Senin, 04 Januari 2016

MENU KELUARGA DI HUJUNG MINGGU, Kari Ikan Talang Masin, Kobis Goreng Kicap, dan Ulam Nanas Berkicap

Assalamualaikum.


Bila tengok ada antara rakan kita yang pos gulai ikan kurau masin dalam FB baru-baru ini, terlonjak pula selera nak makan kari ikan masin. Kecur air liur. Semasa pulang bercuti ke Utara pada cuti Maulidur Rasul dan Krismas baru-baru ini sempat ke Tanjung Dawai. Dapatlah beli ikan bilis dan ikan talang masin. 


Resepi ikan talang masin tumis darat ini adalah resepi warisan keluarga daripada arwah nenda tercinta. Kuahnya tidak pekat seperti kuah kari mamak di kedai. Cair dan sesedap rasa.  Kalau dulu hanya digunakan rempah kari ikan untuk kuahnya, tetapi kali ini Kak Noor gunakan rempah kari khas iaitu serbuk kari ikan masin jenama BABAS.


Kebiasaannya kari ikan talang masin ini dimasak bersama nanas ataupun ubi kentang dan terung. Sekiranya kita gunakan nanas, tidak perlulah digunakan kentang dan terung. Tetapi sekiranya kita tidak menggunakan nanas, kita boleh masukkan kentang dan terung. Itulah pesan bonda Kak Noor.  


Kalau dah ada lauk, mestilah adalah sayur. Baru cukup rukun. Pada mulanya plan nak masak sayur kobis goreng ala mamak yang berwarna kuning tu, tetapi ada pula orang di rumah ni yang tidak gemar. So ambil jalan mudah, masak goreng kobis kicap aje. Kobis pula dipotong lebar-lebar. Kalau masak berkicap ini, semua orang ok aje. Untuk kobis goreng kicap ini, seperti biasa Kak Noor gunakan kicap kegemaran keluarga iaitu kicap lemak masin dan kicap lemak manis ENAQ. 




Memandangkan tak ada stok ulam, sebagai ganti untuk menyedapkan mulut, Kak Noor gunakan ½ biji daripada nanas yang berbaki semasa masak kari tadi, dicicah bersama kicap lemak manis ENAQ. Emm…. Marvelous. Lama dah tak makan nanas campur kicap ni. 


Makan pula nasi panas bersama kari ikan kering talang bersama sayur kobis masak kicap, memang menyelerakan. Cuma tak sempat nak buat sambal belacan aje…


So inilah menu keluarga yang sempat disediakan tengah hari tadi. 


Resepi Kari Ikan Talang Masin Tumis Darat
oleh: Kak Noor @ sajiandapurbonda

Bahan-bahannya:
800 gram ikan talang masin – dipotong kecil
½ biji nanas – dihiris lebar
1 cawan santan sawit KHALIS + 2 ½ cawan air menjadikan 3 ½ santan
1 sudu besar gula
1 sudu kecil perencah kuah TUMIX
2 biji cili hijau

Bahan-bahan dikisar (pes rempah):
60 gram serbuk kari ikan masin BABAS @ serbuk kari ikan BABAS
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci halia
1 sudu besar pati asam jawa Xtra Adabi
2 cawan air

Bahan-bahan tumis darat:
1 biji bawang besar – dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
2 tangkai daun kari – dilurut daunnya
2 sudu besar halba campur
Minyak secukupnya

Cara-caranya:
1. Pertama kali rendam ikan kering talang yang telah dipotong bersama air dan 2 sudu kecil KFC garam halus selama lebih kurang 30 minit untuk menghilangkan rasa masin pada ikan kering talang tersebut (petua orang dulu-dulu). Selepas 30 minit, cuci bersih dan ketepikan.

2. Masukkan ikan kering di dalam kuali/periuk bersama pes rempah. Masukkan 1 cawan air dan kacau rata. Masak sehingga kuah mendidih.

3. Selepas kuah mendidih, masukkan santan diikuti dengan nanas. Masukkan gula dan perencah kuah TUMIX. Kacau rata dan biarkan ia mendidih sekali lagi. Tutup api.

4. Di dalam kuali yang lain, panaskan minyak. Tumis bahan-bahan untuk tumis darat sehingga bawang bertukar menjadi kekuningan. Ketika masih panas, curahkan bahan-bahan tumis beserta minyak tumisan ke dalam kuali/periuk kari tadi. Taburkan hirisan cili hijau. Tutup periuk/kuali supaya aromanya tidak keluar.

5. Sebelum menghidang, terlebih dahulu kacau kuah kari supaya bergaul mesra dengan bahan-bahan tumisan darat tadi.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar