak sambal sotong. Nak cuba masak sotong kicap pedas pula. Kalau diletak kicap saja tak berapa menyelerakan.   Biar ada rasa pedas.

Bahan-bahannya:
1 kg. sotong 
1 senduk nasi cili kering kisar
1 biji bawang besar - dihiris
2 biji bawang besar - dipotong bulat
1/2 biji cili benggala - dipotong memanjang
4 ulas bawang putih - dihiris
1 tangkai daun kari
6 sudu besar kicap manis
1 sudu besar sos tiram
1 keping asam gelugor
1 sudu besar tepung jagung - dibancuh dengan sedikit air
1 cawan air
Gula dan garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara-caranya:
  • Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis hirisan bawang besar dan bawang putih hingga kekuningan dan naik bau. Masukkan daun kari.
  • Selepas itu masukkan cili kering kisar dan kacau rata. Masak sehingga cili garing/terbit minyak. Kemudian masukkan satu cawan air, diikuti dengan sos tiram, kicap manis.  Kacau rata.  Perisakan dengan garam dan gula. Biarkan kuah mendidih.
  • Kemudian baru dimasukkan sotong dan asam gelugor dan biarkan di atas dapur sehingga sotong masak. Tuangkan bancuhan tepung jagung dan kacau rata. Akhir sekali masukkan bawang besar yang dipotong bulat dan cili benggala.  Kacau sekali dan bolehlah ditutup api.
Sedia untuk dihidangkan. 

Mee Goreng Cintan, menu simple permintaan anakku, Shila



Assalamualaikum.

Hari ini adalah hari istimewa untuk insan-insan yang bergelar guru di luar sana.  Selamat Hari Guru Kak Noor ucapkan.  Terima kasih di atas segala jasamu wahai guru yang telah mendidikku dan juga anak-anakku dari seorang insan yang tidak mengenal huruf, tidak tahu mengira, dan tidak boleh membaca kepada seorang  yang celik huruf, bijak mengira dan menjadi manusia yang berguna.
Ibu juga umpama guru kepada anak-anaknya.  Ibu memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada anak-anak dalam kehidupan hari-hari.   So ucapan ini juga turut ditujukan kepada ibu-ibu di luar sana. 

Mee Goreng Cintan, dibawa ke sekolah
Hari ini just nak share menu simple ini dengan kekawan semua.  Menu ini adalah request daripada anak perempuan bongsu untuk sarapan hari ini.  Katanya nak bawa ke sekolah sempena Hari Guru.  Setiap murid disarankan membawa satu juadah untuk dikongsi makan bersama kawan-kawan.  Dalam erti kata lain dalam bahasa kita `pot luck’.

Nasib baik minggu lalu Kak Noor telah beli mee cintan tanpa goreng untuk stok kat rumah.   Mudahlah sikit kerja.  Tak payah pening pening lagi fikir nak masa apa.

  
Sambal Manis Bebola Ayam, memang favourite!


Terlebih rajin pagi ini, Kak Noor sempat juga masak Sambal Manis Bebola Ayam untuk dimakan bersama mee cintan goreng. Sambal manis bebola ayam ini memang `favourite’ anak-anak Kak Noor. Sekali masak mesti 1 kg. bebola ayam. Itupun tidak tahan sampai ke petang. Balik kerja, tinggal kuah aje dalam periuk. Untuk resepi sambal manis bebola ayam, Kak Noor akan poskan pada N3 akan datang.


Jom makan...

Bahan-bahannya:

1 paket besar mee cintan tanpa goreng
(ada 10 keping per pack)
150 gram udang kecil
2 biji bawang besar – dicincang
3 ulas bawang putih – diketuk
Sedikit kobis – dihiris nipis
1 cawan `mixed vegetables’
1 biji telur
1 senduk nasi cili kering kisar
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
Kicap manis secukupnya (anggaran 4 – 5 sudu besar)
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis.


Cara-caranya:
1. Masak air di dalam periuk sehingga mendidih. Kemudian masukkan mee dan rebus seketika. Jangan terlalu lama, takut nanti mee kembang dan terlembik dan hancur bila digoreng. Angkat dan terus siram dengan air paip supaya mee tidak melekat. Toskan.

2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga kekuningan dan naik bau. Kemudian masukkan cili kisar dan masak sehingga cili terbit minyak/garing.

3. Masukkan sedikit air dan kacau sebentar. Masukkan pula sos tiram, sos cili, dan kicap manis. Kacau lagi dan kemudian baru dimasukkan udang. Perisakan dengan garam dan gula mengikut citarasa.

4. Selepas itu masukkan pula `mixed vegetables’ dan kobis. Apabila sayur sedikit layu, masukkan telur dan kacau rata.

5. Akhir sekali masukkan mee ke dalam kuali dan dikaupbalikkan sehingga semua bahan mesra (tidak perlu terlalu lama di atas api). Tutup api dan sedia untuk dihidangkan. Hiasakan dengan cili hijau/cili merah dan bawang goreng. Boleh juga dimakan bersama cili hijau jeruk.



Kamis, 15 Mei 2014

MENJAMU SELERA DI FISKIE STEAKHOUSE, TAMAN KERAMAT AU2


Hari ini N3 Kak Noor berubah haluan sedikit. Tiada pos mengenai resepi masakan, tetapi masih  berkait rapat dengan makanan. Hari ini nak kongsi maklumat mengenai tempat makan yang Kak Noor dan Hasben kunjungi semalam.  Jom jalan-jalan cari makan dengan Kak Noor.  

Semalam sepulangnya dari kerja, hasben ajak singgah makan. Dalam seminggu tu, mesti sekali atau dua kali Kak Noor dan Hasben akan singgah makan di kedai dulu sebelum pulang ke rumah. Di sinilah `privacy' kami di mana kami akan bercerita mengenai hal-hal `sensasi’.


Mercu tanda Fiske Steakhouse, bergemerlapan dengan lampu

Semalam singgah di Fiskie Steakhouse. Tukar selera pulak. Selalunya kami singgah di Kedai Langgak Bihun Sup Utara, yang terletak di Taman Keramat AU2.  Di sini Encik Hasben gemar makan koayteow goreng kerang dan bihun sup. Kak Noor pula suka order laksa.  Perihal Kedai Langgak  Bihun Sup Utara ini akan Kak Noor ceritakan di episod akan datang.  Tunggu.... Sekarang ini Kak Noor nak cerita pasal Fiskie Steakhouse dulu.

Sebenarnya Fiskie Steakhouse telah lama beroperasi di Taman Keramat AU2. Kak Noor sedia tahu kewujudannya, cuma tak pernah menjejakkan kaki untuk makan di sini walaupun  Kak Noor tinggal berdekatan dengan kedai ini. Setiap kali bila lalu di sini, hanya tengok ajelah…. Apa yang menariknya tentang kedai ini ialah ia dihiasi dengan lampu yang bergemerlapan dan nampak eksklusif sekali pada waktu malam. Kedai makan ini selalunya dipenuhi oleh pelanggan pada waktu malam, di mana ia beroperasi dari jam 6.00 petang sehingga 12.00 malam.  Pernah juga berkata dalam hati ini, satu hari nanti, nak juga aku masuk ke kedai ini dan menikmati menu yang dihidangkan.

So… semalam ini hasrat itu dimakbulkan. Pada mulanya nak lepak kat tempat selalu,  tetapi Kak Noor kata kat hasben, dah jemulah…. jom kita cari kedai lain. Tup-tup hasben bawa ke Fiskie Steakhouse ni. Macam couple nak pergi dinner pulaklah rasanya. Masa sampai tu dah nak dekat jam 6.50 petang. Tak berapa ramai sangat pengunjung masa ni.  Mungkin selepas Maghrib baru ramai orang. Terasa teruja  masuk ke restoran ini di mana cahaya samar-samar dari lampu neon membangkitkan suasana romantika. 


Namapun Fiskie Steakhouse. Of course menu yang dihidangkan adalah Western Menu. Menu yang ditawarkan di Fiskie Steakhouse adalah lebih kurang sama dengan menu yang terdapat di kedai-kedai yang seangkatan dengannya. Harganya pula berpatutan, tidaklah seperti sangkaan Kak Noor sebelum memasuki kedai ini.  Layanannya pula pantas, tak sampai 15 minit makanan dan minuman dah sampai. Restoran ini terletak di Medan Selera, Taman Keramat AU2, Kuala Lumpur.  Landmark restoran ini ialah ia terletak bertentangan dengan kilang Pernec dan Kilang Sapura.  

Seterusnya penceritaan melalui gambar pula.  Tengok ye gambar-gambar yang Kak Noor sempat snap semalam.  Malu pun ada bila nak snap gambar malam-malam begini. Pelanggan memerhati....  Tapi tak apelah buat don't know aje. Nanti kalau cerita tak ada gambar, tak best jugak.





 Ini restorannya.  Di dalam dan di luar kedai penuh dengan lampu.   Tudung meja pula warna merah.  Gabungan cahaya lampu dan warna merah membangkitkan suasana yang ceria di dalam restoran.




Antara menu-menu yang disajikan....


Asam Pedas Melaka


Soup Menu

Fusion Menu


Chicken Menu

Spaghetti

Ini pula adalah pilihan menu yang Kak Noor dan Hasben order...





Sehati sejiwa.  Kak Noor dan Hasben order menu yang sama iaitu Menu Breaded Chicken Chop (Deep Fried).  Kalau tak silap Kak Noor harganya cuma RM11.90 sepinggan.  




Ini pula menu sampingan.  Mushroom soup, dimakan bersama garlic bread.  Roti dah habis `ngap' dulu....




Ini pula my favourite drink.  Kat mana-mana mesti nak order air epal dengan asam boi.  Satu gelas giant ni harganya RM5.00.  Rasanya boleh syer dua orang.  Encik Hasben pula order air tembikai.  Tapi tak sempat nak snap, dah habis diminumnya.



  
Alhamdulillah, kenyang sungguh.  Lebih-lebih lagi orang yang belanja kan...

So bagi sesiapa yang gemar makan steak, bolehlah singgah di restoran ini untuk mencuba steak di sini.  Kak Noor belum lagi merasa steak di sini.  Maybe next time .....

Rabu, 14 Mei 2014

INFO UNTUK DIKONGSI BERSAMA MENGENAI GARAM MASALA


Info ini Kak Noor perolehi  daripada laman web `Try Masak'  semasa blogwalking.  Ingin sekali dikongsi bersama rakan-rakan.  Kak Noor sendiri pun pada mulanya zero info juga apa itu garam masala.  Bila dah kerap memasak lauk ala mamak,  kenalah ambil tahu juga apa itu garam masala.   Tetapi kebiasaannya Kak Noor beli aje garam masala ini yang telah siap packing  di pasar raya.   Kalau anda pernah pergi ke Pasar Raya Besar Mydin di Subang Jaya, pelbagai rempah ratus ada di sana.  Anda boleh pilih yang telah siap packing  atau cedok sendiri dalam kuantiti yang anda perlukan dan timbang.  

Apa itu Garam Masala?

Garam Masala bermaksud rempah (masala) pedas (garam). Ia adalah campuran rempah-rempah yang mula digunakan di seluruh India.

Terdapat pelbagai jenis garam masala di India. Antara bahan yang biasa dicampur ialah lada putih dan hitam, bunga cengkih, daun bay, jintan, kayu manis, pelaga, buah pala, bunga lawang, dan biji ketumbar. Campuran bahan-bahan ini bersama rempah lain menjadikan pelbagai variasi garam masala yang didapati di India. 

Tidak seperti rempah campuran atau rempah kari lain, garam masala selalunya ditambah pada akhir proses memasak supaya rasanya yang rempah lebih menyerlah. ia juga kadang kala ditambah pada doh goreng untuk menambahkan rasa dan tekstur rempah. Dalam kedua-dua keadaan, guna garam masala dalam kuantiti yang sedikit supaya tidak terlebih rasa. Garam masala sesuai disapu pada daging sebelum dimasak, atau ditambah ke dalam sos perapan untuk rasa yang lebih sedap.



RESEPI MEMBUAT GARAM MASALA DIRUMAH
Oleh:  Mamak Haji Roslan


Resepi membuat garam masala di rumah ini Kak Noor ambil dari blog Mamak Haji Roslan seorang yang begitu  arif  dan mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang masakan lauk nasi kandar.  Banyak posnya dalam FB yang diikuti oleh ramai followernya, termasuklah Kak Noor sendiri.  Setiap hari mesti ada resepi yang `TIP TOP'  dan tips masakan yang diposkan untuk dikongsi bersama.  Banyak juga resepinya,  terutama sekali resepi lauk kandar yang telah Kak Noor cuba dan digemari oleh keluarga.  Sesungguhnya Mamak Haji Roslan seorang yhang tidak kedekut untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman  dalam bidang masakan.  Setiap postingnya dalam FB mesti mendapat komen daripada peminat-peminatnya. 





Selasa, 13 Mei 2014

MENU EKSPERIMENKU: JOM KITA MASAK AYAM RENDANG MASALA




Kesinambungan dari menu sebelum ini iaitu Udang Masak Masala, timbul idea untuk menggabungkan bahan-bahan yang digunakan untuk memasak rendang pedas dengan bahan-bahan yang digunakan untuk masak masala bagi menghasilkan satu menu gabungan iaitu rendang masala.  Wah..! rajin betul Kak Noor minggu ni kan.  Bukan selalu ada mood macam ni.

Memang seronok menghasilkan sesuatu yang baharu hasil daya kreativiti kita.  Tapi itupun ikut mood kita juga. Kalau mood kita baik, apapun yang kita buat, Insya Allah akan sempurna kejadiannya. Kalau kita dalam keadaan kurang/tak ada mood dinasihatkan janganlah dipaksa diri mencuba sesuatu yang baharu kerana kemungkinan hasilnya tidak sempurna dan tidak seperti yang kita inginkan, ataupun tidak menjadi langsung (through my experience). 





Rendang Ayam Masala merupakan menu eksperimen Kak Noor semasa cuti hari Ahad lalu.   Hasilnya memberi suatu kepuasan kepada diri ini apabila suami, anak-anak, dan juga rakan-rakan memberi maklum balas yang positif. Sempat juga Kak Noor bawa rendang ini ke pejabat untuk `food tasting'.  Selain keluarga sendiri yang merasai masakan kita, naklah orang luar beri pandangan juga kan! Rendang Ayam Masala ini selain sedap dimakan bersama nasi putih, ia juga sesuatu dijadikan set hidangan bersama nasi beriani, nasi tomato dan juga nasi lemak.  Boleh juga dicicah dengan ketupat nasi, ketupat pulut, dan lemang. 

Kebiasaannya bila kita masak rendang,  kita akan satukan semua bahan dalam kuali besar dan kacau sehingga sebati dan masak sehingga kuahnya pekat atau kering.  Tetapi bagi rendang ayam masala ini, bahan-bahannya perlu ditumis dahulu satu persatu.  Banyak juga persediaannya sebelum kita mula memasak. Tetapi kalau kita inginkan sesuatu hasil yang memuaskan, kita perlu sabar melakukannya. Rendang Ayam Masala ini boleh dimasak berkuah dan juga boleh dimasak sehingga kering.  Terpulanglah kepada citarasa masing-masing ye!




Kak Noor ingin kongsikan resepi ini dalam Sajian Dapur Bonda.  Semoga menu ini dijadikan sajian keluarga dan dapat menambahkan koleksi rendang yang sedia ada.

Jom kita lihat bahan-bahannya yang digunakan.

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam – dipotong 12 atau 16
Sedikit kunyit serbuk
3 sudu besar serbuk rempah masala - boleh dibeli siap atau dibuat sendiri 
2 sudu besar jus limau nipis
2 biji bawang - dihiris
250 gram kerisik
5 – 7 helai daun limau purut
2 batang serai dititik
4 sudu besar gula perang
1 sudu besar gula putih
1 ½ cawan santan kelapa sawit
2 cawan air
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan dikisar berasingan:

Bahan A (disatukan dan dikisar):
8 ulas bawang putih
60 gram halia

Bahan B:
5 biji bawang besar

Bahan C (disatukan dan dikisar):
10 batang serai – dihiris
50 gram kunyit hidup - dihiris
40 gram lengkuas - dihiris

Bahan D (disatukan dan dibancuh menjadi pes):
2 sudu besar serbuk rempah daging - Kak Noor guna cap BABA's
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1/2 sudu besar serbuk kas-kas (opsyen)
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar serbuk lada hitam kasar
Sedikit air untuk membancuh.

Penyediaannya:
1. Ayam dilumurkan dengan serbuk kunyit, serbuk rempah masala, satu sudu besar Bahan A (kisaran bawang putih dan halia)  dan jus limau nipis. Ketepikan dan perapkan selama 1 jam. 

2. Panaskan minyak di dalam kuali. Bila minyak telah panas, masukkan hirisan bawang besar.  Apabila bawang telah layu, masukkan pula bahan A. Selang 1 minit masukkan bahan B, dan selang 1 minit lagi diikuti bahan C. Kacau sehingga naik bau dan bahan kisaran sedikit layu.

3. Seterusnya masukkan bahan D (pes rempah). Perlahankan api dan masak sehingga rempah garing/terbit minyak.

4. Kemudian masukkan santan, diikuti dengan 2 cawan air dan serai. Kacau rata dan biarkan kuah mendidih.

5. Selepas itu masukkan perapan ayam tadi.  Masukkan gula merah, gula putih, asam gelugor, dan daun limau purut. Kacau rata. Gunakan api perlahan.

6. Semasa ayam ½ empuk, masukkan kerisik dan diikuti dengan garam. Kacau rata dan masak sehingga ayam empuk.  Sekiranya anda tidak mahu rendang anda berkuah,  boleh dibiarkan mereneh di atas dapur sehingga ia pekat dan berpalut.

SELAMAT MENCUBA...

Kamis, 08 Mei 2014

UDANG MASAK MASALA


Assalamualaikum.


Hari ini terpaksa ambil EL.  Sejak seminggu yang lalu dah rasa macam nak demam, tapi x juga demam-demam.  Hari ini mungkin dah sampai ke kemuncaknya.  Lemah longlai sangat badan ni, dah terdaya untuk melangkah ke tempat kerja.  Rasa nak rehat aje kat rumah. 

Biasalah walaupun bercuti kerja pejabat, tetapi ibu tak boleh cuti di rumah.  Masih meneruskan tugas dan tanggungjawab seorang ibu.  Dapur mesti berasap. Bila dah rasa ok, bangun untuk masak ala kadar untuk keluarga.  






Sebenarnya N3 resepi kali ini telah lama Kak Noor hendak  kongsikan.  Tetapi kalau tak cuba masak  macam mana nak kongsi kan!  So hari ini kugagahi diri ini untuk mencuba resepi yang telah lama kuidamkan iaitu UDANG MASALA.  Nampak sedap bila ayahanda Mamak Haji Roslan poskan dalam FB.  Teruja sangat nak mencubanya.  Lagipun udang dah siap disiang dan ada dalam peti sejuk.  Sebagai gandingannya Kak Noor masak sayur kobis goreng mamak.  







Kobis Goreng Mamak digandingkan dengan Udang Masak Masala


Resepi di bawah ini Kak Noor ambil dari blog Mamak Haji.  Udang yang  digunakan tidaklah besar sangat, yang sekilo RM33 aje.  Udang sekarang ini harganya dah melambung naik. Harga udang yang RM33 sekilo sekarang ini cuma RM13 sekilo sahaja suatu ketika dulu.   Terima kasih kepada ayahanda Mamak Haji kerana sudi berkongsi resepi lauk kandar yang sedap ini.  Dah masak baru tahu memang sedap.





UDANG MASAK MASALA

Bahan-Bahan:

Udang besar 1kg.
3 biji bawang besar - di hiris
3 biji bawang besar - dikisar halus
1 inci halia  + 6 ulas bawang putih  - dikisar halus.
4 sudu besar rempah kari Ikan Baba's
2 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk Jintan manis
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk kas-kas (tidak semestinya)
2 ranting daun kari
6 - 7 sudu besar minyak masak
2 sudu besar jus limau nipis
Garam dan gula secukup rasa

Cara Menyediakannya:


1. Bersihkan udang. Gunting misai dan muncung tajam udang tanpa membuang kepalanya. Perap udang yang telah bersihkan dengan serbuk kunyit, serbuk cili, satu sudu halia+bawang putih yang dikisar halus, dan air limau selama 20-30 minit

2. Panaskan minyak dalam kuali.  Masukkan bawang besar yang dihiris.  Apabila tumisan keluarkan bau wangi,  masukkan bawang yang dikisar, dan campuran bahan halia + bawang putih yang tinggal, rempah kari,  jintan putih, dan jintan manis.

3. Apabila gorengan itu mengeluarkan bau yang harum, masukkan perapan udang tadi. Masukan satu cawan air dan masukkan daun kari. Biarkan selama 10 minit di atas kuali. Tentukan kuahnya likat dan tidak  terlalu pekat. Sekiranya kuahnya pekat sangat boleh masukkan air sedikit untuk kecairan kuahnya. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Udang Masala sedia untuk dihidangkan.