Assalamualaikum dan Selamat Pagi.
Masih berfikir hendak masak apa untuk tengah hari ini? Apa kata masak asam pedas tumis campur nanas? Ikan pula boleh guna apa aje ikan ikut citarasa masing-masing. Untuk resepi ini Kak Noor guna ikan selar kuning kerana ikan ini sahaja yang ada di dalam peti ais. Tapi kalau diberi pilihan, Kak Noor lebih suka guna ikan pari untuk masakan asam pedas ini, sebab tak ada tulang, senang makan. He...he.. sebenarnya ikan-ikan lain tu Kak Noor tak makan sejak kecil lagi. Ikan pari ini ok.
Kalau masak asam pedas, tiga bahan ini wajib ada iaitu daun kesum, bunga kantan, dan juga serai. Bahan-bahan inilah yang menaikkan aroma asam pedas ini.
Kak Noor gandingkan asam pedas ini dengan sambal tumis tauhu. Sambal tumis tauhu ini faveret anak-anak. Sambalnya dimasak pedas-pedas manis.
Bahan-bahannya:
6 ekor ikan selar kuning saiz sederhana½ biji nanas
1/2 camca besar pes asam jawa
1 ikat daun kesum
1 batang bunga kantan – (batang dipotong 2 inci dan diketuk, bunga kantan dibelah dua dan dipotong serong)
1 sudu besar pati asam jawa XTRA Adabi – dibancuh dengan sedikit air
1 kiub ikan bilis
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
Bahan-bahan ditumis:
1 batang serai - diketuk
1 biji bawang besar - dihiris
1 ulas bawang putih - hiris
2 senduk nasi cili kisar
Bahan-bahan dikisar halus:
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
3/4 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
1/2 inci belacan - dibakar
3 biji buah keras – dihiris
Air secukupnya
Cara-cara Membuatnya:
1. Ikan selar kuning disiang dan dicuci bersih. Kupas nanas dan gunakan setengah biji sahaja. Buang empulur nanas dan hiris sederhana tebal. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis serai titik, bawang besar, dan bawang putih hingga harum. Masukkan bahan kisar dan kacau rata. Masak sehingga terbit minyak, guna api sederhana dan kacau selalu.
3. Masukkan asam jawa, tambah nanas, dan gaul rata. Masak sekejap. Tuang air secukupnya. Kacau dan biar mendidih. Masukkan ikan dan kiub ikan bilis dan kacau sekali sekala.
4. Masukkan daun kesum, batang dan bunga kantan. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap lagi, rasa dan jika telah memenuhi citarasa, bolehlah ditutup api.
5. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk-lauk lain.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar