Assalamualaikum.
Semalam masak sup daging tulang lembu. Hari ini masih lagi menu daging. Hari Sabtu lalu semasa Encik Hasben beli tulang daging lembu di pasar tani Setiawangsa, dibelinya isi daging juga. So bermenu daginglah di hujung minggu ini.
Untuk menu daging hari ini Kak Noor skodeng di blog Mamak Haji Roslan. Pada mulanya plan nak cari resepi daging ala nasi kandar, tetapi ternampak pos resepi Daging Masak Merah Ala Thai di blog Mamak Haji.
Setulusnya Mamak Haji ini bukan saja terrer dalam masakan lauk-pauk nasi kandar, tetapi juga dalam masakan Ala Thai. Beliau merupakan antara chef idola Kak Noor yang tidak pernah kedekut ilmu dalam bidang masakan. Bukan sahaja bijak dalam bidang masakan, malah senantiasa mengikuti perkembangan masa dan banyak informasi terkini yang diposkan dalam FB yang mendatangkan manfaat kepada semua pembaca.
Inilah main dish yang berjaya dimasak oleh Kak Noor untuk tengah hari ini iaitu Daging Masak Merah Ala Thai. Menu ini adalah antara faveret anak perempuan bongsu Kak Noor. Kalau ada lauk ini, mahu bertambah nasi. Lagipun sejak berada di sekolah menengah ini, jarang sangat dia makan nasi. Tak berselera katanya. Mungkin disebabkan keletihan seharian di sekolah dan banyak tumpuan kepada homework yang diberikan oleh cikgu. So menu hari ini telah membuatnya tidak sabar untuk makan nasi. Tambahan pula ada kicap Enaq, hmm... cukup menyelerakan.
Terdapat sedikit olahan dari segi penggunaan bahan-bahannya. Untuk tutorial bergambar mengenai cara-cara memasak menu ini boleh rujuk pos Kak Noor dalam laman FB Jom Masak Bersama Sajian Dapur Bonda. Selamat Mencuba.
Daging Masak Merah Ala Thai
Rujukan: Blog Mamak Haji Roslan
Dicuba oleh: Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda
Bahan-bahan diperlukan:
½ kg. daging tempatan
(Daging direbus menggunakan periuk tekanan)
Bahan-bahan dikisar dan ditumis:
2 biji bawang besar merah – saiz sederhana
3 ulas bawang putih
1 inci halia
2 sudu besar cili kering kisar
2 batang serai – dititik/diketuk
Bahan-bahan untuk sos:
4 sudu besar sos tomato
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos cili Thai
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil sos ikan
1 sudu besar sos kicap lemak manis ENAQ
1 sudu besar jus lemon
3 helai daun limau purut – dibuang tulang tengah
Gula dan garam secukup rasa
1 sudu besar serbuk perencah Maggi Cukup Rasa
1 sudu kecil tepung jagung – dibancuh dengan 1 sudu besar air.
Untuk hiasan:
2 biji bawang besar dipotong bulat
½ biji lada benggala hijau - dipotong kiub
½ biji lada benggala merah – dipotong kiub
4 – 5 biji cili padi - diketuk
Cara-caranya:
1. Mula-mula sekali rebus daging dengan sedikit warna merah. Kalau rebus biasa makan masa selama 1 jam lebih. Boleh direbus tanpa dihiris ataupun dihiris daging terlebih dahulu. Sekiranya menggunakan periuk tekanan hanya ambil masa lebih kurang 30 minit sahaja untuk daging empuk. Dalam resepi ini Kak Noor menggunakan periuk tekanan Noxxa untuk merebus daging. Set High Pressure 30 minit. Air rebusan jangan dibuang, dibuat stok untuk memasak.
2. Hiris daging yang telah empuk mengikut citarasa masing-masing sama ada dalam saiz kecil atau besar.
3. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan kisaran sehingga garing sedikit, kemudian masukkan cili kering kisar. Tumis sehingga pecah minyak seperti kita menumis sambal tumis.
4. Selepas terbit minyak masukkan sos cili, sos cili Thai, sos tomato, sos tiram, kicap manis, dan sos ikan. Perasakan dengan gula, garam, dan serbuk perencah Maggi Cukup Rasa. Sekiranya mahu kuah banyak, masukkan stok daging. Masukkan daging yang telah direbus tadi dan kacau rata. Bila kuah telah mendidih masukkan air bancuhan tepung jagung.
5. Masukkan daun limau purut, hirisan bawang, cili padi, cili benggala, dan jus limau. Kacau rata dan biar kuah mendidih sekali lagi.
6. Tutup api, dan bolehlah dihidangkan bersama nasi panas dan kicap Enaq.
6. Tutup api, dan bolehlah dihidangkan bersama nasi panas dan kicap Enaq.